Surah 22: Al-Hajj (11 – 13)

Celaan terhadap Orang yang Beribadah Bukan dengan Penuh Keyakinan

Surah 22: Al-Hajj (11 – 13)


Ayat 11

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعْبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُۥ خَيْرٌ ٱطْمَأَنَّ بِهِۦ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْخُسْرَانُ ٱلْمُبِينُ

Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi, maka jika dia memperoleh kebajikan, tetaplah dia dalam keadaan itu, dan jika dia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah dia ke belakang. Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.

Ayat 12

يَدْعُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُۥ وَمَا لَا يَنفَعُهُۥ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلضَّلَـٰلُ ٱلْبَعِيدُ

Dia menyeru selain Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudharat dan tidak (pula) memberi manfaat kepadanya. Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.

Ayat 13

يَدْعُوا۟ لَمَن ضَرُّهُۥٓ أَقْرَبُ مِن نَّفْعِهِۦ ۚ لَبِئْسَ ٱلْمَوْلَىٰ وَلَبِئْسَ ٱلْعَشِيرُ

Dia menyeru kepada sesuatu yang (sebenarnya) mudharatnya lebih dekat daripada manfaatnya. Sesungguhnya, yang diseru itu adalah seburuk-buruk penolong dan sejahat-jahat kawan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa ada di kalangan manusia yang memeluk agama Islam dengan dorongan yang lemah dan dalam keraguan. Oleh itu, dia menyembah Allah dalam keadaan ragu-ragu, ibarat seperti orang yang sedang berdiri di atas tepi gunung atau tembok, berdirinya tidak mantap dan dia mengaitkan keimanannya erat dengan kehidupan dunianya.

Ketika berada dalam keadaan sihat dan hidup dengan senang dan selesa, dia akan meneruskan ibadahnya. Namun apabila terjadi padanya suatu ujian berupa kejadian yang tidak menyenangkan ataupun kesusahan, dia mengaitkan kejadian yang buruk itu kepada agamanya, lalu dia meninggalkan agamanya sebagaimana orang yang berbalik ke belakang setelah istiqamah.

Hal itulah yang menyebabkan dia rugi di dunia. Ini kerana kekafirannya tidak mengubah apa yang ditakdirkan bagi dirinya untuk kehidupan dunianya dan dia rugi di akhirat kerana dimasukkan ke dalam neraka.

Orang yang rugi itu menyembah selain Allah yang tidak dapat memudharatkannya bila dia abaikan, dan tidak memberikannya manfaat jika mereka sembah. Itulah kesesatan nyata yang amat jauh daripada kebenaran. Dia menyeru makhluk yang sudah tentu mendatangkan mudharat kepadanya kerana lebih dekat kepada bahaya daripada mendapat manfaatnya. Alangkah buruknya sembahan itu dijadikan sebagai penolong dan kawan.

Golongan yang bersifat seperti dalam ayat di atas tidak akan mendapat keuntungan di dunia atau pun di akhirat kerana mereka telah kafir kepada Allah Yang Maha Agung. Keadaannya sangat menderita dan terlalu hina. Itulah kerugian yang sangat besar.