Hukum yang Berkaitan dengan Perzinaan
Surah 24: An-Nur (1 – 3)
Ayat 1
سُورَةٌ أَنزَلْنَـٰهَا وَفَرَضْنَـٰهَا وَأَنزَلْنَا فِيهَآ ءَايَـٰتٍ بَيِّنَـٰتٍ لَّعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya, dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.
Ayat “Ini adalah satu surah yang Kami turunkan,” bermaksud surah ini adalah salah satu surah dalam Al-Quran yang sangat penting dan perlu diberikan perhatian. Namun hal ini tidaklah menafikan pentingnya surah-surah yang lain.
Allah Ta’ala mewajibkan orang-orang beriman agar melaksanakan hukum-hukum, perintah-perintah, larangan, adab-adab dan akhlak yang terkandung di dalamnya.
Mujahid dan Qatadah mengatakan ayat, “Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya,” bermaksud Allah Ta’ala telah menjelaskan halal, haram, perintah, larangan dan batasan-batasan (hukum) di dalamnya.
Manakala Imam Bukhari mengatakan maksud, “Dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya,” ialah Allah Ta’ala mewajibkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya kepada orang-orang beriman pada masa itu, juga kepada orang-orang sesudah mereka.
Ayat 2
ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجْلِدُوا۟ كُلَّ وَٰحِدٍ مِّنْهُمَا مِا۟ئَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٌ مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.
Ayat ini menjelaskan hukuman terhadap pelaku zina. Sekiranya wanita dan lelaki yang berzina itu masing-masing merdeka, baligh, berakal dan belum pernah bernikah (ghairu muhsan). Maka hukumannya ialah dikenakan kepada mereka seratus kali sebatan. Sebatan ini merupakan sebatan yang kuat tetapi tidak melukainya dengan parah dan tidak mematahkan anggota badannya. Kemudian sebagai hukuman tambahannya, dia akan diusir selama satu tahun, jauh dari negerinya.
Manakala jika wanita dan lelaki yang berzina itu masing-masing telah berkahwin dengan pasangan masing-masing (muhsan), sudah baligh, berakal dan merdeka, hukumannya ialah direjam dengan batu sehingga mati berdasarkan dalil daripada hadis di bawah ini.
Dalil yang menunjukkan adanya hukuman rejam ini adalah berdasarkan hadis yang terdapat dalam kitab Sahihain daripada Abu Hurairah ra dan Zaid bin Khalid Al-Juhani, mereka berkata, “Dua orang Arab pedalaman datang menghadap Rasulullah saw. Salah seorang berkata, “Wahai Rasulullah, anakku bekerja sebagai kuli kepada orang ini, dan anak lelakiku ini berzina dengan isterinya. Aku membayar denda kepadanya seratus ekor kambing dan seorang hamba sahaya. Kemudian aku bertanya kepada orang-orang yang mengetahui hukum, mereka mengatakan anakku diwajibkan menjalani hukuman seratus kali sebatan dan diusir dari kampung halamannya selama satu tahun, manakala isteri orang ini dikenakan hukuman rejam.” Baginda bersabda:
“Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya! Aku benar-benar akan menetapkan hukuman kepada kamu berdua dengan Kitabullah. Hamba sahaya dan kambing dikembalikan kepadamu. Anakmu wajib dikenakan hukuman sebatan seratus kali dan diusir. Wahai Unais! (seorang lelaki daripada Bani Aslam), pergilah menemui isteri orang ini. Sekiranya dia mengakui perbuatannya, maka rejamlah dia.” Maka Unais berangkat menemui isteri lelaki tadi. Perempuan itu mengakui perbuatannya, lalu dia dihukum rejam (dengan dilempari batu-batu hingga mati).”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Allah Ta’ala melarang khususnya kepada para hakim memiliki rasa belas kasihan terhadap penzina sehingga tidak mahu melaksanakan hukum-hukum-Nya. Perasaan belas kasihan ini tidak dibenarkan oleh syarak. Sekiranya mereka tidak melakukan hukuman tersebut mereka sebenarnya telah menghalang kedua-duanya daripada membersihkan diri mereka kerana hukuman tersebut adalah sebagai penghapus dosa penzina. Oleh itu, hukuman tersebut hendaklah ditegakkan sekiranya mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Menurut Mujahid, makna ayat ini ialah sekiranya hal ini sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa, maka hendaklah segera dilaksanakan dan jangan ditangguhkan. Ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasullullah saw bersabda:
“Hindarkanlah pelaksanaan hukuman di antara kamu (usahakan penyelesaian di antara kamu secara damai), namun hukuman yang sudah sampai kepadaku, wajib dilaksanakan.”
(HR. Abu Daud)
Pelaksanaan hukuman tersebut hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman. Hikmahnya adalah untuk menanamkan rasa takut kepada orang-orang yang berkeinginan untuk melakukan perbuatan zina. Manakala para pelaku zina pula akan berasa takut dan serik untuk melakukannya lagi. Mereka juga akan berasa hina dan malu yang tidak terhingga bila mengingatkan hukuman tersebut dilakukan di khalayak ramai.
Ayat 3
ٱلزَّانِى لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَٱلزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَآ إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ
Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.
Merujuk kepada tafsir Al-Munir, makna ayat ini adalah lazimnya penzina yang merupakan orang fasik dan tertarik menikah dengan perempuan yang memiliki perilaku seperti dirinya iaitu perempuan penzina dan fasik yang tidak mempedulikan kehormatan dan kesucian diri. Biasanya dia tidak tertarik kepada perempuan solehah. Begitu jugalah keadaannya dengan perempuan penzina.
Manakala dalam Tafsir Ibnu Kathir pula mengatakan Allah Ta’ala menyatakan bahawa lelaki penzina tidak mungkin melakukan persetubuhan haram kecuali dengan wanita penzina atau wanita musyrik. Begitu juga wanita penzina tidak mungkin melakukannya kecuali dengan lelaki penzina atau lelaki musyrik.
Sufyan Ath-Thauri meriwayatkan daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan ayat, “dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik,” bermaksud bukanlah nikah melainkan jimak (bersetubuh) iaitu tidaklah bersetubuh dengan wanita penzina itu kecuali lelaki penzina atau lelaki musyrik.
Ayat “yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang mukmin” ialah diharamkan orang-orang mukmin lelaki menikahi wanita-wanita pelacur. Begitu juga dengan wanita-wanita mukmin yang terpelihara kesucian dirinya diharamkan bernikah dengan lelaki fasik. Manakala ‘Abdullah bin ‘Abbas ra menyatakan maksud ayat ini ialah Allah mengharamkan zina kepada kaum mukminin. Qatadah dan Muqatil bin Hayyan menyatakan maksudnya ialah Allah mengharamkan lelaki mukmin menikahi wanita pelacur.
Firman ini sama seperti firman-firman-Nya dalam ayat lain:
“…………dan berilah mas kahwinnya menurut yang patut, sedangkan mereka pun wanita-wanita yang memelihara diri, bukan penzina dan bukan (pula) wanita yang mengambil lelaki lain sebagai pasangan berzina……………”
An-Nisa’ 4:25
“……………Dan dihalalkan bagimu (menikahi) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kahwin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikan perempuan simpanan………”
Al-Ma’idah 5:5
Imam Ahmad berpendapat bahawa tidak sah akad pernikahan antara lelaki yang baik-baik dengan wanita pelacur selagi dia tidak bertaubat. Begitu jugalah halnya dengan wanita-wanita yang baik-baik tidak sah perkahwinannya dengan lelaki penzina sehingga dia bertaubat.
Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa seorang lelaki daripada golongan mukmin meminta kebenaran daripada Rasulullah saw untuk menikahi seorang wanita pelacur bernama Ummu Mahzul. Wanita ini akan memberi nafkah kepada suaminya daripada hasil pelacurannya (tidak bertaubat). Maka baginda membacakan ayat 3 daripada Surah An-Nur ini.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Seorang penzina yang dikenakan hukuman sebat tidak boleh menikah kecuali dengan penzina juga sepertinya.”
(HR. Ibnu Abi Hatim dan Abu Daud)