Surah 23: Al-Mu’minun (62 – 67)

Keadilan Allah Swt dan Kesesatan Orang Musyrik

Surah 23: Al-Mu’minun (62 – 67)


Ayat 62

وَلَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۖ وَلَدَيْنَا كِتَـٰبٌ يَنطِقُ بِٱلْحَقِّ ۚ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya.

Setelah Allah Ta’ala menyebutkan dalam ayat-ayat sebelumnya tentang sifat-sifat orang-orang yang bersegera melakukan kebaikan, dalam ayat ini pula Dia menyebutkan bahawa kewajipan yang dibebankan kepada hamba-hamba-Nya adalah mudah untuk dilaksanakan. Ini kerana Dia tidak membebankan seseorang melakukan apa yang di luar kemampuannya.

Pada Hari Kiamat kelak, Allah Ta’ala akan menghisab segala amalan yang tertulis rapi di dalam kitab catatan amalan masing-masing. Tidak ada sesuatu pun daripada amalan mereka yang tidak tercatat ataupun hilang. Mereka juga tidak akan dizalimi dan dirugikan sedikit pun daripada kebaikan yang telah dilakukan.

Ayat 63

بَلْ قُلُوبُهُمْ فِى غَمْرَةٍ مِّنْ هَـٰذَا وَلَهُمْ أَعْمَـٰلٌ مِّن دُونِ ذَٰلِكَ هُمْ لَهَا عَـٰمِلُونَ

Tetapi hati mereka (orang-orang kafir) itu dalam kesesatan daripada (memahami kenyataan) ini, dan mereka (banyak mengerjakan) perbuatan-perbuatan (buruk) lain, yang mereka tetap mengerjakannya.

Seandainya mereka memahami isi Al-Quran dan merenungkan pengajarannya, nescaya mereka tidak melakukan kejahatan kerana yakin bahawa Allah Ta’ala akan membalasnya walaupun sekecil-kecil perbuatan.

Oleh itu, selain lalai dengan peringatan Al-Quran mereka terus menerus berada dalam kesyirikan dan melakukan kejahatan yang lain, seperti mencerca Rasulullah saw serta memperolok-olokkan Al-Quran.

Muqatil bin Hayyan, As-Suddi dan ‘Abdurrahman bin Zaid bin Aslam menyatakan maksud “dan mereka (banyak mengerjakan) perbuatan-perbuatan (buruk) lain, yang mereka tetap mengerjakannya,” ialah sungguh, telah dituliskan amal-amal buruk yang pasti mereka lakukan sebelum kematian mereka agar ketentuan azab daripada Rabb betul-betul terbukti kebenarannya.

Ayat 64

حَتَّىٰٓ إِذَآ أَخَذْنَا مُتْرَفِيهِم بِٱلْعَذَابِ إِذَا هُمْ يَجْـَٔرُونَ

Hingga apabila Kami timpakan azab kepada orang-orang yang hidup mewah di antara mereka, dengan serta merta mereka memekik minta tolong.

Allah Ta’ala menyatakan apabila Dia menimpakan seksaan kepada orang-orang yang hidup mewah di kalangan mereka yang melakukan kejahatan dan syirik, mereka serta merta berteriak dengan suara yang keras sambil meminta tolong.

Ayat 65

لَا تَجْـَٔرُوا۟ ٱلْيَوْمَ ۖ إِنَّكُم مِّنَّا لَا تُنصَرُونَ

Janganlah kamu memekik minta tolong pada hari ini. Sesungguhnya kamu tidak akan mendapat pertolongan daripada Kami.

Kemudian Allah Ta’ala mengatakan bahawa tidak ada gunanya orang-orang kafir ini berteriak meminta tolong pada hari itu kerana tiada seorang pun yang dapat menolong mereka daripada apa yang ditimpakan kepada mereka, sama ada dengan menjerit-jerit atau pun diam sahaja. Ini kerana tidak ada peluang untuk mereka melepaskan diri atau pun mencari tempat untuk berlindung. Semua itu telah menjadi ketetapan yang mesti mereka lalui dan menanggung seksa serta merasakan kepedihan sebagaimana firman-Nya:

“Betapa banyaknya umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, lalu mereka meminta tolong, padahal (waktu itu) bukanlah saat untuk lari melepaskan diri.”

Sad 38:3

Ayat 66

قَدْ كَانَتْ ءَايَـٰتِى تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فَكُنتُمْ عَلَىٰٓ أَعْقَـٰبِكُمْ تَنكِصُونَ

Sesungguhnya ayat-ayat-Ku (Al-Quran) selalu dibacakan kepada kamu sekalian, maka kamu selalu berpaling ke belakang.

Ayat 67

مُسْتَكْبِرِينَ بِهِۦ سَـٰمِرًا تَهْجُرُونَ

Dengan merasa sombong kerana adanya Kaabah dan mengucapkan perkataan-perkataan keji terhadapnya (Al-Quran/Muhammad) pada waktu kamu bercakap-cakap pada malam hari.

Allah Ta’ala menyatakan sebab-sebab pertolongan-Nya tertutup adalah:

▪️  Setiap kali ayat-ayat Al-Quran dibacakan kepada mereka, dengan serta merta mereka berpaling dan lari daripadanya. Mereka memilih untuk berpaling daripada kebenaran apabila diseru.

▪️  Mereka menyombongkan diri dan berbangga dengan Kaabah di tengah-tengah mereka.

Mereka menyangka dan meyakini bahawa mereka adalah pelayan dan penjaga Kaabah dan kekasih-kekasih Allah namun sebenarnya mereka bukanlah begitu.

Oleh itu, mereka menghabiskan masa dengan memperkatakan perkara-perkara yang tidak membawa kebaikan sama sekali. Ini dilakukan pada waktu malam dengan tujuan menghindarkan diri daripada mendengar perkara-perkara yang hak dan seruan ayat-ayat Allah yang dibacakan kepada mereka.