Perintah agar Makan Makanan yang Halal dan Beramal Soleh
Surah 23: Al-Mu’minun (51)
Ayat 51
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرُّسُلُ كُلُوا۟ مِنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَٱعْمَلُوا۟ صَـٰلِحًا ۖ إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
Wahai para Rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya iaitu para Rasul agar makan makanan yang baik (halal) dan melakukan amal soleh. Hal ini menunjukkan bahawa makanan yang halal dapat membantu seseorang itu melakukan amalan soleh. Oleh itu, para Nabi mengerjakan perintah ini dengan sebaik-baiknya. Mereka menggabungkan semua kebaikan, sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan, tunjuk ajar dan juga nasihat.
Dalam kitab Sahih Muslim, kitab Jaami’ At-Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad, terdapat hadis daripada Abu Hurairah ra, dia mengatakan Rasulullah saw bersabda:
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima kecuali yang baik sahaja. Sesungguhnya Dia telah memerintahkan kepada kaum mukminin seperti apa yang telah diperintahkan-Nya kepada para Rasul-(Nya). Allah Ta’ala berfirman, ‘Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.’ Allah Swt juga berfirman, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu.’ (Al-Baqarah 2:172). Selanjutnya baginda menceritakan kisah seseorang yang sekian lama menempuh perjalanan dengan rambut yang kusut dan tubuh penuh dengan debu. Sementara makanan yang dimakannya haram, minuman yang diteguknya haram dan pakaian yang dikenakannya pun haram, (tegasnya) diberi makan dengan sesuatu yang haram. Dia pun menadahkan kedua-dua belah tangannya ke langit sambil berdoa, ‘Wahai Rabbku! Wahai Rabbku!’ Maka bagaimana mungkin doa yang dipanjatkannya itu dimakbulkan.”
(HR. Muslim)
Sesungguhnya segala sesuatu yang dilakukan, tidak tersembunyi daripada pengetahuan Allah Swt. Dia akan memberi balasan dan pahala yang secukupnya.