Anjuran kepada Orang yang Memiliki Hati Dermawan untuk Bersedekah dan Memaafkan Kesalahan
Surah 24: An-Nur (22)
Ayat 22
وَلَا يَأْتَلِ أُو۟لُوا۟ ٱلْفَضْلِ مِنكُمْ وَٱلسَّعَةِ أَن يُؤْتُوٓا۟ أُو۟لِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينَ وَٱلْمُهَـٰجِرِينَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ وَلْيَعْفُوا۟ وَلْيَصْفَحُوٓا۟ ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Allah Ta’ala melarang orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan iaitu orang-orang yang memiliki harta, rajin bersedekah dan berhati dermawan bersumpah untuk tidak menyambung silaturrahim dengan kerabat yang miskin dan orang-orang yang berhijrah ke jalan-Nya.
Ayat ini juga menekankan anjuran untuk menyambung silaturrahim dan memerintahkan setiap orang supaya memaafkan dan berlapang dada atas tuduhan buruk dan menyakitkan yang pernah ditujukan kepada mereka. Ini adalah bukti kemurahan, kemuliaan dan kasih sayang Allah terhadap makhluk-makhluk-Nya meski pun mereka telah menzalimi diri sendiri.
Ayat ini diturunkan berkaitan dengan Saidina Abu Bakar ra iaitu ketika dia bersumpah tidak akan memberikan sebarang nafkah kepada sepupunya yang bernama Mistah bin Uthathah yang miskin. Ini kerana Mistah telah membuat tuduhan palsu terhadap Saidatina ‘Aisyah ra dan menyebarkan berita bohong tersebut.
Abu Bakar ra sangat terkenal sebagai seorang yang dermawan. Beliau pemurah kepada kerabat dan juga bukan kerabat. Allah Ta’ala menyatakan sekiranya beliau memaafkan sepupunya Mistah, Allah Ta’ala pun akan mengampuni dosa-dosanya.
Kemudian Abu Bakar ra memberikan semula nafkah kepada Mistah sebagaimana yang telah diberikan dahulu sambil bersumpah bahawa beliau tidak akan menghentikan pemberian nafkah itu buat selama-lamanya.