Segala Ciptaan Allah Swt di Langit dan di Bumi Merupakan Nikmat kepada Hamba-hamba-Nya
Surah 23: Al-Mu’minun (17 – 22)
Ayat 17
وَلَقَدْ خَلَقْنَا فَوْقَكُمْ سَبْعَ طَرَآئِقَ وَمَا كُنَّا عَنِ ٱلْخَلْقِ غَـٰفِلِينَ
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan di atas kamu tujuh buah jalan (tujuh buah langit), dan Kami tidaklah lalai terhadap ciptaan (Kami).
Setelah Allah Ta’ala menjelaskan proses penciptaan manusia dalam ayat-ayat yang lepas, dalam ayat 17-22 Dia menyebutkan pula perihal kekuasaan-Nya iaitu:
▪️ Penciptaan langit
Allah Ta’ala seringkali membuat penjelasan tentang penciptaan langit dan bumi secara beriringan dengan penjelasan tentang proses penciptaan manusia sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia……..”
Al-Mu’min 40:57
Mujahid mengatakan maksud “tujuh jalan” ialah tujuh lapis langit sebagaimana firman-firman Allah:
“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah……..”
Al-Isra’ 17:44
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis?”
Nuh 71:15
Allah Maha Mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar darinya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Allah mengetahui jumlah semua makhluk ciptaan-Nya dan tidak pernah lalai terhadap apa yang telah Dia ciptakan sebagaimana firman-Nya:
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia, dan Dia mengetahui apa yang ada didaratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).”
Al-An’am 6:59
Ayat 18
وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۢ بِقَدَرٍ فَأَسْكَنَّـٰهُ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ وَإِنَّا عَلَىٰ ذَهَابٍۭ بِهِۦ لَقَـٰدِرُونَ
Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran, lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.
Allah Ta’ala menyatakan lagi dalil-dalil kekuasaan-Nya dengan menyebutkan pelbagai nikmat yang tidak terbatas dan tidak terhitung yang dianugerahkan kepada hamba-hamba-Nya.
▪️ Penurunan hujan
Allah Ta’ala menurunkan air hujan dari langit dengan suatu ukuran yang sesuai mengikut keperluan sama ada untuk pengairan, keperluan manusia dan juga makhluk-makhluk-Nya yang lain. Turunnya tidak terlalu berlebihan sehingga menyebabkan kerosakan di bumi dan tidak juga terlalu sedikit sehingga tidak cukup untuk mengairi tanaman dan buah-buahan.
Allah Ta’ala juga menjadikan air menetap dalam perut bumi sebagai air yang tersimpan yang dapat diserap oleh benih dan biji-bijian yang berada di dalam tanah.
Seandainya Allah Ta’ala berkehendak untuk tidak menurunkan hujan ke atas bumi nescaya Dia berkuasa melakukannya. Sekiranya Dia hendak mengalihkan limpahan air itu ke tanah yang tandus dan gersang maka Dia berkuasa melakukannya. Begitu juga Dia berkuasa menjadikan air masin yang tidak dapat dijadikan minuman atau untuk mengairi tumbuh-tumbuhan.
Namun dengan rahmat-Nya, Allah Ta’ala menurunkan air hujan dari langit dengan rasa tawar dan menyegarkan. Dia-lah yang mengatur sistem yang sempurna menjadikan sumber-sumber air di bumi, mewujudkan mata air-mata air dan sungai-sungai yang bermanfaat untuk manusia, tanam-tanaman, binatang ternak dan lain-lain lagi.
Ayat 19
فَأَنشَأْنَا لَكُم بِهِۦ جَنَّـٰتٍ مِّن نَّخِيلٍ وَأَعْنَـٰبٍ لَّكُمْ فِيهَا فَوَٰكِهُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Lalu dengan air itu, Kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun kurma dan anggur, di dalam kebun-kebun itu kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagian daripada buah-buahan itu kamu makan.
Ayat 20
وَشَجَرَةً تَخْرُجُ مِن طُورِ سَيْنَآءَ تَنۢبُتُ بِٱلدُّهْنِ وَصِبْغٍ لِّلْـَٔاكِلِينَ
Dan pohon kayu yang keluar dari Tursina (pohon zaitun), yang menghasilkan minyak, dan menjadi lauk-pauk bagi orang-orang yang makan.
▪️ Penumbuhan tumbuh-tumbuhan
Air yang telah diturunkan dari langit itu, mewujudkan kebun-kebun dan taman-taman yang subur dan indah dipandang. Kebun-kebun tersebut ditumbuhi pokok-pokok kurma, anggur dan juga pokok buah-buahan yang lain. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman, zaitun, kurma, anggur dan pelbagai jenis buah-buahan………….”
An-Nahl 16:11
“Pohon kayu yang keluar dari Tursina” bermaksud pokok zaitun. Pokok-pokok zaitun banyak tumbuh di sekitar Gunung Sinai dan mempunyai banyak manfaat. Buahnya boleh dimakan dan minyaknya boleh digunakan sebagai bahan-bahan campuran ke dalam masakan.
Imam ‘Abd bin Humaid meriwayatkan di dalam musnad dan tafsirnya daripada ‘Umar bin Al-Khattab ra bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Makanlah minyak zaitun dan gunakan (juga) untuk meminyaki (rambut dan sebagainya) kerana sesungguhnya minyak tersebut berasal daripada sebuah pohon yang diberkati.”
(HR. At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Ayat 21
وَإِنَّ لَكُمْ فِى ٱلْأَنْعَـٰمِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِى بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَـٰفِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak benar-benar terdapat pelajaran yang penting bagi kamu, Kami memberi minum kamu daripada air susu yang ada dalam perutnya, dan (juga) pada binatang-binatang ternak itu terdapat faedah yang banyak untuk kamu, dan sebahagian daripadanya kamu makan.
Ayat 22
وَعَلَيْهَا وَعَلَى ٱلْفُلْكِ تُحْمَلُونَ
Dan di atas punggung binatang-binatang ternak itu dan (juga) di atas perahu-perahu, kamu diangkut.
▪️ Binatang ternakan
Dalam ayat-ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan manusia supaya memerhatikan beberapa manfaat yang terdapat pada binatang, antaranya ialah manusia dapat manfaat seperti susu, daging, kulit dan bulu. Selain itu binatang ternakan juga boleh digunakan sebagai alat pengangkutan sebagaimana firman-Nya:
“Dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami telah menciptakan binatang ternakan untuk mereka, iaitu sebahagian daripada apa yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami sendiri, lalu mereka menguasainya? Dan Kami tundukkan binatang-binatang itu untuk mereka, maka sebahagiannya menjadi tunggangan mereka dan sebahagiannya mereka makan. Dan mereka memperoleh padanya manfaat dan minuman. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?”
Yasin 36:71-73