Ancaman kepada Orang Kafir yang Menghalang Manusia dari Jalan Allah Swt dan Datang ke Masjidil Haram Membuat Kejahatan
Surah 22: Al-Hajj (25)
Ayat 25
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ٱلَّذِى جَعَلْنَـٰهُ لِلنَّاسِ سَوَآءً ٱلْعَـٰكِفُ فِيهِ وَٱلْبَادِ ۚ وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُّذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalang manusia daripada jalan Allah dan (dari) Masjidil Haram yang telah Kami jadikan untuk semua manusia, sama ada yang bermukim di situ (Mekah) mahupun yang datang dari luar, dan siapa yang bermaksud di dalamnya melakukan kejahatan secara zalim, nescaya akan Kami rasakan kepadanya sebahagian seksaan yang pedih.
Ayat ini merupakan ancaman dan peringatan keras kepada orang-orang kafir yang menghalang manusia dari jalan Allah dan menghalang orang-orang mukmin datang ke Masjidil Haram untuk menunaikan ibadah Haji.
Pada masa dahulu, orang-orang kafir Mekah mengaku bahawa merekalah yang berhak menguasai Masjidil Haram. Padahal secara hukum (menurut syariat), Allah Ta’ala telah menjadikan Masjidil Haram sebagai tempat beribadat untuk semua orang dengan hak yang sama, tiada bezanya antara penduduk Mekah dengan orang-orang yang tinggal di luar Mekah. Allah telah menyanggah pengakuan mereka ini dalam firman-Nya:
“…………dan mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya. Orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertakwa…………”
Al-Anfal 8:34
Dalam ayat ini juga terdapat dalil yang menunjukkan bahawa ayat ini turun di Madinah, sebagaimana firman-Nya:
“Mereka bertanya kepadamu (Muhammmad) tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah,
‘Berperang dalam bulan itu adalah (dosa) besar tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, ingkar kepada-Nya, (menghalangi orang masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduk dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) dalam pandangan Allah……….’”
Al-Baqarah 2:217
Sekiranya ada sesiapa yang berniat untuk melakukan kezaliman seperti syirik, kemaksiatan, menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah di tanah haram berupa gangguan atau pembunuhan, maka pasti dia akan mendapat seksaan yang pedih.