Surah 21: Al-Anbiya’ (92 – 94)

Manusia adalah Umat yang Satu

Surah 21: Al-Anbiya’ (92 – 94)


Ayat 92

إِنَّ هَـٰذِهِۦٓ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً وَأَنَا۠ رَبُّكُمْ فَٱعْبُدُونِ

Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka sembahlah Aku.

Allah Swt menyatakan bahawa agama yang benar hanyalah satu iaitu agama tauhid (Islam). Para Nabi dan Rasul telah sepakat untuk memeluk agama ini yang berdasarkan hanya menyembah Allah Yang Maha Esa tanpa menyekutukan-Nya iaitu tidak ada Ilah selain Dia. Oleh itu, manusia diingatkan agar beribadah hanya kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun seperti malaikat, batu, pohon dan berhala dan sebagainya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada (makanan) yang baik-baik, dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan sesungguhnya, (agama tauhid) inilah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka bertakwalah kepada-Ku.”

Al-Mu’minun 23:51-52

Al-Hasan Al-Basri mengatakan tentang ayat ini bahawa Allah Ta’ala menjelaskan perkara-perkara yang mesti mereka hindari dan juga perkara-perkara yang mesti mereka lakukan dan sunnah mereka adalah sunnah yang satu.

Rasulullah saw bersabda:

“Kami para Nabi adalah saudara sebapa dan berlainan ibu, namun agama kami adalah satu.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 93

وَتَقَطَّعُوٓا۟ أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ ۖ كُلٌّ إِلَيْنَا رَٰجِعُونَ

Dan mereka telah berpecah-belah dalam urusan (agama) mereka di antara mereka. Kepada Kami-lah masing-masing golongan itu akan kembali.

Umat-umat berbeza-beza dalam menerima Rasul-rasul mereka. Ada yang membenarkan dan ada yang mendustakan. Pada Hari Kiamat, masing-masing akan menerima balasan mengikut amal mereka. Sekiranya amalannya baik, maka baiklah balasannya dan begitulah sebaliknya.

Ayat 94

فَمَن يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَا كُفْرَانَ لِسَعْيِهِۦ وَإِنَّا لَهُۥ كَـٰتِبُونَ

Maka sesiapa yang mengerjakan amal soleh, sedang dia beriman, maka tidak ada pengingkaran terhadap amalannya itu dan sesungguhnya Kami menuliskan amalannya itu untuknya.

Sekiranya mereka beriktikad dengan penuh keyakinan kepada Allah Ta’ala dalam hati dan mengerjakan amal-amal soleh dengan anggota badan, Dia tidak akan mensia-siakan mereka sebagaimana firman-Nya:

“……..Sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan baik.”

Al-Kahfi 18:30

Segala amalan baik mereka tidak akan diingkari, melainkan akan diberi balasan. Mereka tidak akan dianiaya walaupun seberat zarah. Semua amalan dicatat dalam kitab catatan amalan masing-masing dan tiada satu pun daripada amalan tersebut yang disia-siakan.