Nikmat Allah Swt kepada Manusia
Surah 22: Al-Hajj (63 – 66)
Ayat 63
أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَتُصْبِحُ ٱلْأَرْضُ مُخْضَرَّةً ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ
Apakah kamu tidak melihat, bahawasanya Allah menurunkan air dari langit, lalu jadilah bumi itu hijau Sesungguhnya Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.
Allah Ta’ala menyebutkan nikmat-nikmat-Nya kepada manusia sebagai bukti-bukti kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya iaitu:
▪️ Menurunkan hujan dari langit yang menjadikan bumi subur dan hijau kerana ditumbuhi tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan yang indah dipandang.
Allah Ta’ala menurunkan hujan membasahi bumi yang sebelumnya kering lalu menjadi subur. Bumi yang subur menumbuhkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman dalam pelbagai warna, sebagaimana firman-Nya yang lain:
“……..Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang indah.”
Al-Hajj 22:5
Air hujan dan tumbuh-tumbuhan amat penting dalam kehidupan manusia dan Allah Ta’ala Maha Lembut serta Maha Mengetahui apa yang terbaik dan mendatangkan manfaat kepada hamba-hamba-Nya, tidak ada sesuatu pun tersembunyi meskipun hanya sebesar zarah atau yang lebih kecil daripadanya seperti dalam firman-firman-Nya:
“(Luqman berkata), Wahai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.’”
Luqman 31:16
“……..Tiada sehelai daun pun yang gugur, melainkan Dia mengetahuinya (pula) dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”
Al-An’am 6:59
Ayat 64
لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ
Kepunyaan Allah-lah segala yang ada di langit dan segala yang ada dibumi. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
▪️ Segala apa yang ada di langit, di bumi dan di antara kedua-duanya adalah kepunyaan Allah Swt dan semuanya tunduk kepada-Nya.
Allah Ta’ala juga Maha Kaya iaitu Dia tidak berhajat kepada sesuatu pun, sebaliknya makhluk-makhluk-Nya yang amat memerlukan-Nya. Dia Maha Terpuji iaitu Dia tidak berhajat kepada pujian makhluk-makhluk-Nya kerana Dia cukup sempurna. Segala nikmat yang dilimpahkan kepada makhluk-makhluk-Nya adalah nikmat terbaik daripada-Nya.
Ayat 65
أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ وَٱلْفُلْكَ تَجْرِى فِى ٱلْبَحْرِ بِأَمْرِهِۦ وَيُمْسِكُ ٱلسَّمَآءَ أَن تَقَعَ عَلَى ٱلْأَرْضِ إِلَّا بِإِذْنِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Apakah kamu tidak melihat bahawasanya Allah menundukkan bagimu apa yang ada di bumi dan bahtera yang berlayar di lautan dengan perintah-Nya. Dan Dia menahan (benda-benda) langit jatuh ke bumi, melainkan dengan izin-Nya? Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.
Allah Ta’ala meneruskan lagi menyebut dalil kekuasaan-Nya dan nikmat-Nya yang dikurniakan kepada manusia iaitu:
▪️ Menundukkan haiwan-haiwan, tanam-tanaman dan buah-buahan untuk keperluan kehidupan mereka sebagaimana firman-Nya:
“Dan Dia telah menundukkan untuk kamu apa yang di langit dan di bumi semuanya (sebagai rahmat) daripada-Nya…………..”
Al-Jathiyah 45:13
▪️ Menjadikan kapal mudah berlayar, dapat mengangkut manusia dan barang-barang keperluan untuk kemudahan kehidupan manusia.
Kapal-kapal dapat berlayar di atas lautan yang bergelombang dengan izin Allah Ta’ala. Manusia menjadikannya sebagai alat pengangkutan yang boleh memuatkan penumpang, barang dagangan dan barang-barang yang lain menurut kemahuan mereka. Mereka berlayar dari suatu negeri ke negeri yang lain dan dari suatu pulau ke pulau yang lain, kemudian menjual barang-barang tersebut. Selain menjual, mereka dapat pula membawa barang-barang yang mereka perlukan dari negeri dan pulau yang mereka datangi itu ke tempat tinggal mereka.
▪️ Menahan benda-benda terapung di langit seperti bintang-bintang, matahari dan lain-lainnya agar tidak jatuh ke bumi dan tidak bergeser antara satu dengan lain. Sekiranya berlaku pergeseran maka sukarlah kehidupan manusia.
Inilah sifat Pengasih dan Penyayang Allah Ta’ala terhadap semua makhluk-Nya. Dia bersifat Maha Pemaaf dengan tidak menyegerakan azab, meskipun mereka berbuat zalim, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:
“………Sesungguhnya Rabbmu benar-benar mempunyai keampunan (yang luas) bagi manusia, sekalipun mereka zalim dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar sangat keras seksaan-Nya.”
Ar-Ra’d 13:6
Ayat 66
وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ۗ إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَكَفُورٌ
Dan Dia-lah Allah yang telah menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu (lagi), sesungguhnya manusia itu benar-benar sangat mengingkari nikmat.
Allah Ta’ala menjadikan manusia daripada tiada kemudian mematikan mereka apabila sudah sampai masanya yang telah ditentukan-Nya. Kemudian Dia membangkitkan mereka daripada kubur untuk dihisab amal perbuatan mereka.
Walaupun telah banyak kenikmatan yang telah dilimpahkan kepada manusia dan kekuasaan-Nya diperlihatkan kepada mereka, namun sedikit sahaja di antara mereka yang bersyukur dan mengesakan-Nya, bahkan ramai yang menyekutukan-Nya padahal Dia-lah yang menciptakan, memberi rezeki dan mentadbir alam ini. Firman-firman-Nya:
“Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali, kemudian kepada-Nya-lah kamu dikembalikan?”
Al-Baqarah 2:28
“Katakanlah, ‘Allah-lah yang menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, setelah itu mengumpulkan kamu pada Hari Kiamat yang tidak ada keraguan padanya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.’”
Al-Jathiyah 45:26