Perintah Beribadah dan Berjihad
Surah 22: Al-Hajj (77 – 78)
Ayat 77
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱرْكَعُوا۟ وَٱسْجُدُوا۟ وَٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمْ وَٱفْعَلُوا۟ ٱلْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabbmu dan buatlah kebajikan supaya kamu mendapat kemenangan.
Allah Ta’ala memanggil orang-orang yang muslim dengan panggilan orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang mengimani Allah sebagai Rabb mereka, Nabi Muhammad saw sebagai utusan-Nya dan Islam sebagai agama mereka.
Allah Ta’ala memerintahkan mereka agar mendirikan solat, mengikuti syariat-Nya dan mengagungkan-Nya dengan sebenar-benar pengagungan. Mereka juga diperintahkan agar melakukan pelbagai amal kebajikan sama ada yang wajib ataupun yang sunat supaya dengan ibadah yang dilakukan itu mereka memperoleh kemenangan iaitu dimasukkan ke dalam syurga.
Ayat 78
وَجَـٰهِدُوا۟ فِى ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦ ۚ هُوَ ٱجْتَبَىٰكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَٰهِيمَ ۚ هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ وَفِى هَـٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ ۚ فَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعْتَصِمُوا۟ بِٱللَّهِ هُوَ مَوْلَىٰكُمْ ۖ فَنِعْمَ ٱلْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ ٱلنَّصِيرُ
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu, Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dia-lah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.
Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang yang beriman agar berjihad melawan orang-orang kafir sehingga hanya agama-Nya sahaja yang tertegak di atas muka bumi ini.
Jihad yang sebenar ialah menyediakan segala kekuatan dengan sempurna iaitu harta, jiwa dan cara-cara berdakwah. Perintah untuk berjihad juga termasuk melawan hawa nafsu, melawan hasutan syaitan dan berkata benar.
Allah Ta’ala tidak menjadikan agama ini untuk memberatkan hamba-hamba-Nya bahkan tujuannya adalah untuk memudahkan mereka. Ini merupakan kurniaan-Nya kepada orang-orang yang beriman agar mereka bersyukur kepada-Nya dengan mengerjakan segala yang diperintahkan-Nya.
Antara contoh keringanan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala ialah dalam ibadah solat yang merupakan salah satu daripada rukun Islam. Sewaktu bermusafir, solat yang empat rakaat boleh dipendekkan menjadi dua rakaat. Orang yang tidak mampu berdiri boleh menunaikan solat secara duduk dan jika tidak mampu duduk boleh secara berbaring. Banyak lagi keringanan atau kemudahan yang diberikan-Nya dalam kewajipan-kewajipan yang lain.
Oleh itu, Rasulullah saw bersabda:
“Aku diutus dengan agama yang lurus dan mudah.”
(HR. Ahmad)
Ibnu Kathir menyatakan ayat, “(Ikutilah) agama orang tuamu, Ibrahim,” sama maksudnya dengan firman-Nya:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Sesungguhnya aku telah ditunjuki Rabbku ke jalan yang lurus iaitu agama yang benar, agama Ibrahim yang lurus…….’”
Al-An’am 6:161
Menurut Mujahid maksud ayat, “Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini,” ialah Allah Ta’ala yang menamakan orang-orang yang beriman sebagai orang-orang muslim sejak dahulu dalam kitab-kitab yang terdahulu dan dalam Az-Zikr (Lauh Mahfuz), juga dalam Al-Quran.
Dia menjadikan orang-orang beriman sebagai umat pertengahan yang adil, umat pilihan dan keadilannya disaksikan oleh seluruh manusia. Di akhirat nanti, kepimpinan mereka diperakui oleh seluruh umat yang lain. Oleh itu, penyaksian kaum muslimin atas seluruh manusia akan diterima di akhirat nanti. Umat muslimin ini akan bersaksi bahawa para Rasul telah menyampaikan risalah Rabb mereka dan Rasulullah saw akan menjadi saksi atas umat baginda bahawa baginda telah menyampaikan risalah itu kepada umatnya.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan manusia supaya bersyukur atas pemberian nikmat-nikmat-Nya dan menunaikan hak-Nya serta berpegang teguh dengan syariat-Nya.
Allah Ta’ala juga memerintahkan manusia memohon pertolongan dan bertawakkal kepada-Nya. Dia-lah sebaik-baik penolong kepada orang-orang yang beriman selagi mereka berada dalam keimanan, ketakwaan dan dicintai-Nya.