Surah 23: Al-Mu’minun (68 – 71)

Sanggahan dan Celaan terhadap Orang Musyrik

Surah 23: Al-Mu’minun (68 – 71)


Ayat 68

أَفَلَمْ يَدَّبَّرُوا۟ ٱلْقَوْلَ أَمْ جَآءَهُم مَّا لَمْ يَأْتِ ءَابَآءَهُمُ ٱلْأَوَّلِينَ

Maka apakah mereka tidak memperhatikan perkataan (Kami), atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?

Allah Ta’ala mencela orang-orang musyrik, kerana mereka tidak mahu memahami dan memperhatikan isi Al-Quran yang agung. Sedangkan mereka adalah orang-orang yang diberikan keistimewaan dengan Al-Quran dan tidak asing bagi mereka penjelasannya, kefasihannya, balaghahnya dan kandungannya yang sangat mulia dan tidak ada sesuatu kitab pun yang diturunkan kepada seorang Rasul pun yang lebih sempurna dan lebih mulia daripada Al-Quran.

Kemudian Allah Ta’ala mempersoalkan lagi adakah mereka tidak pernah mendengar bahawa ada Rasul-rasul yang telah diutuskan kepada nenek moyang mereka terdahulu dengan membawa agama dan syariat-Nya. Sungguh telah datang kepada nenek moyang mereka para Rasul yang diturunkan kitab-kitab dan orang-orang musyrik mengetahui akan hal itu.

Ayat 69

أَمْ لَمْ يَعْرِفُوا۟ رَسُولَهُمْ فَهُمْ لَهُۥ مُنكِرُونَ

Atau adakah mereka tidak mengenali Rasul mereka, kerana itu mereka memungkirinya?

Allah Ta’ala bertanya adakah mereka tidak mengenali Rasulullah saw sehingga mereka mengingkarinya padahal mereka telah mengetahui tentang kejujuran baginda semenjak baginda masih kecil hinggalah ke saat baginda mengajak mereka kepada-Nya.

Ayat 70

أَمْ يَقُولُونَ بِهِۦ جِنَّةٌۢ ۚ بَلْ جَآءَهُم بِٱلْحَقِّ وَأَكْثَرُهُمْ لِلْحَقِّ كَـٰرِهُونَ

Atau (adakah patut) mereka berkata, “Padanya (Muhammad) ada penyakit gila.” Sebenarnya dia telah membawa kebenaran kepada mereka, dan kebanyakan mereka benci kepada kebenaran.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh orang-orang musyrik kepada Rasulullah saw adalah tidak benar. Mereka menuduh baginda seorang yang gila. Padahal baginda adalah seorang lelaki yang bersikap jujur, amanah dan terpuji. Baginda mengucapkan kata-kata yang hak dan mengajak kepada kebenaran.

Sebenarnya inilah rahsia daripada penolakan dan kesombongan mereka iaitu sesungguhnya mereka tidak mahu beriman dan jelas kelihatan kebencian mereka terhadap kebenaran.

Ayat 71

وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلْحَقُّ أَهْوَآءَهُمْ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَـٰهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ

Seandainya kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan mereka tetapi mereka berpaling daripada kebanggaan itu.

Sekiranya kebenaran yang datang dari sisi Allah seperti Al-Quran, mengikuti kehendak hawa nafsu mereka dan sesuai pula dengan keinginan mereka, pasti alam seluruhnya baik langit mahupun bumi akan mengalami kehancuran. Pelaku kebatilan tidak akan dapat melihat sesuatu melainkan yang batil.

Oleh itu, sudah tentu kehidupan mereka berlawanan dengan kebenaran. Sekiranya tindakan pelanggaran dan kezaliman dibenarkan, pasti akan mengakibatkan kehancuran alam semesta. Firman-Nya:

“Dan mereka berkata, ‘Mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada seorang besar daripada salah satu dua negeri (Mekah dan Taif) ini?’ Apakah mereka yang membahagi-bahagi rahmat Rabbmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat Rabbmu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.”

Az-Zukhruf 43:31-32

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah memberikan Al-Quran kepada mereka yang sepatutnya dijadikan suatu kebanggaan dan kemuliaan. Namun disebabkan mereka memiliki hati yang rosak, maka mereka berpaling daripadanya.