Allah Ta’ala Menggagalkan Gangguan Syaitan terhadap Para Rasul ketika Wahyu-Nya Disampaikan kepada Mereka
Surah 22: Al-Hajj (52 – 54)
Ayat 52
وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِىٍّ إِلَّآ إِذَا تَمَنَّىٰٓ أَلْقَى ٱلشَّيْطَـٰنُ فِىٓ أُمْنِيَّتِهِۦ فَيَنسَخُ ٱللَّهُ مَا يُلْقِى ٱلشَّيْطَـٰنُ ثُمَّ يُحْكِمُ ٱللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Dan Kami tidak mengutus sebelummu seorang Rasul pun dan tidak (pula) seorang Nabi, melainkan apabila dia mempunyai suatu keinginan, syaitan pun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu. Allah menghilangkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala menerangkan bahawa risalah yang diturunkan kepada para Nabi dan Rasul adalah daripada-Nya dan Dia akan menjaganya daripada ditambah atau dikurangi walaupun ada percubaan syaitan untuk memasukkan godaannya ke dalam wahyu tersebut.
Al-Bukhari meriwayatkan, Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud, “Ke dalam keinginannya itu,” ialah ketika berbicara, syaitan pun memasukkan sesuatu bisikan ke dalam pembicaraannya, lalu Allah Ta’ala menggagalkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu.
Al-Baghawi dan kebanyakan mufassir menyatakan, “Syaitan pun memasukkan godaan-godaan ke dalam keinginannya itu,” bermaksud ketika membaca Al-Quran, syaitan pun membisikkan sesuatu dalam bacaannya.
Allah Maha Mengetahui semua perkara dan segala peristiwa yang terjadi, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Nya. Dia Maha Bijaksana dalam penetapan, penciptaan dan perintah-Nya.
Ayat 53
لِّيَجْعَلَ مَا يُلْقِى ٱلشَّيْطَـٰنُ فِتْنَةً لِّلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَٱلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ ۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَفِى شِقَاقٍ بَعِيدٍ
Agar Dia menjadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu sebagai ujian kepada orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit dan berhati kasar. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu, benar-benar dalam permusuhan yang sangat.
Allah Ta’ala menyatakan, apa-apa sahaja bisikan yang dimasukkan oleh syaitan ke dalam bacaan atau ucapan para Rasul merupakan suatu ujian kepada orang-orang yang mempunyai penyakit di dalam hatinya seperti keraguan, syirik dan kemunafikan.
Ibnu Juraij mengatakan “Orang-orang yang hatinya ada penyakit,” ialah orang-orang munafik dan “Orang-orang yang berhati keras,” ialah orang-orang musyrik.
Orang-orang yang zalim ialah mereka yang terus berada dalam kesesatan. Ini kerana mereka menentang kebenaran yang disampaikan oleh Allah melalui para Rasul-Nya.
Ayat 54
وَلِيَعْلَمَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَيُؤْمِنُوا۟ بِهِۦ فَتُخْبِتَ لَهُۥ قُلُوبُهُمْ ۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu meyakini bahawasanya Al-Quran itulah yang hak daripada Rabbmu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus.
Orang-orang yang telah diberi ilmu yang bermanfaat dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Orang-orang yang beriman kepada Allah juga mengetahui apa yang Dia wahyukan kepada baginda adalah kebenaran daripada Allah. Dia telah menurunkannya dengan ilmu dan penjagaan serta pengawasan-Nya agar terpelihara. Bahkan Al-Quran mempunyai banyak hikmah. Firman-Nya:
“(Yang) tidak didatangi oleh kebatilan, baik dari hadapan mahupun dari belakang, (pada masa lalu dan akan datang), yang diturunkan daripada Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.”
Fussilat 41:42
Hati mereka tunduk dan patuh kepada Allah Swt. Oleh itu, di dunia mereka diberikan petunjuk kepada kebenaran dan mengikutinya, serta diberikan taufik untuk menentang kebatilan dan menjauhinya. Manakala di akhirat nanti, mereka akan diberikan balasan syurga dan dihindarkan daripada azab yang pedih dan kehinaan.