Kisah Kaum yang Mendustakan Para Rasul Pasti Binasa
Surah 23: Al-Mu’minun (31 – 44)
Ayat 31
ثُمَّ أَنشَأْنَا مِنۢ بَعْدِهِمْ قَرْنًا ءَاخَرِينَ
Kemudian, Kami jadikan sesudah mereka umat yang lain.
Allah Ta’ala menyatakan, bahawa setelah Dia membinasakan kaum Nabi Nuh as, Dia menciptakan pula umat yang lain. Ada yang berpendapat, maksud “umat yang lain” dalam ayat ini ialah kaum ‘Aad, kerana merekalah yang muncul setelah kehancuran kaum Nabi Nuh as. Namun ada juga yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “umat yang lain” itu ialah kaum Thamud. Hal itu dikuatkan dengan jenis seksaan yang memusnahkan mereka ialah pekikan suara yang kuat, sebagaimana firman-Nya:
“Maka mereka pun dimusnahkan oleh suara yang benar-benar menggemparkan…………”
Al-Mu’minun 23:41
Ayat 32
فَأَرْسَلْنَا فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ ۖ أَفَلَا تَتَّقُونَ
Lalu Kami utus kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri (yang berkata), “Sembahlah Allah oleh kamu sekalian, sekali-kali tidak ada ilah (sembahan-sembahan) yang hak selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?”
Lalu Allah Swt telah mengutuskan di tengah-tengah kaum tersebut seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri untuk mengajak mereka menyembah-Nya semata-mata. Dia-lah yang telah menciptakan dan memberi rezeki kepada mereka. Mereka sepatutnya berasa takut kepada-Nya dan gerun terhadap balasan yang akan diterima jika mereka mengingkari-Nya.
Ayat 33
وَقَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِهِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِلِقَآءِ ٱلْـَٔاخِرَةِ وَأَتْرَفْنَـٰهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا مَا هَـٰذَآ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يَأْكُلُ مِمَّا تَأْكُلُونَ مِنْهُ وَيَشْرَبُ مِمَّا تَشْرَبُونَ
Dan berkatalah pemuka-pemuka yang kafir di antara kaumnya dan yang mendustakan akan menemui Hari Akhirat (kelak) dan yang telah Kami mewahkan mereka dalam kehidupan di dunia, “(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia makan daripada apa yang kamu makan, dan minum daripada apa yang kamu minum.
Namun ternyata pembesar-pembesar kafir yang telah diberikan kemewahan dengan keluasan rezeki oleh Allah Ta’ala mendustakan, menentang dan enggan mengikuti ajaran Rasul. Ini kerana mereka tidak mahu mengikuti seorang Rasul daripada jenis manusia seperti mereka. Selain itu, mereka juga mendustakan Hari Kebangkitan.
Ayat 34
وَلَئِنْ أَطَعْتُم بَشَرًا مِّثْلَكُمْ إِنَّكُمْ إِذًا لَّخَـٰسِرُونَ
Dan sesungguhnya jika kamu sekalian mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya bila demikian, kamu benar-benar (menjadi) orang-orang yang rugi.
Mereka juga mengatakan sekiranya kaum mereka mengikuti kata-kata Rasul yang diutuskan kepada mereka, maka mereka akan rugi dalam kehidupan mereka di dunia ini.
Ayat 35
أَيَعِدُكُمْ أَنَّكُمْ إِذَا مِتُّمْ وَكُنتُمْ تُرَابًا وَعِظَـٰمًا أَنَّكُم مُّخْرَجُونَ
Apakah dia menjanjikan kepada kamu sekalian, bahawa bila kamu telah mati dan telah menjadi tanah dan tulang-belulang kamu sesungguhnya akan dikeluarkan (dari kuburmu)?
Ayat 36
هَيْهَاتَ هَيْهَاتَ لِمَا تُوعَدُونَ
Jauh, jauh sekali (daripada kebenaran) apa yang diancamkan kepada kamu itu.
Pembesar-pembesar ini juga tidak mempercayai bahawa mereka akan dihidupkan semula ketika dibangkitkan dari kubur iaitu setelah jasad manusia hancur menjadi tanah. Bagi mereka amatlah mustahil dan sangat jauh daripada kebenaran tentang apa yang diperkatakan oleh utusan Allah itu.
Ayat 37
إِنْ هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ
Kehidupan itu tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi.
Orang-orang kafir mempercayai bahawa mereka hanya hidup di dunia ini sahaja. Ini kerana mereka yakin bahawa apabila satu generasi mati, satu generasi yang selanjutnya pula akan hidup dan sekali-kali mereka tidak akan dibangkitkan lagi.
Ayat 38
إِنْ هُوَ إِلَّا رَجُلٌ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا وَمَا نَحْنُ لَهُۥ بِمُؤْمِنِينَ
Dia tidak lain hanyalah seorang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah, dan kami sekali-kali tidak akan beriman kepadanya.”
Mereka mendakwa bahawa semua berita yang disampaikan oleh pesuruh Allah tentang kerasulannya, keesaan-Nya, peringatan dan berita-berita tentang Hari Kiamat adalah satu pembohongan.
Ayat 39
قَالَ رَبِّ ٱنصُرْنِى بِمَا كَذَّبُونِ
Rasul itu berdoa, “Wahai Rabbku, tolonglah aku kerana mereka mendustakanku.”
Ayat 40
قَالَ عَمَّا قَلِيلٍ لَّيُصْبِحُنَّ نَـٰدِمِينَ
Allah berfirman, “Sebentar lagi pasti mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal.”
Setelah Rasul yang diutuskan kepada mereka mendapati kaumnya terus menentangnya, Rasul pun memohon pertolongan dan bantuan daripada Allah Ta’ala dalam menghadapi kaumnya, lalu Dia memperkenankan doanya. Kemudian Allah Ta’ala memberi jaminan kepada Rasul-Nya bahawa orang-orang kafir akan menyesal kerana menentangnya dan mengingkari apa yang disampaikannya kepada mereka.
Ayat 41
فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّيْحَةُ بِٱلْحَقِّ فَجَعَلْنَـٰهُمْ غُثَآءً ۚ فَبُعْدًا لِّلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Maka mereka pun dimusnahkan oleh suara yang benar-benar menggemparkan dan Kami jadikan mereka (sebagai) sampah banjir, maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu.
Maka Allah Ta’ala mendatangkan azab berupa gabungan antara angin yang kencang lagi sangat kuat dan sangat dingin menyebabkan mereka semua mati dan binasa seperti buih banjir, iaitu sesuatu yang hina lagi tiada manfaatnya sama sekali. Firman-Nya:
“Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabbnya, sehingga mereka tidak kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka………”
Al-Ahqaf 46:25
Sememangnya mereka berhak mendapat azab ini disebabkan kekafiran, keingkaran, dan sikap mereka yang selalu menentang utusan Allah. Firman-Nya:
“Dan tidaklah Kami menganiayai mereka, tetapi merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri.”
Az-Zukhruf 43:76
Oleh itu, kisah kebinasaan kaum-kaum ini hendaklah dijadikan pelajaran buat orang-orang yang mendustakan Rasul mereka.
Ayat 42
ثُمَّ أَنشَأْنَا مِنۢ بَعْدِهِمْ قُرُونًا ءَاخَرِينَ
Kemudian Kami ciptakan sesudah mereka umat-umat yang lain.
Setelah Allah Swt membinasakan suatu kaum, Dia menggantikan umat lain yang hidup silih berganti mengikut ketentuan-Nya.
Ayat 43
مَا تَسْبِقُ مِنْ أُمَّةٍ أَجَلَهَا وَمَا يَسْتَـْٔخِرُونَ
Tidak (dapat) suatu umat pun dapat mendahului ajalnya, dan tidak (dapat pula) mereka terlambat (daripada ajalnya itu).
Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada satu umat pun yang dibinasakan itu dilambatkan atau dicepatkan ajalnya. Mereka dibinasakan sesuai dengan takdir yang ditetapkan oleh-Nya kepada mereka dalam Lauh Mahfuzh.
Allah Maha Mengetahui ketetapan mereka sebelum mereka tercipta sebagai umat manusia yang hidup silih berganti daripada satu generasi ke satu generasi yang lain.
Ayat 44
ثُمَّ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا تَتْرَا ۖ كُلَّ مَا جَآءَ أُمَّةً رَّسُولُهَا كَذَّبُوهُ ۚ فَأَتْبَعْنَا بَعْضَهُم بَعْضًا وَجَعَلْنَـٰهُمْ أَحَادِيثَ ۚ فَبُعْدًا لِّقَوْمٍ لَّا يُؤْمِنُونَ
Kemudian Kami utus (kepada umat-umat itu) para Rasul Kami berturut-turut. Tiap-tiap seorang Rasul datang kepada umatnya, umat itu mendustakannya, maka Kami ikutkan sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. Dan Kami jadikan mereka buah tutur (manusia), maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang tidak beriman.
Ibnu ‘Abbas ra menyatakan maksud “Kemudian Kami utus (kepada umat-umat itu) para Rasul Kami berturut-turut,” ialah sebahagian daripada mereka datang secara berurutan setelah kedatangan yang lainnya. Firman Allah:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyeru), ‘Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah taghut itu’ maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya…….”
An-Nahl 16:36
Setiap kali diutuskan Rasul kepada suatu umat dengan membawa syariat dan hukum yang telah ditetapkan, sebahagian besar daripada mereka mendustakan Rasul tersebut dan meniru jejak langkah orang-orang terdahulu yang telah dibinasakan-Nya. Firman Allah:
“Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu, tiada datang seorang Rasul pun kepada mereka melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya.”
Yasin 36:30
Setiap kali satu umat mendustakan Rasul-Nya dan menolak untuk bertaubat serta kembali kepada Allah Ta’ala, Dia akan menghancurkan-Nya sebagaimana firman-Nya:
“Dan berapa banyak kaum setelah Nuh yang telah Kami binasakan…….”
Al-Isra’ 17:17
Kisah mereka menjadi bahan pembicaraan dan perbualan generasi setelah mereka. Keadaan mereka sering disebut dan diriwayatkan di kalangan manusia sebagaimana firman Allah:
“………….Maka Kami jadikan mereka bahan pembicaraan dan Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya……..”
Saba’ 34:19
Kemudian Allah Ta’ala menutup ayat di atas dengan peringatan dan ancaman yang keras kepada kaum-kaum yang tidak mengimani kewujudan-Nya, keesaan-Nya dan pengutusan para Rasul-Nya. Dia pasti akan menghancurkan mereka di dunia, sementara azab di akhirat adalah hal yang ditunggu-tunggu dan pasti akan berlaku.