Surah 22: Al-Hajj (18)

Segala Sesuatu Sujud kepada Allah Swt

Surah 22: Al-Hajj (18)


Ayat 18

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يَسْجُدُ لَهُۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ وَٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَرُ وَٱلنُّجُومُ وَٱلْجِبَالُ وَٱلشَّجَرُ وَٱلدَّوَآبُّ وَكَثِيرٌ مِّنَ ٱلنَّاسِ ۖ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيْهِ ٱلْعَذَابُ ۗ وَمَن يُهِنِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِن مُّكْرِمٍ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَآءُ

Apakah kamu tidak mengetahui, bahawa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, pepohonan, binatang-binatang yang melata dan sebahagian besar daripada manusia? Dan ramai di antara manusia yang telah ditetapkan azab atasnya. Dan sesiapa yang dihinakan Allah, maka tidak seorang pun yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa hanya Dia-lah yang berhak diibadahi, tidak ada sekutu bagi-Nya. Keagungan-Nya menyebabkan segala sesuatu sujud kepada-Nya secara sukarela ataupun terpaksa. Sujudnya segala sesuatu kepada-Nya itu merupakan hal yang khusus bagi Allah sebagaimana firman-Nya:

“Dan apakah mereka tidak memperhatikan suatu benda yang diciptakan Allah, bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan kiri, dalam keadaan sujud kepada Allah, dan mereka (bersikap) rendah hati.”

An-Nahl 16:48

Para malaikat di penjuru-penjuru langit, haiwan-haiwan di merata tempat di bumi, manusia dan jin semuanya sujud kepada Allah sebagaimana firman-Nya:

“………..Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih memuji-Nya….”

Al-Isra’ 17:44

Matahari, bulan dan bintang disebut satu persatu kerana ketiga-tiga makhluk yang besar ini sering dijadikan bahan sembahan selain Allah. Oleh itu, Dia hendak menjelaskan bahawa apa yang mereka sembah itu sebaliknya sujud kepada Rabb yang menciptakan mereka dan bahawasanya semua itu diatur dan ditundukkan-Nya sebagaimana firman-Nya:

“……..Janganlah bersujud kepada matahari dan jangan (pula) kepada bulan, tetapi bersujudlah kepada Allah yang menciptakannya, jika hanya kepada-Nya sahaja kamu hendak menyembah.”

Fussilat 41:37

Seluruh haiwan yang melata juga bersujud kepada Allah. Begitu juga ramai di antara manusia yang sujud kepada-Nya dalam mentaati dan menjalani ibadah. Namun ada juga di kalangan manusia yang telah ditetapkan azab kepada mereka kerana keengganan, kesombongan dan sikap mereka yang membangkang sebagaimana sifat yang dimiliki oleh syaitan.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Jika anak Adam (manusia) membaca Surah As-Sajdah (lalu dia sujud), maka syaitan melarikan diri sambil menangis, dia berkata, ‘Betapa celaka, anak Adam diperintahkan sujud lalu dia sujud dan dia akan mendapat syurga, sedangkan aku diperintahkan sujud tapi aku menolak (kerana sombong) maka bagiku neraka.’”

(HR. Muslim)