Kisah Nabi Yunus as Ditelan Ikan Paus
Surah 21: Al-Anbiya’ (87 – 88)
Ayat 87
وَذَا ٱلنُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَـٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ أَن لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَـٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.
Allah Ta’ala menyebut kisah Nabi Yunus as yang diutuskan-Nya kepada suatu kaum di sebuah negeri. Baginda menyeru mereka supaya menyembah Allah Swt tetapi mereka menolak dan tetap tenggelam dalam kekafiran. Lalu dalam keadaan marah baginda pergi meninggalkan mereka dan menjanjikan azab kepada mereka setelah tiga hari. Baginda tidak menyangka bahawa Allah Swt akan menyusahkannya dengan tindakannya itu.
Setelah kaumnya melihat tanda-tanda datangnya azab itu dan mereka menyedari bahawa Nabi mereka tidak berdusta, maka mereka keluar menuju ke padang pasir dengan membawa anak-anak dan ternakan haiwan yang mereka miliki.
Sambil merendahkan diri, mereka memohon keampunan daripada Allah Ta’ala dengan sepenuh hati. Hal yang sama dilakukan oleh semua binatang ternakan bersama-sama dengan anak-anak masing-masing dengan mengeluarkan suara ikut berteriak. Akhirnya Allah Ta’ala tidak menurunkan azab kepada mereka. Kisah ini disebutkan dalam firman-Nya:
“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan daripada mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.”
Yunus 10:98
Manakala Nabi Yunus as yang pergi meninggalkan kaumnya, menaiki perahu bersama dengan suatu kaum yang lain. Ketika di tengah laut, perahu itu terumbang-ambing dilambung ombak dan nyaris tenggelam kerana bilangan penumpang yang berlebihan. Maka mereka bermusyawarah dan mengadakan undian di antara mereka untuk menentukan siapa yang bakal dilemparkan ke dalam laut untuk meringankan beban muatan perahu. Akhirnya undian jatuh ke tangan Nabi Yunus as, tetapi mereka tidak mahu melemparkan baginda ke laut. Lalu dilakukan undian sekali lagi tetapi undian itu tetap jatuh kepada baginda. Hal ini berlaku sebanyak tiga kali. Ini disebutkan oleh Allah Ta’ala dalam firman-Nya:
“Kemudian dia ikut mengundi, lalu dia termasuk orang-orang yang kalah (dalam undian).”
As-Saffat 37:141
Oleh itu, Nabi Yunus as terjun ke dalam laut. Allah Ta’ala menghantarkan ikan besar lalu menelan baginda dan mengilhamkan ikan itu agar tidak memakan dan juga tidak menghancurkan tulang baginda. Baginda bukanlah rezeki untuk ikan tersebut tetapi perutnya hanyalah sebagai penjara buat baginda.
Zun Nun bererti huut iaitu ikan paus dan dikaitkan dengan nama Nabi Yunus as adalah kerana baginda ditelan oleh ikan tersebut. Lalu baginda berdoa dengan menyebut, لآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبۡحَـٰنَكَ إِنِّى ڪُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ “Tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim” kepada Allah Ta’ala dalam kegelapan yang begitu pekat atau di dalam tiga kegelapan.
Ibnu Mas’ud mengatakan “keadaan yang gelap-gelita” bermaksud kegelapan dalam perut ikan, kegelapan dalam laut dan kegelapan malam.
Auf Al-A’rabi mengatakan, ketika Nabi Yunus as sudah berada dalam perut ikan, baginda menyangka bahawa baginda telah wafat. Baginda cuba menggerakkan kedua-dua kakinya dan bersujud di tempatnya sambil berkata, “Wahai Rabbku, aku menjadikan tempat sujud kepada-Mu di tempat yang tidak ada seorang pun daripada hamba-hamba-Mu yang beribadah di tempat seperti ini.”
Ahli tafsir berbeza pendapat tentang tempoh masa baginda tinggal di dalam perut ikan, hanya Allah Ta’ala sahaja yang mengetahuinya.
Ayat 88
فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ وَنَجَّيْنَـٰهُ مِنَ ٱلْغَمِّ ۚ وَكَذَٰلِكَ نُـۨجِى ٱلْمُؤْمِنِينَ
Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).
Kemudian Allah Ta’ala memperkenankan doa Nabi Yunus as dan mengeluarkan baginda daripada perut ikan dan kegelapan-kegelapan tersebut.
Sebagaimana Allah Ta’ala menyelamatkan Nabi Yunus as daripada kesulitan dan kesedihan, begitulah juga Dia akan selamatkan orang-orang mukmin yang bersungguh-sungguh ketika memohon pertolongan kepada-Nya dan meminta rahmat-Nya. Dia akan memperkenankan permintaan mereka yang berdoa dengan penuh ketundukkan kepadaNya, lebih-lebih lagi jika mereka berdoa seperti doa yang diungkapkan oleh Nabi Yunus as ini dalam keadaan mereka ditimpa ujian.