Allah Tidak Pernah Main-Main dalam Menciptakan Makhluk-Nya
Surah 23: Al-Mu’minun (115 – 116)
Ayat 115
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَـٰكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
Kemudian Allah Ta’ala memberikan ancaman dan cercaan yang lebih keras terhadap kelalaian mereka tentang adanya Hari Kebangkitan dan menganggap bahawa tujuan penciptaan mereka adalah tanpa tujuan, tanpa dirancang dan tidak ada apa-apa hikmah daripada-Nya.
Mereka menganggap tujuan mereka dicipta bukan untuk beribadah, sebaliknya untuk makan, minum dan berkahwin. Mereka juga menyangka segala perbuatan mereka tidak akan diberikan balasan.
Padahal sesungguhnya manusia diciptakan tiada lain hanyalah untuk beribadah dan mengerjakan perintah-perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mereka juga akan dibangkitkan dan diberikan balasan pada Hari Kiamat kelak. Firman-Nya:
“Apakah manusia menyangka bahawa dia akan dibiarkan sahaja (tanpa dipertanggungjawabkan)?”
Al-Qiyamah 75:36
Ayat 116
فَتَعَـٰلَى ٱللَّهُ ٱلْمَلِكُ ٱلْحَقُّ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْكَرِيمِ
Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya, tidak ada Rabb (yang berhak diibadahi dengan benar) selain Dia, Rabb (Yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia.
Maha Suci Allah daripada melakukan sesuatu perbuatan dengan sia-sia dan daripada sesuatu yang tidak layak dengan ketinggian dan kesempurnaan-Nya. Dia-lah Rabb yang berhak diibadahi dan tiada sekutu bagi-Nya.
Dia memiliki ‘Arasy yang mulia menunjukkan keagungan-Nya sebagaimana firman-firman-Nya:
“(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Rabb mereka dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan), ‘Wahai Rabb kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka daripada seksaan neraka yang menyala-nyala.’”
Ghafir 40:7
“Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu lapan malaikat menjunjung ‘Arasy Rabbmu di atas (kepala) mereka.”
Al-Haqqah 69:17