Para Rasul adalah daripada Kalangan Manusia
Surah 21: Al-Anbiya’ (7 – 9)
Ayat 7
وَمَآ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِىٓ إِلَيْهِمْ ۖ فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Kami tiada mengutus para Rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.
Allah Swt membantah orang-orang yang mengingkari perutusan para Rasul daripada kalangan manusia. Dia menyatakan bahawa semua Rasul yang terdahulu adalah lelaki daripada kalangan manusia dan tidak ada seorang pun di antara mereka yang berasal daripada golongan malaikat. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu (Muhammad), melainkan orang lelaki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri………………”
Yusuf 12:109
Oleh itu, Allah Ta’ala menyuruh mereka bertanya kepada orang-orang yang memiliki pengetahuan daripada umat-umat terdahulu iaitu ahli kitab yang terdiri daripada Yahudi dan Nasrani serta golongan yang lain sama ada para Rasul yang diutuskan kepada mereka itu terdiri daripada kalangan manusia atau malaikat.
Para Rasul daripada kalangan manusia merupakan kesempurnaan nikmat Allah Swt yang diberikan kepada makhluk-makhluk-Nya. Ini kerana mereka dapat menerima dan memahami risalah yang disampaikan oleh para Rasul daripada kalangan mereka sendiri.
Ayat 8
وَمَا جَعَلْنَـٰهُمْ جَسَدًا لَّا يَأْكُلُونَ ٱلطَّعَامَ وَمَا كَانُوا۟ خَـٰلِدِينَ
Dan tidaklah Kami jadikan mereka itu tubuh-tubuh yang tidak memakan makanan, dan tidak (juga) mereka itu orang-orang yang kekal.
Sesungguhnya para Rasul adalah manusia biasa. Mereka makan, minum dan masuk ke pasar-pasar untuk berjual beli sebagaimana manusia yang lain. Kehidupan mereka sama seperti manusia yang lain. Hal ini tidaklah membahayakan mereka dan tidak pula merendahkan sedikit pun martabat mereka seperti yang dianggap oleh orang-orang musyrik. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka pasti memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar………”
Al-Furqan 25:20
Para Rasul juga tidak hidup kekal di dunia kerana mereka juga akan mati sebagaimana firman Allah Swt:
“Dan Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelum kamu (Muhammad)……..”
Al-Anbiya’ 21:34
Keistimewaan para Rasul ialah mereka diberi wahyu oleh Allah Swt. Para malaikat turun kepada mereka membawa wahyu yang mengandungi perintah dan larangan-Nya kepada hamba-hamba-Nya.
Ayat 9
ثُمَّ صَدَقْنَـٰهُمُ ٱلْوَعْدَ فَأَنجَيْنَـٰهُمْ وَمَن نَّشَآءُ وَأَهْلَكْنَا ٱلْمُسْرِفِينَ
Kemudian Kami tepati janji (yang telah Kami janjikan) kepada mereka. Maka Kami selamatkan mereka dan orang-orang yang Kami kehendaki dan Kami binasakan orang-orang yang melampaui batas.
Allah Swt benar-benar menunaikan janji-Nya kepada para Rasul iaitu Dia akan menjaga, memuliakan dan menyelamatkan mereka dan pengikut masing-masing yang terdiri daripada kalangan orang-orang yang beriman. Dia juga membinasakan orang-orang yang zalim yang mendustakan ayat-ayat-Nya.