Surah 23: Al-Mu’minun (57 – 61)

Sifat Pelaku Kebaikan

Surah 23: Al-Mu’minun (57 – 61)


Ayat 57

إِنَّ ٱلَّذِينَ هُم مِّنْ خَشْيَةِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Rabb mereka,

Ayat 58

وَٱلَّذِينَ هُم بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ

Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Rabb mereka,

Ayat 59

وَٱلَّذِينَ هُم بِرَبِّهِمْ لَا يُشْرِكُونَ

Dan orang-orang yang tidak menyekutukan dengan Rabb mereka (sesuatu apa pun),

Dalam ayat 57-61 ini, Allah Ta’ala memberitahu sifat-sifat orang yang bersegera dalam kebajikan, mereka adalah:

▪️  Sentiasa takut kepada azab Allah Ta’ala dan sentiasa berada dalam ketaatan.

Golongan ini memiliki keimanan yang kukuh dan sentiasa melakukan amal soleh, mereka begitu berhati-hati dan sentiasa berasa bimbang akan mendapat azab-Nya pada hari akhirat kelak.

Al-Hasan Al-Basri, mengatakan bahawa sesungguhnya dalam diri orang-orang mukmin itu terdapat kebaikan dan rasa takut kepada Allah. Sebaliknya dalam diri orang-orang munafik pula terdapat keburukan dan rasa aman daripada azab-Nya.

▪️  Beriman dan meyakini kebesaran Allah Ta’ala sama ada tanda-tanda (kauniyyah) yang dapat dilihat pada kejadian alam semesta mahupun daripada ayat-ayat-Nya yang terdapat dalam Al-Quran, sebagaimana firman-Nya tentang Maryam:

“……….Dan dia (Maryam) membenarkan kalimat-kalimat Rabbnya dan kitab-kitab-Nya…..”

At-Tahrim 66:12

▪️   Tidak menyekutukan Allah Ta’ala sama ada pada Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan juga dalam beribadah kepada-Nya. Mereka mentauhidkan-Nya dan beribadah sesuai dengan syariat-Nya.

Ayat 60

وَٱلَّذِينَ يُؤْتُونَ مَآ ءَاتَوا۟ وَّقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَىٰ رَبِّهِمْ رَٰجِعُونَ

Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rabb mereka,

Ayat 61

أُو۟لَـٰٓئِكَ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَهُمْ لَهَا سَـٰبِقُونَ

Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.

▪️  Menunaikan semua hak dan kewajipan terhadap Allah Ta’ala tetapi masih berasa takut kepada-Nya sekiranya mereka lalai dalam melaksanakan tuntutan tersebut. Mereka juga bimbang segala kewajipan yang dilaksanakan itu tidak diterima oleh-Nya.

Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada ‘Aisyah ra yang mengatakan bahawa beliau pernah bertanya:

“Wahai Rasulullah, firman Allah, “Dan mereka yang memberikan apa yang mereka berikan dengan hati penuh rasa takut,” apakah yang dimaksudkan dengannya adakah seseorang yang mencuri, berzina, dan minum arak dalam keadaan takut kepada Allah?” Baginda menjawab, “Bukan, wahai puteri Abu Bakar, wahai puteri As-Siddiq! Yang dimaksudkan adalah orang-orang yang melaksanakan solat, puasa dan bersedekah seraya mereka berasa takut kepada Allah.”

(HR. Ahmad)

Orang-orang yang bersegera dan saling berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan ini kelak di akhirat mereka akan memperoleh kebahagiaan dan kegembiraan iaitu syurga.