Surah 23: Al-Mu’minun (52 – 56)

Ancaman terhadap Orang-orang yang Berpecah-belah

Surah 23: Al-Mu’minun (52 – 56)


Ayat 52

وَإِنَّ هَـٰذِهِۦٓ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً وَأَنَا۠ رَبُّكُمْ فَٱتَّقُونِ

Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka bertakwalah kepada-Ku.

Allah Swt memberitahu para Rasul-Nya bahawa agama mereka adalah agama yang satu iaitu Islam. Agama ini adalah agama yang menyeru manusia agar menyembah semata-mata kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya.

Allah Ta’ala juga mengatakan bahawa Dia-lah Rabb sekalian makhluk. Dia menguasai dan mentadbir segala urusan mereka. Oleh itu, hendaklah mereka mencari keredhaan-Nya dengan mengerjakan perintah-Nya.

Ayat 53

فَتَقَطَّعُوٓا۟ أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ

Kemudian mereka (pengikut-pengikut Rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

Allah Ta’ala menyatakan para pengikut Rasul-rasul telah menyelisihi perintah Rasul-rasul mereka sehingga agama terpecah menjadi beberapa kelompok. Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah saw bersabda:

“Ketahuilah bahawa ahli kitab sebelum kamu telah berpecah menjadi tujuh puluh dua agama dan umat ini akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga, yang tujuh puluh dua akan masuk ke dalam neraka, sedangkan yang akan masuk ke dalam syurga hanya satu iaitu Al-Jama’ah.”

(HR. Abu Daud)

At-Tarmizi juga meriwayatkan hadis yang sama seperti di atas dengan tambahan:

“Para sahabat bertanya, ‘Siapakah itu wahai Rasullullah?’ Baginda menjawab, ‘Yang berada atas jalanku dan para sahabatku.’”

(HR. At-Tarmizi)

Golongan yang berpecah ini berbeza pendapat dalam agama mereka sehingga membentuk beberapa aliran fahaman yang sangat banyak. Mereka berasa bangga dengan kesesatan mereka kerana menyangka bahawa pihak mereka berada pada jalan yang benar.

Ayat 54

فَذَرْهُمْ فِى غَمْرَتِهِمْ حَتَّىٰ حِينٍ

Maka biarkanlah mereka dalam kesesatannya sampai suatu waktu.

Allah Ta’ala menakut-nakutkan dan mengancam mereka yang sesat ini dengan menyuruh para Rasul meninggalkan mereka hingga sampai kepada waktu mereka dibinasakan. Hal ini sama seperti yang disebutkan oleh firman-firman-Nya:

“Kerana itu berilah penangguhan kepada orang-orang kafir. Berilah mereka kesempatan untuk sementara waktu.”

At-Tariq 86:17

“Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).”

Al-Hijr 15:3

Ayat 55

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِۦ مِن مَّالٍ وَبَنِينَ

Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),

Ayat 56

نُسَارِعُ لَهُمْ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ بَل لَّا يَشْعُرُونَ

Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

Ayat-ayat di atas merupakan sindiran kepada golongan orang-orang kafir yang terperdaya dengan banyaknya harta benda dan anak-anak. Mereka menyangka bahawa anugerah yang diberikan Allah Ta’ala kepada mereka itu merupakan petanda bahawa mereka telah diberikan kemuliaan dan penghormatan. Amatlah jauh sekali apa yang mereka sangkakan.

Sebenarnya semua kesenangan dan kemewahan yang mereka peroleh itu adalah sebagai satu amaran dan istidraj iaitu penangguhan waktu daripada-Nya, sebagaimana firman-Nya:

“Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah bermaksud dengan itu (memberi harta benda dan anak-anak) adalah untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak mereka akan mati dalam keadaan kafir.”

At-Taubah 9:55