Surah 22: Al-Hajj (8 – 10)

Celaan terhadap Orang yang Membantah Allah Ta’ala kerana Kesombongan dan Menyesatkan Orang Lain

Surah 22: Al-Hajj (8 – 10)


Ayat 8

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُجَـٰدِلُ فِى ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَـٰبٍ مُّنِيرٍ

Dan di antara manusia ada orang-orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab (wahyu) yang bercahaya.

Ayat 9

ثَانِىَ عِطْفِهِۦ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ لَهُۥ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌ ۖ وَنُذِيقُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ

Dengan memalingkan rusuknya untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah. Dia mendapat kehinaan di dunia, dan pada Hari Kiamat Kami merasakan kepadanya azab neraka yang membakar.

Allah Ta’ala menyatakan ada sebahagian manusia yang membantah tentang keesaan-Nya dan mengingkari agama-Nya. Mereka tidak meyakini adanya kehidupan sesudah mati dan adanya akhirat. Mereka membantah perkara ini tanpa ilmu yang benar kerana tidak merujuk kepada kitab Allah yang berisi petunjuk kepada kebenaran dan hujjah yang jelas.

Mereka melakukan bantahan disertai dengan sikap yang sombong dan tidak mahu menerima kebenaran ketika diajak kepadanya. Perbuatan mereka sedemikian adalah agar mereka dapat menghalang keinginan orang lain untuk masuk ke dalam agama Allah.

Oleh itu, Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka akan menerima hukuman berupa kehinaan di dunia seperti kalah dan terbunuh dalam peperangan. Manakala di akhirat nanti mereka akan dilemparkan ke dalam neraka.

Ayat 10

ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ يَدَاكَ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّـٰمٍ لِّلْعَبِيدِ

(Akan dikatakan kepadanya), “Yang demikian itu, adalah disebabkan perbuatan tangan kamu dahulu dan sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Ayat ini merupakan suatu bentuk celaan dan penghinaan kepada orang-orang yang bersikap angkuh dan sombong terhadap ayat-ayat Allah. Balasan kepada mereka adalah kerana usaha mereka sendiri.

Allah Ta’ala tidak bersifat zalim terhadap orang-orang yang kufur kerana sifat Kesempurnaan dan Kekuasaan-Nya, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri dengan melakukan kesyirikan.