Kisah Maryam Melahirkan Anak (Nabi Isa as) tanpa Ayah
Surah 21: Al-Anbiya’ (91)
Ayat 91
وَٱلَّتِىٓ أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهَا مِن رُّوحِنَا وَجَعَلْنَـٰهَا وَٱبْنَهَآ ءَايَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ
Dan (ingatlah kisah) wanita (Maryam) yang telah memelihara kehormatannya, lalu Kami tiupkan ke dalamnya (rahim) roh daripada Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi semesta alam.
“Wanita” yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Maryam seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:
“Dan Maryam puteri ‘Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh (ciptaan) Kami………..”
At-Tahrim 66:12
Allah Ta’ala menyebutkan kisah Maryam dan puteranya iaitu Nabi Isa as secara bergandingan dengan kisah Nabi Zakaria as dan anaknya Nabi Yahya as.
Pada permulaannya, Allah Ta’ala menyebut kisah Nabi Zakaria as kemudian diikuti dengan kisah Maryam kerana kedua-dua kisah ini saling berkaitan iaitu:
-
Pertama tentang lahirnya seorang anak daripada seorang ayah yang sangat lanjut usia dan seorang ibu yang juga lanjut usia lagi mandul serta tidak pernah melahirkan anak sejak dia masih muda.
-
Berikutnya pula kisah Maryam yang lebih menakjubkan daripada kisah Nabi Zakaria as, kerana lahirnya seorang anak oleh seorang wanita tanpa suami. Ini sebagaimana yang telah dihuraikan dalam Surah Ali ‘Imran dan Surah Maryam.
Hal ini menunjukkan bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia dapat menciptakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya sebagaimana firman-firman-Nya:
“Sesungguhnya urusan-Nya, apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka menjadilah sesuatu itu.”
Yasin 36:82
“………dan agar Kami menjadikannya suatu tanda (kebesaran Allah) bagi manusia……………”
Maryam 19:21