Surah 21: Al-Anbiya’ (36 – 43)

Azab yang Ditimpa kepada Orang Musyrik

Surah 21: Al-Anbiya’ (36 – 43)


Ayat 36

وَإِذَا رَءَاكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِن يَتَّخِذُونَكَ إِلَّا هُزُوًا أَهَـٰذَا ٱلَّذِى يَذْكُرُ ءَالِهَتَكُمْ وَهُم بِذِكْرِ ٱلرَّحْمَـٰنِ هُمْ كَـٰفِرُونَ

Dan apabila orang-orang kafir itu melihat kamu, mereka hanyalah menjadikan (perkara yang engkau sampaikan itu) sebagai ejek-ejekan sahaja, (Mereka mengatakan), “Apakah orang ini yang mencela ilah-ilah (sembahan-sembahan) kamu?” Padahal mereka adalah orang-orang yang ingkar mengingati Allah Yang Maha Pemurah.

Allah Swt menyatakan bahawa apabila orang-orang musyrik seperti Abu Jahal dan lain-lain melihat Rasulullah saw, yang ada dalam pemikiran mereka hanyalah keinginan untuk memperolok-olokkan baginda. Padahal merekalah orang-orang yang ingkar kepada Allah Swt dan mereka tetap menjadikan baginda sebagai bahan ejekan sebagaimana firman-Nya:

“Dan apabila mereka melihat engkau (Muhammad), mereka hanyalah menjadikan engkau sebagai ejekan (dengan mengatakan), “Inikah orangnya yang diutuskan Allah sebagai rasul? Sungguh, hampir sahaja dia menyesatkan kita daripada sembahan-sembahan kita, seandainya kita tetap (bertahan) menyembahnya.” Dan kelak mereka akan mengetahui pada saat mereka melihat azab, siapa yang paling sesat jalannya.”

Al-Furqan 25:41-42

Mereka sepatutnya memerhatikan perilaku dan akhlak Rasulullah saw serta apa yang diturunkan kepadanya berupa wahyu yang mengandungi nasihat dan pelajaran bagi orang-orang yang berakal.

Ayat 37

خُلِقَ ٱلْإِنسَـٰنُ مِنْ عَجَلٍ ۚ سَأُو۟رِيكُمْ ءَايَـٰتِى فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ

Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perlihatkan kepadamu tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku untuk mendatangkannya dengan segera.

Allah Swt menyatakan bahawa manusia diciptakan-Nya dalam keadaan bertabiat suka tergesa-gesa. Mereka ingin melakukan segala sesuatu dengan segera dan berhasrat agar terjadi dengan cepat. Firman-Nya:

“…………….. Dan memang manusia bersifat tergesa-gesa.”

Al-Isra’ 17:11

Oleh itu, tidak hairanlah jika orang-orang musyrik itu ingin agar dicepatkan turunnya azab Allah Ta’ala kepada mereka.

Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan mereka agar tidak meminta disegerakan azab kepada mereka kerana sesungguhnya Dia pasti akan menurunkan azab-Nya, sebagaimana yang ditimpakan kepada kaum-kaum terdahulu yang mendustakan para rasul dan azab-Nya itu tidak dapat ditolak oleh sesiapa pun.

Ayat 38

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا ٱلْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Mereka berkata, “Bilakah janji itu akan datang, jika kamu sekalian adalah orang-orang yang benar?”

Allah Ta’ala memberitahu bahawa permintaan orang-orang musyrik agar azab disegerakan itu merupakan satu bentuk pendustaan, pengingkaran, kekafiran dan penentangan mereka. Mereka menganggap azab itu mustahil dan tidak akan terjadi.

Ayat 39

لَوْ يَعْلَمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ حِينَ لَا يَكُفُّونَ عَن وُجُوهِهِمُ ٱلنَّارَ وَلَا عَن ظُهُورِهِمْ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Andai kata orang-orang kafir itu mengetahui, ketika mereka itu tidak mampu mengelakkan api neraka dari muka dan belakang mereka, sedang mereka (tidak pula) mendapat pertolongan (tentulah mereka tidak meminta disegerakan).

Allah Ta’ala menyatakan sekiranya orang-orang kafir Quraisy itu mengetahui bahawa azab pasti akan menimpa mereka, tentu mereka tidak bersikap keras kepala dan tidak pula meminta agar azab disegerakan.

Mereka tidak mengetahui bahawa kelak mereka akan ditimpa azab dari atas dan bawah mereka seperti firman-firman Allah Swt:

“Di atas mereka ada lapisan-lapisan daripada api dan di bawah mereka juga ada lapisan-lapisan yang disediakan bagi mereka……………”

Az-Zumar 39:16

“Bagi mereka tikar tidur daripada api neraka dan di atas mereka ada selimut (api neraka)………”

Al-A’raf 7:41

Azab datang dari pelbagai arah dan tiada apa yang dapat menolong mereka sebagaimana firman Allah Swt:

“………..Tidak ada seorang pun yang melindungi mereka daripada (azab) Allah.”

Ar-Ra’d 13:34

Ayat 40

بَلْ تَأْتِيهِم بَغْتَةً فَتَبْهَتُهُمْ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ رَدَّهَا وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

Sebenarnya (azab) itu akan datang kepada mereka dengan tiba-tiba lalu membuat mereka menjadi panik, maka mereka tidak sanggup menolaknya dan tidak (pula) mereka diberi tangguh.

Kemudian Allah Ta’ala menjelaskan bahawa waktu datangnya azab itu tidak diketahui, namun kiamat akan datang kepada mereka secara tiba-tiba dan tidak dijangka yang menyebabkan mereka ketakutan dan terpaksa pasrah dengan rasa bingung serta tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Mereka tidak mampu mengadakan tipu daya untuk menolak azab tersebut dan azab itu pula tidak akan ditangguhkan lagi walaupun hanya sesaat. Ketika itu pintu taubat telah tertutup dan sebarang penyesalan tidaklah berguna lagi.

Ayat ini mengingatkan bahawa Allah Ta’ala sebenarnya telah memberikan penangguhan kepada mereka dan telah memberi mereka peluang seluas-luasnya untuk mereka sedar, beriman dan meninggalkan kekufuran serta kesesatan sehingga mereka tidak lagi diberi penangguhan dan kesempatan.

Allah Ta’ala merahsiakan Hari Kiamat agar hamba-hamba-Nya lebih berhati-hati dan memperbaiki kesalahan serta tidak bertangguh-tangguh sehingga terjadinya kiamat.

Ayat 41

وَلَقَدِ ٱسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِٱلَّذِينَ سَخِرُوا۟ مِنْهُم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

Dan sungguh telah diperolok-olokkan beberapa orang rasul sebelum kamu, maka turunlah kepada orang yang mencemuhkan para rasul itu azab yang selalu mereka perolok-olokkan.

Allah Ta’ala menurunkan ayat ini untuk menenangkan hati Rasulullah saw atas sikap orang-orang kafir yang mencemuh dan mendustakan risalah baginda.

Allah Ta’ala menyatakan para nabi terdahulu juga mengalami hal yang sama. Lalu Dia menimpakan azab kepada orang-orang yang mencemuh dan memperolok-olokkan para rasul itu sebagai balasan atas perbuatan mereka. Inilah azab yang mereka sangka tidak akan terjadi. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Dan sesungguhnya rasul-rasul sebelum engkau pun telah didustakan, tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sampai datang pertolongan Kami kepada mereka. Dan tidak ada yang dapat mengubah kalimah-kalimah (ketetapan) Allah. Dan sungguh, telah datang kepadamu sebahagian daripada berita rasul-rasul itu.”

Al-An’am 6:34

Ayat 42

قُلْ مَن يَكْلَؤُكُم بِٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ مِنَ ٱلرَّحْمَـٰنِ ۗ بَلْ هُمْ عَن ذِكْرِ رَبِّهِم مُّعْرِضُونَ

Katakanlah, “Siapakah yang dapat memelihara kamu pada waktu malam dan siang hari daripada (azab Allah) Yang Maha Pemurah?” Sebenarnya mereka adalah orang-orang yang berpaling daripada mengingati Rabb mereka.

Allah Ta’ala menyebutkan nikmat-nikmat-Nya yang diberikan kepada hamba-hamba-Nya berupa penjagaan-Nya terhadap mereka pada waktu malam dan siang. Dia-lah yang memelihara dan melindungi mereka dengan pengawasan-Nya.

Meskipun telah dikemukakan dalil-dalil aqli yang cukup banyak dan dalil-dalil dalam Al-Quran yang menunjukkan betapa banyaknya kurniaan dan nikmat Allah Ta’ala, namun orang-orang kafir musyrik tetap tidak mengakui nikmat-nikmat dan kebaikan yang diberikan-Nya malah mereka berpaling daripada kurniaan-kurniaan tersebut.

Ayat 43

أَمْ لَهُمْ ءَالِهَةٌ تَمْنَعُهُم مِّن دُونِنَا ۚ لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَ أَنفُسِهِمْ وَلَا هُم مِّنَّا يُصْحَبُونَ

Atau adakah mereka mempunyai ilah-ilah yang dapat memelihara mereka daripada (azab) Kami. Ilah-ilah itu tidak sanggup menolong diri mereka sendiri dan tidak (pula) mereka dilindungi daripada (azab) Kami itu.

Pertanyaan Allah Ta’ala dalam ayat ini merupakan celaan dan kecaman terhadap orang-orang yang menyembah selain-Nya. Ini kerana tidak ada sesuatu pun yang dapat memelihara dan melindungi mereka selain Allah Swt. Sembahan-sembahan mereka itu tidak dapat menolong diri sendiri dan tidak pula dapat melepaskan mereka daripada azab-Nya kelak.