Surah 24: An-Nur (11 – 20)

Peristiwa Tersebarnya Fitnah terhadap Saidatina ‘Aisyah ra

Surah 24: An-Nur (11 – 20)


Ayat 11

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.

Sepuluh ayat iaitu ayat 11-20 Surah An-Nur ini adalah berkaitan dengan kisah pembohongan dan pendustaan (ٱلْإِفْكِ) terhadap keluarga Rasulullah saw. Ayat ini mengecam orang-orang yang tanpa bukti telah menuduh Ummul Mukminin, Saidatina ‘Aisyah ra yang tidak bersalah dan bersih daripada apa yang dituduhkan kepadanya bahawa dia telah melakukan perkara yang tidak baik oleh segolongan orang-orang munafik.  

Mereka membuat fitnah dengan menyebarkan berita, kononnya ‘Aisyah ra telah melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan bin Mu’attal semasa dalam perjalanan pulang daripada satu peperangan. Sebenarnya berita yang mereka sebarkan itu adalah bohong belaka dan rekaan mereka sendiri.

Berita bohong ini mengenai isteri Rasulullah saw iaitu Ummul Mukminin, Saidatina ‘Aisyah ra setelah berperang dengan Bani Mustaliq. ‘Aisyah ra turut serta dalam peperangan itu berdasarkan undian antara isteri-isteri baginda. Dalam perjalanan pulang, mereka berhenti di suatu tempat. Ummul Mukminin keluar daripada tandu untuk satu keperluan, kemudian kembali semula ke tempatnya. Tiba-tiba beliau menyedari kalungnya hilang, lalu pergi mencarinya. Pasukan yang bertugas mengangkat tandu ‘Aisyah ra dan diletakkan di atas belakang unta, tanpa menyedari bahawa ‘Aisyah ra tidak ada di dalamnya kerana beliau adalah seorang yang bertubuh kurus. Setelah berhasil menjumpai kalungnya, ‘Aisyah ra ke tempat tandunya. Apabila menyedari tandunya telah dibawa pergi, beliau duduk di tempat itu dan mengharapkan ada yang akan menyedari ketiadaannya dan mereka kembali menjemputnya. Kebetulan lalu di tempat itu adalah seorang sahabat Rasulullah saw bernama Safwan bin Mu’attal. Ketika itu, Safwan bin Mu’attal berjalan jauh di belakang pasukan kerana ditugaskan menjaga bahagian belakang pasukan dan menemui seseorang yang sedang tidur bersendirian. Beliau mengenali bahawa yang tertidur itu adalah ‘Aisyah ra kerana beliau pernah melihatnya sebelum turunnya ayat tentang hijab. Beliau terkejut sambil mengucapkan ‎إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ sehingga membuat ‘Aisyah ra terbangun. Lalu ‘Aisyah ra menutupi wajahnya dengan jilbabnya. Kemudian Safwan bin Mu’attal mendudukkan untanya dan ‘Aisyah ra menaiki unta tersebut. Safwan bin Mu’attal menuntun unta tersebut sehingga tiba di Madinah dan dalam perjalanan itu, Safwan ra tidak mengucapkan walau sepatah perkataan kepada ‘Aisyah ra. Apabila tiba di sana, mereka yang melihatkan keadaan ini, berbicara mengikut pendapat masing-masing. Mulalah timbul desas desus dan kaum munafik mengambil peluang untuk memperbesar-besarkannya, maka fitnah atas ‘Aisyah ra itu pun tersebar, sehingga menyebabkan kekecohan di kalangan kaum muslimin.

Lalu Allah Swt menurunkan ayat ini bagi membersihkan nama ‘Aisyah ra dan membebaskannya daripada fitnah yang keji itu. Selain itu, ayat ini juga diturunkan untuk menjaga martabat serta kehormatan Rasulullah saw sekali gus membersihkan nama sahabat baginda iaitu Safwan bin Mu’attal.

Sebenarnya orang-orang yang menyebarkan tuduhan keji ini adalah daripada kalangan mereka sendiri. Orang yang mula-mula menyebarkan fitnah dusta ini ialah ‘Abdullah bin Ubay bin Salul iaitu pemimpin kaum munafik, semoga Allah melaknatnya. Kemudian disertai pula oleh tiga orang lagi iaitu Hasan bin Thabit, Mistah bin Athathah dan Hamnah binti Jahsy. Ada sebahagian daripada kalangan kaum mukmin terpedaya dan mempercayai fitnah yang disebarkan itu, akhirnya menjadi bahan perbualan dan cemuhan di kalangan orang ramai. Walaupun begitu, terdapat sebahagian daripada orang-orang yang beriman tidak mempercayai tuduhan tersebut.

Keadaan fitnah ini berlanjutan selama sebulan, iaitu sehingga turun ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan perkara yang sebenarnya. Penjelasan tentang kisah ini secara terperinci boleh dirujuk dalam hadis-hadis sahih seperti yang terdapat dalam Kitab Tafsir Sahih Ibnu Kathir.

Maksud ayat “Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu” adalah ditujukan kepada keluarga Abu Bakar ra. Apa yang berlaku terhadap ‘Aisyah ra itu bukanlah sesuatu perkara yang buruk bagi keluarganya, bahkan ia adalah baik bagi mereka di dunia mahupun di akhirat. Ketika di dunia dinampakkan sebagai manusia yang percakapan mereka selalu benar dan di akhirat akan mendapat kedudukan yang tinggi.

Hal ini diikuti pula dengan diperlihatkan kemuliaan keluarga Abu Bakar ra iaitu Allah Ta’ala sendiri yang menjelaskan kesucian ‘Aisyah ra, Ummul Mukminin dalam Al-Quran yang agung.

Pada akhir ayat, Allah Ta’ala menyatakan bahawa setiap hamba-Nya pasti menerima balasan daripada apa yang mereka lakukan baik dari segi perbuatan mahu pun perkataan dan apa sahaja yang mereka sebarkan. Sesiapa yang mengambil bahagian terbesar dalam penyebaran berita bohong ini, mereka akan ditimpakan azab yang besar di akhirat nanti.

Ayat 12

لَّوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا۟ هَـٰذَآ إِفْكٌ مُّبِينٌ

Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata, “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.”

Kemudian Allah Ta’ala memberikan didikan kepada orang-orang mukmin yang terikut-ikut membicarakan berita yang tidak pasti dan palsu seperti yang berlaku kepada ‘Aisyah ra dan menegur mereka iaitu:

▪️  Mengapa ketika mereka mendengar berita bohong yang tidak jelas kesahihannya berkaitan dengan ‘Aisyah ra, mereka tidak bersangka baik kepadanya? Mereka sepatutnya berbaik sangka terhadap saudara-saudara mereka yang diketahui kebaikannya apabila namanya dicemari. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada diri mereka sendiri iaitu sesama muslim dan mengapa ketika itu mereka tidak berkata, “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.”

Ini merupakan adab yang agung iaitu seorang mukmin tidak berprasangka kepada kaum mukmin yang baik melainkan dengan prasangka yang baik.

Ayat 13

لَّوْلَا جَآءُو عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ ۚ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا۟ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلْكَـٰذِبُونَ

Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh sebab mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.

▪️  Mengapa mereka tidak mendatangkan empat orang saksi yang boleh memberikan kesaksian atas kebenaran berita dan desas desus berita yang dibicarakan. Sepatutnya orang-orang yang membuat tuduhan keji terhadap ‘Aisyah ra, mendatangkan empat orang saksi, bagi membuktikan kebenaran tuduhan mereka. Namun mereka tidak mendatangkan saksi-saksi tersebut. Oleh itu pada sisi Allah, mereka termasuk orang-orang yang berdusta.

Ayat 14

وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ لَمَسَّكُمْ فِى مَآ أَفَضْتُمْ فِيهِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang beriman yang terlibat dalam penyebaran berita bohong dan berlebih-lebihan dalam memperkatakan tentang ‘Aisyah ra. Oleh sebab dalam hati mereka masih terdapat keimanan terhadap Hari Akhirat, Allah menerima taubat dan memaafkan mereka.

Ini adalah kurniaan dan rahmat Allah Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya dengan dibukanya pintu taubat buat mereka, antaranya ialah Mistah iaitu saudara Abu Bakar ra yang miskin, Hasan bin Thabit dan Hamnah binti Jahsy, saudara perempuan Zainab binti Jahsy.

Walau bagaimanapun penyebar fitnah di kalangan orang-orang munafik seperti ‘Abdullah bin Ubay bin Salul dan pengikut-pengikutnya, tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan dalam ayat ini. Ini kerana mereka tidak memiliki iman dan amal soleh.

Ayat 15

إِذْ تَلَقَّوْنَهُۥ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ

(Ingatlah) pada waktu kamu menerima berita bohong itu daripada mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal ia pada sisi Allah adalah besar.

Ayat ini merupakan celaan dan pelajaran kepada orang-orang yang sangat mudah membuat tuduhan yang amat berat kepada ‘Aisyah ra. Ketika mereka saling menerima berita bohong ini, mereka menganggap hal tersebut adalah remeh, tidak berdosa dan ringan di sisi Allah sedangkan di sisi-Nya, tuduhan ini merupakan dosa yang amat besar. Lebih-lebih lagi hal ini melibatkan kehormatan Rasullullah saw, ‘Aisyah ra, Abu Bakar As-Siddiq ra dan ahlul bait.

Andai kata ‘Aisyah ra bukan isteri Nabi saw, tuduhan itu tetap bukan satu tuduhan yang ringan. Terdapat sebuah hadis dalam kitab sahih Al-Bukhari dan sahih Muslim:

“Sungguh seseorang hamba mengucapkan satu perkataan yang menyebabkan kemurkaan Allah, dia tidak tahu sampai ke mana akibat buruknya. Dengan kalimat itu mengakibatkan dia terjerumus ke dalam neraka, lebih jauh antara jarak langit dan bumi.” Dalam riwayat yang lain, “Yang tidak terfikirkan olehnya baik dan buruknya.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 16

وَلَوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَـٰذَا سُبْحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُهْتَـٰنٌ عَظِيمٌ

Dan mengapa kamu tidak berkata pada waktu mendengar berita bohong itu, “Sekali-kali tidaklah layak bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Engkau (Wahai Rabb kami), ini adalah dusta yang besar.”

Sebenarnya setiap mukmin tidak patut membicarakannya atau mengucapkannya kerana perkara ini adalah perkara yang besar. Maha Suci Allah kerana apa yang mereka tuduh itu terkena kepada isteri seorang Rasul yang merupakan kekasih-Nya.

Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hamba-Nya agar sentiasa bersangka baik. Sekiranya terdetik suatu bisikan dalam hati mereka yang mengarah kepada buruk sangka, mereka hendaklah menahan diri daripada mengucapkannya. Ini sebagaimana sabda Rasullullah saw dalam kitab Sahihain:

“Sesungguhnya Allah memberikan maaf untuk umatku atas apa yang dikatakan hatinya selagi belum diucapkan atau belum dilaksanakan.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 17

يَعِظُكُمُ ٱللَّهُ أَن تَعُودُوا۟ لِمِثْلِهِۦٓ أَبَدًا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Allah memperingatkan kamu agar (jangan) kembali berbuat seperti itu selama-lamanya, jika kamu orang-orang yang beriman.

Allah Ta’ala melarang dan mengancam mereka agar tidak melakukan kesalahan seperti ini lagi buat selama-lamanya sekiranya mereka benar-benar beriman kepada-Nya, syariat-syariat-Nya dan menerima Rasullullah saw sebagai pemimpin manusia di dunia dan di akhirat.

Ayat 18

وَيُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah Ta’ala Maha Mengetahui apa sahaja yang menjadi maslahat kepada hamba-hamba-Nya dan Dia Maha Bijaksana dalam semua syariat dan ketentuan-Nya.

Ayat 19

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Ini merupakan pengajaran kepada orang-orang yang memilih untuk menyebarkan perkataan-perkataan keji terhadap orang-orang yang beriman. Mereka akan dikenakan hukuman dan mendapat penghinaan daripada orang-orang sekeliling semasa berada di dunia. Manakala di akhirat pula mereka akan mendapat seksaan yang pedih iaitu dimasukkan ke Neraka Jahannam sekiranya tidak bertaubat. Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Thauban, Rasullullah saw bersabda:

“Janganlah kamu menyakiti hati hamba-hamba Allah, janganlah membuka aib mereka, janganlah mencari-cari keburukan mereka. Kerana sesiapa yang mencari-cari keburukan saudaranya, nescaya Allah akan mencari keburukannya sehingga Dia akan memalukannya (sekali pun) di dalam rumahnya sendiri.”

(HR. Ahmad)

Ayat 20

وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, dan Allah Maha Penyantun dan Maha Penyayang, (nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar).

Allah Ta’ala menyatakan jikalau tidak dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, nescaya Dia meninggalkan mereka begitu sahaja selepas mereka membuat tuduhan palsu dan pasti mereka akan ditimpa azab di akhirat kelak.

Namun, Allah Maha Penyantun dan Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya sehingga Dia mengampuni orang-orang yang memohon ampun dan bertaubat di kalangan mereka serta orang-orang yang membersihkan diri mereka dengan menjalani hukuman yang dikenakan ke atas mereka.