Surah 21: Al-Anbiya’ (78 – 82)

Kisah Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as dalam Membuat Keputusan dan Kelebihan Mukjizat Mereka

Surah 21: Al-Anbiya’ (78 – 82)


Ayat 78

وَدَاوُۥدَ وَسُلَيْمَـٰنَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِى ٱلْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ ٱلْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَـٰهِدِينَ

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.

Allah Ta’ala menyebutkan kisah penghakiman antara pemilik kebun dan pengembala kambing. 

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud ra, dia mengatakan kambing-kambing itu telah merosakkan kebun anggur. Nabi Daud as memutuskan bahawa kambing-kambing itu menjadi milik tuan kebun anggur tersebut. 

Namun Nabi Sulaiman as tidak bersetuju dengan pendapat itu. Baginda mencadangkan agar kebun anggur diserahkan kepada pemilik kambing supaya dia menguruskannya sehingga menjadi seperti sediakala. Manakala kambing-kambing itu diserahkan kepada pemilik kebun anggur agar dapat dimanfaatkannya. Apabila kebun telah kembali seperti asal maka barulah diserahkan kembali kepada tuannya dan kambing-kambing tersebut pun diserahkan kembali kepada tuannya. 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala memuji Nabi Sulaiman as tanpa mengecam Nabi Daud as. 

Ayat 79

فَفَهَّمْنَـٰهَا سُلَيْمَـٰنَ ۚ وَكُلًّا ءَاتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُۥدَ ٱلْجِبَالَ يُسَبِّحْنَ وَٱلطَّيْرَ ۚ وَكُنَّا فَـٰعِلِينَ

Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.

Allah Ta’ala telah memberi ilham kepada Nabi Sulaiman as tentang cara menghukum dengan adil. Namun Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as menghukum mengikut ijtihad masing-masing. Nabi Daud as bersetuju menarik balik hukuman yang diputuskannya dan menerima hukuman yang dibuat oleh Nabi Sulaiman as. 

Daripada ‘Amr bin Al-‘As ra, Rasulullah saw bersabda: 

“Jika seorang hakim berijtihad (memutuskan setelah bersusah payah melakukan penelitian) dan terbukti benar, maka baginya dua pahala. Dan jika dia berijtihad lalu salah, maka baginya satu pahala.” 

(HR. Al-Bukhari) 

Al-Hasan Al-Basri mengatakan, sesungguhnya Allah Swt menjadikan tiga perkara yang mesti dipatuhi oleh para hakim: 

  • Tidak menjual hukum dengan harga yang murah. 
  • Tidak mengikut hawa nafsu dalam menetapkan hukum. 
  • Tidak takut kepada seorang pun berkaitan dengan penetapan hukum. 

Kemudian Al-Hasan membaca firman-firman Allah Swt: 

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” 

Sad 38:26 

“………janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku….” 

Al-Ma’idah 5:44 

“………..janganlah kalian menukarkan ayat-ayatKu dengan harga yang rendah,….” 

Al-Baqarah 2:41 

Allah Ta’ala juga mengurniakan Nabi Daud as suara yang merdu. Apabila diperdengarkan, burung-burung berhenti di udara dan gunung-gunung juga akan turut bertasbih bersama-sama baginda. 

Ketika Rasulullah saw mendengar Abu Musa Al-Asy’ari ra membaca Al-Quran, baginda menyebutnya seperti yang dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah ra dan oleh An-Nasai’ daripada ‘Aisyah ra: 

“Sungguh, dia telah dikurniakan sebahagian daripada suara merdu Nabi Daud as.” 

(HR. Ahmad, An-Nasai’ dan Ibnu Majah) 

Ayat 80

وَعَلَّمْنَـٰهُ صَنْعَةَ لَبُوسٍ لَّكُمْ لِتُحْصِنَكُم مِّنۢ بَأْسِكُمْ ۖ فَهَلْ أَنتُمْ شَـٰكِرُونَ

Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?

Qatadah menyatakan sebelum itu baju besi terdiri daripada kepingan-kepingan besi. Nabi Daud as merupakan manusia yang pertama mengait (menganyam) menjadikan baju besi sebagaimana firman Allah Swt: 

“Dan Kami-lah yang telah melembutkan besi untuknya, (iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya.” 

Saba’ 34:10-11 

Allah Ta’ala memerintahkan manusia supaya bersyukur dengan nikmat-nikmat yang diberikan kepada Nabi Daud as yang diilhamkan-Nya membuat baju besi kemudian mengajarkannya kepada mereka. 

Ayat 81

وَلِسُلَيْمَـٰنَ ٱلرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِى بِأَمْرِهِۦٓ إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا ۚ وَكُنَّا بِكُلِّ شَىْءٍ عَـٰلِمِينَ

Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah Ta’ala menundukkan angin yang kencang kepada Nabi Sulaiman as yang berhembus ke negeri Syam dan ke mana sahaja baginda pergi sepertimana firman-Nya: 

“Kemudian Kami tundukkan kepadanya angin yang berhembus dengan baik menurut perintahnya ke mana sahaja yang dikehendakinya.” 

Sad 38:36 

Ayat 82

وَمِنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ مَن يَغُوصُونَ لَهُۥ وَيَعْمَلُونَ عَمَلًا دُونَ ذَٰلِكَ ۖ وَكُنَّا لَهُمْ حَـٰفِظِينَ

Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka (daripada melanggar perintahnya).

Allah Ta’ala menyebutkan bahawa Nabi Sulaiman as dianugerahi-Nya kekuasaan terhadap syaitan-syaitan yang diarahkan menyelam ke dalam laut untuk mengeluarkan permata, berlian dan lain-lain. Ini sebagaimana firman-Nya: 

“Dan (Kami tundukkan pula kepadanya) syaitan-syaitan, semuanya ahli bangunan dan penyelam, dan (syaitan) yang lain yang terikat dalam belenggu.” 

Sad 38:37-38 

Maksud ayat, “Kami mengawal mereka (daripada melanggar perintahnya).” ialah Allah Ta’ala menjaga Nabi Sulaiman as daripada diganggu oleh syaitan-syaitan itu bahkan syaitan-syaitan itu semuanya berada dalam genggaman dan kekuasaan-Nya. Bagindalah yang mengendalikan para syaitan tersebut. Baginda boleh melepaskan mereka jika baginda menghendakinya dan boleh juga menahan (dengan izin Allah).