Perintah Berdoa (Meminta Keselamatan) ketika Melihat Seksaan daripada Allah Swt
Surah 23: Al-Mu’minun (93 – 95)
Ayat 93
قُل رَّبِّ إِمَّا تُرِيَنِّى مَا يُوعَدُونَ
Katakanlah, “Wahai Rabb, jika Engkau sungguh-sungguh hendak memperlihatkan kepadaku azab yang diancamkan kepada mereka.
Ayat 94
رَبِّ فَلَا تَجْعَلْنِى فِى ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Wahai Rabbku, maka janganlah Engkau jadikan aku berada di antara orang-orang yang zalim.”
Ayat-ayat di atas merupakan ancaman besar kepada orang-orang musyrik yang tidak ambil peduli terhadap peringatan dan amaran Rasulullah saw dalam ayat-ayat sebelum ini. Ini kerana kezaliman mereka dengan menolak kebenaran itu mengundang kemurkaan dan seksaan Allah Ta’ala.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan baginda berdoa memohon kepada-Nya agar tidak ditimpakan seksaan ke atasnya ketika kehancuran menghampiri kaumnya. Ini bermaksud Allah tidak membinasakan baginda bersama-sama dengan mereka. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan At-Tirmizi:
“Jika Engkau berkehendak menimpakan fitnah (malapetaka di dunia) pada sekelompok kaum, maka matikanlah aku dalam keadaan selamat daripada fitnah itu.”
(HR. Ahmad)
Ayat 95
وَإِنَّا عَلَىٰٓ أَن نُّرِيَكَ مَا نَعِدُهُمْ لَقَـٰدِرُونَ
Dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa untuk memperlihatkan kepadamu apa yang Kami ancamkan kepada mereka.
Allah Ta’ala menyatakan, sekiranya Dia berkehendak nescaya Dia akan memperlihatkan kepada Rasulullah saw semua seksaan, bencana dan ujian yang ditimpakan kepada orang-orang yang ingkar itu.