Perintah Bertakwa kepada Allah Swt dan Kedahsyatan Hari Kiamat
Surah 22: Al-Hajj (1 – 2)
Ayat 1
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ ٱلسَّاعَةِ شَىْءٌ عَظِيمٌ
Wahai manusia, bertakwalah kepada Rabbmu, sesungguhnya kegoncangan Hari Kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat).
Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya agar bertakwa kepada-Nya. Dia juga memberi amaran tentang kejadian-kejadian mengerikan seperti goncangan-goncangan bumi dan lain-lain yang akan mereka hadapi pada Hari Kiamat sebagaimana dalam firman-firman-Nya:
“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat yang dikandungnya.”
Az-Zalzalah 99:1-2
“Dan diangkatlah bumi dan gunung-gunung, lalu dihancurkan kedua-duanya dengan sekali hentaman. Maka pada hari itu terjadilah Hari Kiamat.”
Al-Haqqah 69:14-15
“Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya. Dan gunung-gunung dihancur luluhkan sehancur-hancurnya, maka jadilah ia debu yang berterbangan.”
Al-Waqi’ah 56:4-6
Ayat 2
يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّآ أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى ٱلنَّاسَ سُكَـٰرَىٰ وَمَا هُم بِسُكَـٰرَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ ٱللَّهِ شَدِيدٌ
(Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya daripada anak yang disusuinya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras.
Dalam ayat di atas terdapat beberapa gambaran tentang kedahsyatan Hari Kiamat:
▪️ Goncangan yang amat dahsyat itu membuatkan setiap perempuan yang menyusui anak menjadi panik bukan kepalang sehingga dia terlupa dan tidak peduli lagi kepada bayi yang sedang disusuinya.
▪️ Setiap perempuan yang hamil mengalami keguguran janin yang ada dalam rahimnya disebabkan begitu dahsyatnya ketakutan terhadap apa yang mereka saksikan.
▪️ Manusia seperti dalam keadaan mabuk terhuyung-hayang ke sana ke mari kerana ketakutan yang luar biasa sedangkan mereka tidak mabuk tetapi kedahsyatan hari tersebut telah membuatkan mereka kehilangan akal dan tidak sedar apa yang berlaku.