Allah Ta’ala Maha Pencipta yang Mengatur Makhluk-Nya Sesuai dengan Kehendak-Nya
Surah 22: Al-Hajj (61 – 62)
Ayat 61
ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ يُولِجُ ٱلَّيْلَ فِى ٱلنَّهَارِ وَيُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِى ٱلَّيْلِ وَأَنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ
Yang demikian itu adalah, kerana sesungguhnya Allah (berkuasa) memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan bahawasanya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Allah Ta’ala memaparkan pelbagai bentuk dalil dan tanda-tanda menjadi bukti petunjuk akan kesempurnaan kekuasaan-Nya yang luar biasa dan ilmu-Nya yang lengkap merangkumi segala sesuatu iaitu:
Allah Ta’ala mengingatkan bahawa Dia-lah yang menciptakan dan mentadbir makhluk-Nya sesuai dengan apa yang Dia kehendaki sebagaimana firman-Nya:
“…………‘Di tangan Engkau-lah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang, dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati daripada yang hidup. Dan Engkau beri rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa perhitungan.’”
Ali-‘Imran 3:26-27
Allah Ta’ala memasukkan sebahagian waktu malam ke dalam waktu siang dan sebaliknya. Dengan demikian itu, ada ketika waktu malam lebih panjang dari siang sebagaimana dalam musim sejuk dan ada ketika waktu malam lebih singkat dari siang seperti dalam musim panas.
Allah Maha Mendengar perkataan-perkataan hamba-hamba-Nya dan melihat segala perkara yang mereka lakukan serta tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.
Ayat 62
ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ هُوَ ٱلْبَـٰطِلُ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْكَبِيرُ
(Kekuasaan Allah) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah, Dia-lah (Rabb) yang hak dan sesungguhnya apa sahaja yang mereka seru selain Allah, itulah yang batil, dan sesungguhnya Allah, Dia-lah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.
Allah Ta’ala memiliki kekuasaan yang agung, apa sahaja yang Dia kehendaki pasti terjadi dan jika tidak dikehendaki-Nya nescaya tidak akan terjadi.
Sembahan-sembahan lain seperti berhala dan apa sahaja yang disembah kecuali Allah adalah batil kerana semua itu tidak dapat memberi sebarang mudharat dan manfaat.
Segala sesuatu di bawah kekuasaan dan keagungan Allah. Tidak ada Ilah yang berhak diibadahi selain Dia. Tidak ada Rabb selain Allah kerana Dia Maha Agung, Maha Tinggi, Maha Besar, Maha Suci dan bebas daripada apa yang dikatakan oleh orang-orang zalim dan yang melampaui batas.