Surah 23: Al-Mu’minun (50)

Kisah Nabi Isa as dan Ibunya Maryam

Surah 23: Al-Mu’minun (50)


Ayat 50

وَجَعَلْنَا ٱبْنَ مَرْيَمَ وَأُمَّهُۥٓ ءَايَةً وَءَاوَيْنَـٰهُمَآ إِلَىٰ رَبْوَةٍۢ ذَاتِ قَرَارٍ وَمَعِينٍ

Dan telah Kami jadikan (‘Isa) putera Maryam berserta ibunya suatu bukti yang nyata bagi (kekuasaan Kami), dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menjadikan Nabi ‘Isa as dan ibunya sebagai suatu bukti yang jelas terhadap kekuasaan, ilmu dan kebijaksanaan-Nya. Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Berkuasa, Dia mencipta Nabi ‘Isa as daripada seorang wanita tanpa suami. Peristiwa yang sungguh menakjubkan ini sepatutnya menjadikan seseorang itu beriman dan beribadah serta mentauhidkan-Nya.

“Dan (ingatlah kisah) wanita (Maryam) yang telah memelihara kehormatannya, lalu Kami tiupkan ke dalamnya (rahim) roh daripada Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi semesta alam.”

Al-Anbiya’ 21:91

Allah Ta’ala juga telah menempatkan Maryam dan Nabi ‘Isa as di bukit yang tinggi lagi datar yang banyak terdapat padang-padang rumput serta sumber-sumber air bersih.

Adh-Dhahhak daripada Ibnu ‘Abbas ra menyatakan maksud, “di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir,” ialah dataran tinggi yang sangat baik bagi tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan. Pendapat ini juga dikemukakan oleh Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id bin Jubair dan Qatadah. Adh-Dhahhak dan Qatadah juga berpendapat tempat itu adalah Baitul Maqdis.

Al-‘Aufi daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud, “air yang mengalir,” ialah sungai seperti dalam firman Allah:

“Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah, ‘Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Rabbmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu.”

Maryam 19:24