Surah 21: Al-Anbiya’ (44 – 46)

Pengajaran Allah Swt kepada Orang Musyrik

Surah 21: Al-Anbiya’ (44 – 46)


Ayat 44

بَلْ مَتَّعْنَا هَـٰٓؤُلَآءِ وَءَابَآءَهُمْ حَتَّىٰ طَالَ عَلَيْهِمُ ٱلْعُمُرُ ۗ أَفَلَا يَرَوْنَ أَنَّا نَأْتِى ٱلْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَآ ۚ أَفَهُمُ ٱلْغَـٰلِبُونَ

Sebenarnya Kami telah memberi mereka dan bapa-bapa mereka kenikmatan (hidup di dunia) hingga panjanglah umur mereka. Maka apakah mereka tidak melihat bahawasanya Kami mendatangi negeri (orang kafir), lalu Kami kurangi luasnya dari segala penjurunya. Maka apakah mereka yang menang?

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesungguhnya yang memperdayai dan mendorong orang-orang kafir Quraisy kepada kesesatan ialah kenikmatan dan kesenangan dunia termasuk umur yang panjang sehingga mereka meyakini bahawa mereka berada dalam kebenaran.

Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan mereka dengan mengatakan apakah mereka tidak mengambil pelajaran bagaimana Dia menolong para kekasih-Nya terhadap para musuh-Nya. Dia telah membinasakan umat-umat yang mendustakan dan memusnahkan para penduduk negeri yang zalim, menyelamatkan para hamba-Nya yang mukmin dan menakluk negeri-negeri di sekitar Mekah. Firman-Nya:

“Dan sungguh, telah Kami binasakan negeri-negeri sekitarmu, dan juga telah Kami jelaskan berulang-ulang tanda-tanda (kebesaran Kami), agar mereka kembali (bertaubat).”

Al-Ahqaf 46:27

Ayat 45

قُلْ إِنَّمَآ أُنذِرُكُم بِٱلْوَحْىِ ۚ وَلَا يَسْمَعُ ٱلصُّمُّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا مَا يُنذَرُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad), “Sesungguhnya aku hanya memberi peringatan kepada kamu sekalian dengan wahyu dan tidaklah orang-orang yang tuli mendengar seruan, apabila mereka diberi peringatan.”

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada orang-orang kafir, bahawa baginda ditugaskan memberi peringatan kepada mereka tentang azab berdasarkan Al-Quran yang diwahyukan-Nya kepada baginda. Jika mereka tidak juga mahu mengambil manfaat daripada peringatan yang mereka dengar, ini bererti mereka sama sahaja seperti orang tuli yang tidak mampu mendengar sama sekali.

Ayat 46

وَلَئِن مَّسَّتْهُمْ نَفْحَةٌ مِّنْ عَذَابِ رَبِّكَ لَيَقُولُنَّ يَـٰوَيْلَنَآ إِنَّا كُنَّا ظَـٰلِمِينَ

Dan sesungguhnya, jika mereka ditimpa sedikit sahaja daripada azab Rabbmu, pastilah mereka berkata, “Aduhai, celakalah kami, bahawasanya kami adalah orang yang menganiaya diri sendiri.”

Sekiranya orang-orang yang mendustakan para rasul itu ditimpa azab walaupun yang paling ringan daripada Allah Ta’ala, nescaya mereka akan mengakui dosa-dosa mereka dan bahawa merekalah orang-orang yang zalim terhadap diri mereka sendiri.