Surah 22: Al-Hajj (32 – 38)

Penjelasan tentang Haiwan Korban, Syiar-syiar Allah Swt dan Perintah Penyembelihan Korban

Surah 22: Al-Hajj (32 – 38)


Ayat 32

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَـٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوبِ

Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul daripada ketakwaan hati.

Itulah perkara yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala iaitu hendaklah mengikhlaskan ibadah kepada-Nya dengan menjauhi berhala-berhala, menjauhi perkara-perkara dusta dan sebagainya.

Menyembelih haiwan hadyu iaitu unta, lembu atau kambing untuk ibadah korban di Tanah Haram adalah termasuk syiar-syiar Islam dan mengagungkan perintah Allah Swt. Oleh itu, haiwan korban ini hendaklah dipilih daripada jenis yang besar, gemuk dan baik keseluruhannya. Ini sebagaimana riwayat Al-Hakam daripada Misqam daripada Ibnu ‘Abbas ra, pengagungannya adalah dengan memperelokkan dan menggemukkannya.

Dalam Sunan Ibnu Majah daripada Abu Rafi’ bahawasanya Rasulullah saw berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri besar, gemuk, bertanduk dan kedua-duanya dimandulkan.

Daripada Al-Bara’, dia mengatakan Rasulullah saw bersabda:

“Empat hal yang tidak boleh dalam korban ialah juling yang jelas kejulingannya, sakit yang jelas sakitnya, pincang yang jelas pincangnya dan cedera yang tidak dapat pulih.”

(HR. Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasa-i dan Ibnu Majah)

Sesiapa yang melaksanakan perintah-Nya dan mengagungkan setiap syiar-syiar agama dalam manasik haji dan syiar-syiar yang lain, maka perbuatan itu lahir daripada hati yang takut kepada Allah.

Ayat 33

لَكُمْ فِيهَا مَنَـٰفِعُ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ مَحِلُّهَآ إِلَى ٱلْبَيْتِ ٱلْعَتِيقِ

Bagi kamu pada binatang-binatang hadyu itu ada beberapa manfaat, sampai kepada waktu yang ditentukan, kemudian tempat wajib (serta akhir masa) menyembelihnya ialah setelah sampai ke Baitul ‘Atiq (Baitullah).

Haiwan-haiwan korban (hadyu) mempunyai banyak manfaat kepada manusia daripada susunya, bulunya dan dapat dijadikan tunggangan serta pelbagai kegunaan lain yang tidak memberi kesan buruk kepadanya sehingga tiba hari penyembelihan di sisi Baitullah, iaitu tempat penyembelihan di Tanah Haram dan seluruh tanah haram Mekah menjadi sebahagian Baitul Haram.

Miqsam mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang binatang-binatang tersebut boleh dimanfaatkan selagi belum dinamakan Al-Budn (digemukkan untuk dikorbankan). Ada yang berpendapat seseorang boleh memanfaatkannya walaupun ia adalah haiwan hadyu sekiranya ada keperluan. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam sahih Muslim daripada Jabir ra, Rasulullah saw melihat seorang yang sedang menuntun seekor unta yang gemuk yang akan dikorbankan. Baginda bersabda:

“Tunggangilah dengan baik jika memang harus kamu lakukan.”

(HR. Muslim)

Tempat berakhirnya haiwan korban ialah di Baitul ‘Atiq iaitu Kaabah sebagaimana firman-firman Allah Swt:

“…..hadyu yang dibawa ke Kaabah…..”

Al-Ma’idah 5:95

“…….Dan menghalangi haiwan korban sampai ke tempat (penyembelihan)nya…..”

Al-Fath 48:25

Ayat 34

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ ۗ فَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ فَلَهُۥٓ أَسْلِمُوا۟ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُخْبِتِينَ

Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Ilahmu ialah Ilah Yang Maha Esa, oleh itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa penyembelihan korban atas nama-Nya telah disyariatkan kepada umat-umat terdahulu daripada kalangan orang-orang yang beriman. Dia mengurniakan binatang ternakan supaya mereka boleh beribadah kepada-Nya dengan melakukan korban.

Disebutkan dalam Sahihain, daripada Anas ra, dia mengatakan:

“Didatangkan kepada Rasulullah saw dua ekor biri-biri yang bagus dan bertanduk, lalu baginda menyebut nama Allah, bertakbir dan meletakkan kaki baginda pada bahagian sisi haiwan itu (supaya tidak berdiri).”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya yang wajib disembah ialah Allah yang Maha Esa. Meskipun syariat para Nabi adalah berbeza dan sebahagian hukum menghapus sebahagian yang lain tetapi tauhidnya tetap sama iaitu menyembah Rabb yang Esa. Oleh itu, hendaklah berserah diri kepada-Nya dengan ikhlas dan menerima segala ketentuan dan ketetapan-Nya. Firman-Nya:

“Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tidak ada Ilah (yang berhak disembah) melainkan Aku, maka sembahlah Aku.”

Al-Anbiya’ 21:25

Allah Ta’ala memerintahkan Rasullullah saw agar menyampaikan berita gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh kepada perintah-Nya.

Ayat 35

ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَٱلصَّـٰبِرِينَ عَلَىٰ مَآ أَصَابَهُمْ وَٱلْمُقِيمِى ٱلصَّلَوٰةِ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ

(Iaitu) Orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, orang-orang yang sabar terhadap apa yang menimpa mereka, orang-orang yang mendirikan solat dan orang-orang yang menafkahkan sebahagian daripada apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka.

Orang-orang yang mendapat khabar gembira sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas ditafsirkan sebagai orang-orang yang:

▪️    Apabila disebut sahaja nama Allah Ta’ala, hati mereka gementar kerana takut kepada seksaan-Nya.

▪️    Tabah, teguh pendirian dan bersabar atas pelbagai musibah yang menimpa.

▪️    Menunaikan hak Allah Swt berkaitan dengan kewajipan-kewajipan yang wajib mereka tunaikan seperti mendirikan solat pada waktunya.

▪️    Membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada perkara-perkara kebajikan dan kepada golongan yang memerlukan seperti isteri, anak, kerabat, orang-orang fakir dan orang-orang yang memerlukan bantuan.

Ayat 36

وَٱلْبُدْنَ جَعَلْنَـٰهَا لَكُم مِّن شَعَـٰٓئِرِ ٱللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَٱذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَيْهَا صَوَآفَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْقَانِعَ وَٱلْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَـٰهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan unta-unta itu telah Kami jadikan untuk kamu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat kakinya). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.

Allah Swt menyebutkan kurniaan-Nya yang telah diberikan kepada hamba-hamba-Nya, iaitu dengan menciptakan unta-unta kepada mereka dan menjadikannya sebagai salah satu daripada syiar agama-Nya. Unta-unta itu dibawa ke rumah-Nya (Masjidil Haram), bahkan merupakan sesuatu yang paling utama untuk dibawa iaitu dijadikan haiwan korban (hadyu), sebagaimana dalam firman-Nya:

“……….janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah dan jangan (melanggar kehormatan) bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) hadyu (binatang korban) dan qala’id (binatang korban yang diberi tanda) dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitul Haram……..”

Al-Ma’idah 5:2

Melaksanakan ibadah korban merupakan satu perbuatan yang baik dan mulia serta mempunyai pahala yang besar di sisi-Nya.

Imam Muslim meriwayatkan, Jabir bin ‘Abdullah ra, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw memerintahkan mereka bergabung dalam haiwan korban, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu (sapi) untuk tujuh orang.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah, menyatakan bahawa Rasulullah saw pernah berkorban seekor biri-biri atas nama umat baginda seluruhnya dan seekor lagi biri-biri atas nama baginda dan keluarganya. Maka daging kedua-dua ekor biri-biri yang telah disembelih itu diberikan kepada orang-orang miskin dan baginda berserta keluarganya turut sama memakan sebahagian daripadanya.

Sebahagian ulama mengatakan ayat, “Maka makanlah sebahagian dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (tidak meminta-minta) dan orang yang meminta,” adalah dalil bagi daging korban dibahagi menjadi tiga bahagian iaitu sepertiga bahagian untuk dimakan oleh pemiliknya, sepertiga bahagian untuk disedekahkan kepada rakan-rakan, saudara mara atau jiran tetangga dan sepertiga bahagian lagi untuk disedekahkan kepada orang-orang fakir.

Disyariatkan menyembelih pada Hari Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari-hari Tasyrik berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Hibban, daripada Jubair bin Muth’im, Rasulullah saw bersabda:

“Hari-hari Tasyrik semuanya adalah (waktu) penyembelihan.”

(HR. Ahmad dan Ibnu Hibban)

Allah Ta’ala menjadikan unta-unta itu tunduk patuh kepada manusia. Mereka boleh jadikan unta-unta itu sebagai kenderaan, mendapatkan susunya, dan dimakan dagingnya supaya mereka bersyukur. Firman Allah Swt:

“Dan tidakkah mereka melihat bahawa Kami telah menciptakan binatang ternak untuk mereka, iaitu sebahagian daripada apa yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami sendiri, lalu mereka menguasainya.”

Yasin 36:71

Ayat 37

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.

Allah Ta’ala menceritakan tujuan disyariatkan korban adalah supaya hamba-hamba-Nya mengingati-Nya pada saat penyembelihan. Ini kerana pada masa jahiliyah, penyembelihan korban adalah untuk diberikan kepada sembahan-sembahan mereka, diletakkan daging di atas sembahan-sembahan tersebut dan melumurinya dengan darah. Oleh itu, Allah menjelaskan bahawa daging dan darah itu tidak akan sampai kepada-Nya. Dia hanya menerima ketakwaan dan keikhlasan seseorang dan membalasnya dengan pahala.

Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa Dia menundukkan binatang-binatang korban kepada manusia supaya mereka mengagungkan-Nya kerana Dia telah memberi mereka petunjuk kepada agama dan syariat yang disukai dan diredhai-Nya.

Ayat 38

إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ

Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat.

Allah Ta’ala menyatakan, Dia akan sentiasa memelihara hamba-hamba-Nya yang bertawakkal dan berserah diri kepada-Nya dalam menghadapi kejahatan dan tipu daya orang-orang yang zalim sebagaimana dalam firman-Nya:

“…….Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

At-Talaq 65:3

Allah Ta’ala tidak menyukai hamba-hamba-Nya yang memiliki sifat khianat iaitu tidak menunaikan janji-janji yang telah dipersetujui. Dia juga tidak menyukai orang-orang yang kufur nikmat iaitu orang-orang yang mengingkari bahawa semua kenikmatan itu sebenarnya daripada-Nya.