Harapan Orang Kafir ketika Menjelang Kematian
Surah 23: Al-Mu’minun (99 – 100)
Ayat 99
حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ ٱلْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ٱرْجِعُونِ
(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seorang daripada mereka, dia berkata, “Wahai Rabbku, kembalikanlah aku (ke dunia).
Ayat 100
لَعَلِّىٓ أَعْمَلُ صَـٰلِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّآ ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا ۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ
Agar aku dapat berbuat amal yang soleh yang telah aku tinggalkan.” Sekali-kali tidak, sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada barzakh (penghalang) sehingga hari mereka dibangkitkan.
Allah Swt menceritakan keadaan orang-orang kafir dan orang-orang yang lalai terhadap perintah-Nya pada saat kematian mereka telah tiba.
Mereka sangat menyesal apabila melihat tempat kembali mereka dan menyaksikan keburukan amalan masing-masing. Mereka meminta agar dipanjangkan umur iaitu dikembalikan ke dunia supaya boleh melakukan amalan soleh yang selama ini mereka tinggalkan semasa berada di dunia dahulu. Antara ucapan mereka disebutkan dalam firman-Nya:
“Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim, ‘Wahai Rabb kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti Rasul-rasul.’ (Kepada mereka dikatakan) ‘Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa?’”
Ibrahim 14:44
Permohonan mereka agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal soleh itu hanyalah ucapan dan kata-kata kosong yang tidak mungkin mereka tunaikan seperti firman Allah:
“……..Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka.”
Al-An’am 6:28
Menurut beberapa orang mufassir seperti Mujahid, Muhammad bin Ka’ab mengatakan barzakh adalah pemisah antara alam dunia dan alam akhirat iaitu alam kubur.
Dalam alam barzakh ini, orang-orang yang taat akan merasakan kenikmatan, sedangkan orang-orang yang bermaksiat akan merasakan penderitaan dan azab daripada sejak mereka mati sampailah mereka dibangkitkan.