Surah 21: Al-Anbiya’ (98 – 100)

Orang Musyrik dan Sembahan Mereka Menjadi Bahan Bakar Neraka Jahannam

Surah 21: Al-Anbiya’ (98 – 100)


Ayat 98

إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُمْ لَهَا وَٰرِدُونَ

Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya.

Ayat ini ditujukan kepada golongan musyrik Quraisy Mekah dan sesiapa sahaja yang mengikut agama mereka, iaitu menyembah berhala-berhala dan patung. Mereka ini akan jadi bahan bakar Neraka Jahannam sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“………..yang bahan bakarnya manusia dan batu……….”

At-Tahrim 66:6

Ibnu ‘Abbas ra, mengatakan “umpan Jahannam” bermaksud kayu bakar Jahannam. Manakala Mujahid, ‘Ikrimah dan Qatadah mengatakan maksudnya ialah kayu bakar. Adh-Dhahhak pula mengatakan maksudnya ialah apa-apa yang dilemparkan ke dalam Jahannam.

Ayat 99

لَوْ كَانَ هَـٰٓؤُلَآءِ ءَالِهَةً مَّا وَرَدُوهَا ۖ وَكُلٌّ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Seandainya berhala-berhala itu (benar-benar) ilah, tentulah mereka tidak masuk neraka. Dan semuanya akan kekal di dalamnya.

Sekiranya ilah-ilah yang mereka sembah selain Allah Swt itu benar-benar tuhan-tuhan yang berhak untuk disembah, pastilah sembahan itu tidak masuk Neraka Jahanam bersama mereka. Sesungguhnya masing-masing dari para penyembah dan yang disembah akan kekal di dalam Neraka Jahanam.

Ayat 100

لَهُمْ فِيهَا زَفِيرٌ وَهُمْ فِيهَا لَا يَسْمَعُونَ

Mereka merintih di dalam api dan mereka di dalamnya tidak boleh mendengar.

Oleh sebab dahsyatnya azab dan kepedihan neraka itu mereka mengeluarkan rintihan yang kuat dan sangat memilukan. Ini sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Maka adapun orang-orang yang sengsara, (tempatnya) di dalam neraka. Di sana mereka mengeluarkan dan menarik nafas dengan merintih.”

Hud 11:106