Surah 22: Al-Hajj (49 – 51)

Balasan kepada Orang yang Berbuat Kebaikan dan Orang yang Berbuat Kerosakan

Surah 22: Al-Hajj (49 – 51)


Ayat 49

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّمَآ أَنَا۠ لَكُمْ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Katakanlah, “Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan yang nyata kepadamu.”

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menerangkan kepada kaum musyrik bahawa baginda diutuskan-Nya hanyalah sebagai pemberi peringatan sebelum datangnya azab yang pedih. Bukan urusan baginda untuk menangguhkan apa yang telah dijanjikan kepada mereka.

Segala urusan terserah kepada Allah Ta’ala. Dia boleh menyegerakan dan juga boleh menangguhkan seksaan itu kepada mereka. Jika Dia menghendaki, Dia menerima taubat orang yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga boleh menyesatkan sesiapa sahaja yang telah ditetapkan mendapat kesengsaraan seperti firman-Nya:

“……….Dan Allah menetapkan hukum (menurut kehendak-Nya), tidak ada yang dapat menolak ketetapan-Nya, Dia Maha Cepat Perhitungan-Nya.”

Ar-Ra’d 13:41

Ayat 50

فَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Maka orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bagi mereka keampunan dan rezeki yang mulia.

Ayat 51

وَٱلَّذِينَ سَعَوْا۟ فِىٓ ءَايَـٰتِنَا مُعَـٰجِزِينَ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ

Dan orang-orang yang berusaha dengan maksud menentang ayat-ayat Kami dengan melemahkan (kemahuan untuk beriman), mereka itu adalah penghuni-penghuni Neraka Jahim.

Ayat 50-51 menerangkan balasan kepada dua golongan:

▪️    Orang-orang yang beriman dan membuktikan keimanan mereka dengan beramal soleh, bagi mereka pengampunan atas kesalahan-kesalahan yang pernah mereka lakukan. Mereka mendapat pahala atas amalan mereka dan mendapat balasan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.

▪️    Orang-orang yang bekerja keras menentang ayat-ayat Allah Ta’ala, menolak risalah-Nya dengan mendustakan dan tidak mempercayainya serta menghalang orang ramai daripada mengikuti Rasulullah saw, mereka itulah penghuni neraka. Mereka diseksa dengan azab yang sangat keras, iaitu api yang panas dan sangat pedih sebagaimana firman Allah:

“Orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka seksaan demi seksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.”

An-Nahl 16:88

Mujahid dan ‘Abdullah bin Az-Zubair menyatakan ayat ini bermaksud usaha menggagalkan dan menghalang manusia daripada mengikuti Nabi Muhammad saw. Ibnu ‘Abbas ra pula mengatakan maksudnya ialah usaha melemahkan dan memusuhi baginda.