Orang Musyrik Mengaku bahawa Allah Maha Pencipta tetapi Mendustakan Keesaan-Nya
Surah 23: Al-Mu’minun (84 – 90)
Ayat 84
قُل لِّمَنِ ٱلْأَرْضُ وَمَن فِيهَآ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Katakanlah, “Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?”
Ayat 85
سَيَقُولُونَ لِلَّهِ ۚ قُلْ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Mereka akan menjawab, “Kepunyaan Allah.” Katakanlah, “Maka apakah kamu tidak berfikir?”
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw bertanya kepada orang-orang musyrik yang mengingkari Hari Kebangkitan dan Pembalasan, siapakah pemilik bumi ini yang telah menciptakannya begitu sempurna, dipenuhi di atasnya dengan manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, dan makhluk-makhluk yang lain.
Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan, mereka pasti akan menjawab serta mengaku bahawa semuanya adalah milik Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya.
Oleh itu, Allah Ta’ala mengatakan mengapa mereka tidak sedar dan berfikir bahawa Rabb yang mencipta langit dan bumi serta lain-lain lagi, tentu berkuasa menghidupkan semula selepas mematikan.
Ayat 86
قُلْ مَن رَّبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ ٱلسَّبْعِ وَرَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْعَظِيمِ
Katakanlah, “Siapakah yang memiliki langit yang tujuh dan yang memiliki ‘Arasy yang besar?”
Ayat 87
سَيَقُولُونَ لِلَّهِ ۚ قُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ
Mereka akan menjawab, “Kepunyaan Allah.” Katakanlah, “Maka apakah kamu tidak bertakwa (takut)?”
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw bertanya kepada orang-orang musyrik siapakah yang telah menciptakan alam langit yang begitu unik dan sempurna. Bintang-bintang, planet-planet dan malaikat-malaikat semuanya tunduk kepada-Nya. Dia juga memerintahkan supaya bertanya kepada mereka siapakah yang memiliki ‘Arasy yang besar itu.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka pasti akan mengaku bahawa Dia adalah Pemilik langit dan Pemilik ‘Arasy yang besar. Maka sepatutnya mereka berasa takut dan gerun kepada seksaan-Nya dan menghindari azab-Nya serta tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain.
Ayat 88
قُلْ مَنۢ بِيَدِهِۦ مَلَكُوتُ كُلِّ شَىْءٍۢ وَهُوَ يُجِيرُ وَلَا يُجَارُ عَلَيْهِ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Katakanlah, “Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada (azab)-Nya, jika kamu mengetahui?”
Ayat 89
سَيَقُولُونَ لِلَّهِ ۚ قُلْ فَأَنَّىٰ تُسْحَرُونَ
Mereka akan menjawab, “Kepunyaan Allah.” Katakanlah, “(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?”
Seterusnya, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw bertanya kepada mereka siapakah yang berkuasa dan memiliki semua perbendaharaan serta dapat melindungi sesiapa sahaja yang Dia kehendaki daripada azab-Nya.
Jawapan mereka mengandungi pengakuan bahawa Dia-lah Rabb Yang Maha Besar yang menguasai segala sesuatu dan tidak ada yang dapat melindungi daripada azab-Nya melainkan Dia.
Dalam hati orang-orang musyrik ini sebenarnya mengakui dan meyakini Allah sebagai pencipta dan pentadbir sekalian makhluk. Oleh itu, apabila meyakini hal tersebut, mereka sepatutnya tidak tertipu dan menyimpang daripada kebenaran. Mereka sepatutnya tidak menyembah selain-Nya bersama-sama dengan yang lain.
Ayat 90
بَلْ أَتَيْنَـٰهُم بِٱلْحَقِّ وَإِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ
Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka, dan sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.
Maksud “kebenaran” dalam ayat ini ialah tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar melainkan Allah Ta’ala. Dia telah menegakkan semua dalil-dalil yang sahih tentang kebenaran tersebut dengan menyebutkan segala penciptaan dan kekuasaan-Nya dalam ayat-ayat sebelum ini.
Oleh itu, sebenarnya tidak ada satu dalil pun kepada orang-orang musyrik untuk mendorong mereka melakukan kebohongan dan kesesatan. Mereka melakukan hal tersebut adalah semata-mata mengikut jejak nenek moyang mereka dan orang-orang terdahulu yang tidak ada pegangan, jahil lagi mudah tertipu, seperti yang disebutkan oleh firman-firman-Nya:
“Bahkan mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami menganut suatu agama, dan sesungguhnya kami orang-orang yang mendapat petunjuk dengan (mengikuti) jejak mereka.’”
Az-Zukhruf 43:22
“Dan sesiapa menyembah ilah yang lain bersama-sama Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Rabbnya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tidak akan beruntung.”
Al-Mu’minun 23:117