Surah 22: Al-Hajj (5 – 7)

Pada Penciptaan Makhluk adalah Bukti Nyata tentang adanya Hari Kebangkitan

Surah 22: Al-Hajj (5 – 7)


Ayat 5

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّنَ ٱلْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِى ٱلْأَرْحَامِ مَا نَشَآءُ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوٓا۟ أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰٓ أَرْذَلِ ٱلْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنۢ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْـًٔا ۚ وَتَرَى ٱلْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَآ أَنزَلْنَا عَلَيْهَا ٱلْمَآءَ ٱهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنۢبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ

Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis mani, kemudian daripada segumpal darah, kemudian daripada segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepadamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang dimatikan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyanyuk, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang indah.

Allah Swt menyatakan sekiranya manusia masih ragu-ragu tentang adanya Hari Kebangkitan, iaitu tidak yakin bahawa Dia berkuasa menghidupkan segala sesuatu yang telah mati, mereka hendaklah memikirkan bukti-bukti kekuasaan-Nya yang terdapat pada penciptaan manusia dan juga pada keadaan bumi dan juga tumbuh-tumbuhan yang kering dan subur.

Asal mula kejadian manusia adalah daripada tanah, iaitu penciptaan Nabi Adam as. Kemudian Allah Swt menjadikan keturunan baginda daripada setitis air mani yang hina.

Sperma (نُّطْفَةٍ – nutfah) berada dalam rahim wanita selama empat puluh hari, kemudian membentuk segumpal darah (عَلَقَةٍ – ‘alaqah) yang kental atau padat.

Kemudian segumpal darah (عَلَقَةٍ – ‘alaqah) tersebut berubah menjadi segumpal daging (مُّضْغَةٍ – mudghah). Segumpal daging inilah yang seterusnya mengalami proses pembentukan organ-organ tubuh sehingga terbentuk janin yang sempurna dan utuh fizikalnya.

Kadang-kadang terdapat wanita mengalami keguguran sebelum janinnya terbentuk dengan sempurna dan kadang-kadang terjadi keguguran walaupun organ-organ itu telah terbentuk dengan sempurna. Ada juga janin yang mengalami proses pembentukan hingga lahir sebagai bayi, tetapi bentuknya tidak sempurna dan dilahirkan dalam keadaan cacat.

Proses penciptaan dan kehidupan manusia terbahagi kepada dua:

▪️    Proses perkembangan dalam rahim sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih daripada Ibnu Mas’ud ra, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya penciptaan salah seorang di antara kamu itu dihimpunkan di dalam perut ibumu selama empat puluh hari. Kemudian menjadi segumpal darah seperti itu juga (selama empat puluh hari). Kemudian menjadi segumpal daging seperti itu juga (selama empat puluh hari). Kemudian Allah mengutus malaikat kepadanya lalu diperintahkan untuk menetapkan empat perkara, iaitu menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya, dan nasibnya sama ada dia celaka atau bahagia, kemudian meniupkan roh kepadanya.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

▪️    Kehidupan setelah lahir sehingga dewasa atau meninggal dunia. Manusia dilahirkan dalam keadaan lemah badan, pendengaran, penglihatan, perasaan, tindakan dan akal. Kemudian Allah Ta’ala memberikan kekuatan sedikit demi sedikit. Sementara itu, kedua ibu bapa bayi mengasihi dan menyayanginya sepanjang siang dan malam. Manusia itu akhirnya menjadi sempurna kekuatannya dan memiliki bentuk fizikal yang baik.

Walau bagaimanapun, ada di antara manusia yang ditakdirkan meninggal dunia semasa masih muda dan kuat. Ada juga manusia yang dipanjangkan umur hingga kepada usia yang lanjut dan tua ketika kekuatan akal, pemahaman dan keadaan fizikal semakin berkurang dan lemah sebagaimana firman Allah Swt:

“Allah-lah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dan Dia Maha Mengetahui, Maha Kuasa.”

Al-Rum 30:54

Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa Dia menjadikan bumi yang kering, kemudiannya dipenuhi tumbuh-tumbuhan ini menunjukkan dalil kekuasaan-Nya untuk menghidupkan orang-orang yang sudah mati sebagaimana Dia menghidupkan bumi yang mati dan kering.

Qatadah mengatakan maksud “bumi kering” ialah tanah berdebu dan kering manakala As-Suddi mengatakan maksudnya ialah tanah yang mati.

Oleh itu, jika Allah Ta’ala menurunkan hujan ke atas bumi yang gersang itu, bumi akan menumbuhkan tanam-tanaman yang pelbagai warna, rasa, bau, bentuk dan manfaatnya. Tumbuh-tumbuhan ini indah dipandang dan mengeluarkan bau yang harum.

Ayat 6

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ وَأَنَّهُۥ يُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ وَأَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

(Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah ) dan sesungguhnya Dia-lah yang menghidupkan makhluk- makhluk yang mati, dan Dia-lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap- tiap sesuatu.

Allah Swt menegaskan lagi bahawa Dia-lah yang mencipta, mengurus dan melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Sebagaimana Dia berkuasa menghidupkan bumi yang mati dan menumbuhkan pelbagai tanaman, Dia juga berkuasa membangkitkan kembali manusia di akhirat. Firman-Nya:

“Dan di antara tanda-tanda-Nya (ialah) bahawa engkau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila Kami turunkan air di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya (Rabb) Yang menghidupkannya, pastilah dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Fussilat 41:39

Ayat 7

وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ ءَاتِيَةٌ لَّا رَيْبَ فِيهَا وَأَنَّ ٱللَّهَ يَبْعَثُ مَن فِى ٱلْقُبُورِ

Dan sesungguhnya Hari Kiamat itu pastilah datang, tidak ada keraguan padanya, dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang di dalam kubur.

Hari Kiamat itu pasti terjadi dan tidak diragukan lagi. Allah Ta’ala akan menghidupkan kembali manusia setelah hancur luluh di dalam kubur seperti firman-Nya:

“Dan dia membuat perumpamaan bagi Kami dan melupakan asal kejadiannya, dia berkata, ‘Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-belulang yang telah hancur luluh?’ Katakanlah (Muhammad), ‘Yang akan menghidupkannya ialah (Allah) yang menciptakannya pertama kali. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk, iaitu (Allah) yang menjadikan api untuk kalian daripada kayu yang hijau, maka seketika itu kamu nyalakan (api) daripada kayu itu.’”

Yasin 36:78-­80