Surah 22: Al-Hajj (26 – 29)

Perintah untuk Melaksanakan Haji dan Manfaatnya

Surah 22: Al-Hajj (26 – 29)


Ayat 26

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَٰهِيمَ مَكَانَ ٱلْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِكْ بِى شَيْـًٔا وَطَهِّرْ بَيْتِىَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلْقَآئِمِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ

Dan (ingatlah) ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan), “Janganlah kamu menyekutukan sesuatu pun dengan Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang tawaf, orang-orang yang beribadah dan orang-orang yang rukuk dan sujud.

Dalam ayat ini terdapat celaan Allah Ta’ala terhadap orang-orang Quraisy yang menyekutukan-Nya. Lebih-lebih lagi, perkara ini dilakukan di tempat ibadah yang mula-mula dibina untuk mengesakan-Nya.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah memberi petunjuk kepada Nabi Ibrahim as supaya membina bangunan di Baitullah. Kebanyakan ulama mengatakan ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa baginda adalah orang yang pertama membina Kaabah.

Baitullah adalah tempat ibadah yang pertama dibina. Firman Allah:

“Sesungguhnya rumah (ibadah) pertama yang dibina untuk manusia, ialah (Baitullah) yang di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam.”

Ali ‘Imran 3:96

Daripada Abu Dzarr ra, ‘Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, masjid apa yang pertama dibina?’ Baginda menjawab:

“Masjidil Haram.’ ‘Kemudian apa?’ tanyaku lagi. Baginda menjawab, ‘Baitul Maqdis.’  Kemudian aku bertanya, ‘Berapa jarak di antara kedua-duanya?’ Baginda menjawab, ‘Empat puluh tahun.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 27

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan menaiki unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.”

Allah Swt memerintahkan Nabi Ibrahim as menyeru manusia supaya mengerjakan haji ke Baitullah. Kelak mereka akan datang dengan berjalan kaki, menaiki unta atau dengan apa sahaja pengangkutan dari segenap pelosok dunia.

Doa Nabi Ibrahim as agar umat Islam memiliki perasaan rindu untuk mengunjungi Kaabah dan datang beramai-ramai mengerjakan ibadah di sana seperti dalam firman-Nya:

“Wahai Rabb kami (yang demikian itu) agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

Ibrahim 14:37

Allah Ta’ala berkuasa menjadikan seruan Nabi Ibrahim as sampai kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki diseluruh penjuru langit dan bumi. Oleh itu, tidak ada seorang pun daripada kaum muslimin melainkan hati mereka sangat rindu untuk melihat Kaabah dan bertawaf. Mereka akan datang berduyun-duyun pergi ke sana daripada setiap penjuru.

Ayat 28

لِّيَشْهَدُوا۟ مَنَـٰفِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍ مَّعْلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ ۖ فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ

Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan manfaat yang disebutkan di dalam ayat di atas adalah manfaat dunia dan manfaat akhirat. Tujuannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya:

“Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurniaan (rezeki hasil perniagaan) daripada Rabbmu. Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masy’aril Haram. Dan berzikirlah (dengan menyebut) kepada-Nya sebagaimana yang ditunjukkan-Nya kepadamu………..”

Al-Baqarah 2:198

Syu’bah dan Husyaim mengatakan daripada Abu Bisyr daripada Sa’id daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa hari-hari yang ditentukan adalah sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah.

Hari-hari yang sepuluh itu termasuk Hari Nahar (korban) pada 10 Zulhijjah seperti yang disebutkan dalam hadis bahawa itu adalah hari yang paling utama di sisi Allah. Rasulullah saw bersabda:

“Tidak ada amal pada hari-hari (lain) yang lebih utama daripada hari-hari ini (10 hari pertama bulan Zulhijjah).” Para sahabat bertanya, “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi saw menjawab, “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya, lalu dia kembali dengan tidak membawa sesuatu apa pun.”

(HR. Abu Daud, At-Tarmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar ra, Rasulullah saw bersabda:

“Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah, tidak pula yang lebih disukai-Nya untuk beramal di dalamnya, daripada hari-hari sepuluh (1-10 ZulHijjah). Maka perbanyaklah pada hari-hari itu (ucapan) tahlil, takbir dan tahmid.”

(HR. Ahmad)

Keutamaan berpuasa pada Hari ‘Arafah pula seperti yang dinyatakan dalam Sahih Muslim daripada Abu Qatadah, Rasulullah saw bersabda:

“Aku mengharap, Allah akan menghapus (dosa) pada tahun yang lalu dan dosa setahun yang akan datang.”

(HR. Muslim)

Allah Ta’ala juga menganjurkan agar memakan sebahagian daripada sembelihan tersebut dan sebahagian yang lain untuk diberikan kepada orang yang mengalami kesusahan dan kefakiran.

Ayat 29

ثُمَّ لْيَقْضُوا۟ تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا۟ نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا۟ بِٱلْبَيْتِ ٱلْعَتِيقِ

Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka melakukan tawaf sekeliling rumah yang tua itu (Baitullah).

‘Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra, maksud “menghilangkan kotoran” ialah melepaskan kain ihram daripada balutan kepala, mengenakan pakaian, memotong kuku dan seumpamanya. Manakala maksud “menyempurnakan nazar-nazar mereka.” ialah menyembelih unta yang dinazarkan.

Mujahid mengatakan tawaf yang dimaksudkan ialah tawaf wajib pada hari korban (10 Zulhijjah).

Dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan, “Manusia diperintahkan untuk menjadikan tawaf sebagai akhir amalan haji dan umrah (perlaksanaan ibadah) mereka. Hanya wanita haid diberikan keringanan.”

“Sekeliling rumah tua” bermaksud di luar Hijir Ismail kerana tempat itu merupakan sebahagian daripada Kaabah ketika kali pertama dibina oleh Nabi Ibrahim as tetapi telah dikeluarkan oleh kaum Quraisy ketika mereka kekurangan pembiayaan. Oleh itu, Rasulullah saw melakukan tawaf di luar Hijir Ismail. Baginda tidak istilam (menyentuh) dua sudut Kaabah yang menghadap ke Syam.