Surah 21: Al-Anbiya’ (30 – 33)

Kesempurnaan Kekuasaan Allah Swt dan Keagungan Kerajaan-Nya

Surah 21: Al-Anbiya’ (30 – 33)


Ayat 30

أَوَلَمْ يَرَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَنَّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَـٰهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ ٱلْمَآءِ كُلَّ شَىْءٍ حَىٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah suatu yang padu (bercantum), kemudian Kami pisahkan kedua-duanya. Dan daripada air, Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman?

Allah Ta’ala mengingatkan orang-orang yang mengingkari dan menyembah selain-Nya tentang kekuasaan-Nya yang sempurna dan kerajaan-Nya yang agung. Semuanya sudah jelas kepada mereka sebagai dalil-dalil atau bukti-bukti bahawasanya Dia-lah yang menciptakan dan mengatur segala ciptaan-Nya. Oleh itu, jika mereka mengetahui dan tidak berpaling daripada bukti-bukti ini, tidak mungkin mereka menyekutukan-Nya.

Dalam ayat 30-33 terdapat enam dalil tentang kewujudan Allah Ta’ala yang Maha Esa yang mempunyai kekuasaan sepenuhnya dalam menciptakan segala sesuatu dan menguasai seluruh makhluk iaitu:

▪️    Memisahkan langit dan bumi yang asalnya bercantum.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa pada mulanya langit dan bumi seluruhnya saling bercantum dan tersusun antara sebahagian dengan sebahagian yang lain. Kemudian Dia memisahkan kedua-duanya dan menjadikan langit tujuh lapis dan bumi juga tujuh lapis. Langit yang dekat (langit dunia) dan bumi dipisahkan dengan udara. Lalu langit menurunkan hujan, sehingga bumi pun dapat menumbuhkan tanam-tanaman.

Sa’id bin Jubair mengatakan bahawa dahulu langit dan bumi saling melekat. Allah Ta’ala mengangkat langit dan memunculkan bumi daripadanya, maka itulah yang disebutkan, “Kemudian Kami pisahkan kedua-duanya.” Al-Hasan dan Qatadah pula mengatakan maksud “Kemudian Kami pisahkan kedua-duanya,” ialah kedua-duanya dahulu bersatu lalu Dia memisahkan kedua-duanya dengan udara.

▪️    Menjadikan air sebagai sumber kehidupan. Setiap yang hidup itu berasal daripada air. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, dia berkata:

“Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya jika aku melihatmu, maka menjadi tenteramlah jiwaku dan aku pun menjadi bahagia. Beritahulah kepadaku tentang segala sesuatu.’ Maka baginda bersabda, ‘Segala sesuatu diciptakan daripada air…………’”

(HR Ahmad)

Setiap makhluk pasti berasal daripada nutfah yang kandungannya berupa air, begitu pula tumbuh-tumbuhan tidak akan tumbuh kecuali dengan air. Firman-Nya:

“Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan yang bergerak itu daripada air……………………..”

An-Nur 24:45

Ayat 31

وَجَعَلْنَا فِى ٱلْأَرْضِ رَوَٰسِىَ أَن تَمِيدَ بِهِمْ وَجَعَلْنَا فِيهَا فِجَاجًا سُبُلًا لَّعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ

Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh supaya bumi itu tidak goncang bersama-sama mereka, dan telah Kami jadikan (juga) di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk.

▪️    Menjadikan gunung-ganang sebagai pasak bumi.

Gunung-gunung berfungsi untuk mengukuhkan, menetapkan dan memberatkan bumi agar tidak bergoncang atau bergerak-gerak sehingga manusia dapat menetap di atasnya dengan aman.

▪️    Mengadakan lurah-lurah antara gunung-gunung yang dapat dijadikan jalan.

Allah Ta’ala menjadikan banyak jalan-jalan di bumi ini menembusi di antara gunung-gunung. Ini dapat dilalui oleh manusia dengan mudah dari satu tempat ke tempat yang lain atau dari satu negeri ke negeri yang lain. Semuanya itu adalah untuk kemaslahatan manusia.

Ayat 32

وَجَعَلْنَا ٱلسَّمَآءَ سَقْفًا مَّحْفُوظًا ۖ وَهُمْ عَنْ ءَايَـٰتِهَا مُعْرِضُونَ

Dan Kami jadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara, sedang mereka berpaling daripada segala tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.

▪️    Mengadakan langit sebagai atap bagi bumi.

Allah Ta’ala menciptakan langit dengan kekuasaan-Nya. Dia telah menghiasi dan menjadikannya di atas bumi seumpama sebuah atap yang terpelihara iaitu segala yang ada di langit dijaga oleh-Nya dengan peraturan dan hukum-hukum yang menyebabkan semuanya dapat berjalan dengan tertib dan teratur. Firman-firman-Nya tentang langit pada ayat-ayat yang lain:

“Dan langit Kami dirikan dengan kekuasaan (Kami), dan Kami benar-benar meluaskannya.”

Az-Zariyat 51:47

“Maka tidakkah mereka memperhatikan langit yang ada di atas mereka, bagaimana cara Kami membangunnya dan menghiasinya, dan tidak terdapat retak-retak sedikitpun?”

Qaf 50:6

Orang-orang musyrik tidak memikirkan bagaimana Allah Ta’ala menghiasi langit dengan bulan, bintang dan planet-planet yang lain iaitu semua itu diciptakan-Nya dengan keluasan yang terbentang dan ketinggian yang menakjubkan sebagaimana firman-Nya:

“Dan berapa banyak tanda-tanda (kebesaran Allah) di langit dan di bumi yang mereka lalui, namun mereka berpaling daripadanya.”

Yusuf 12:105

Ayat 33

وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ ۖ كُلٌّ فِى فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Dan Dia-lah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing kedua-duanya itu beredar dalam garis edarnya.

▪️    Penciptaan malam dan siang, matahari dan bulan.

Allah Ta’ala mengingatkan manusia kepada sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya yang lain. Dia menciptakan malam dengan kegelapan untuk memberikan ketenangan dan kerehatan kepada hamba-hamba-Nya. Manakala dijadikan siang pula yang terdapat pancaran cahaya matahari, membolehkan manusia melakukan pelbagai aktiviti kehidupan.

Matahari dan bulan mempunyai orbit tersendiri, masa yang tertentu, pergerakan dan perjalanan yang khusus sepertimana firman-firman Allah Swt:

“Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.”

Yasin 36:40

“Dia menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketetapan Allah Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui.”

Al-An’am 6:96

Semua ayat-ayat di atas adalah tanda-tanda dan bukti-bukti kekuasaan dan ilmu Allah Ta’ala serta hikmah-Nya yang mesti diesakan tetapi kaum musyrik menolaknya. Mereka tidak mahu memikirkan tanda-tanda kekuasaan yang membolehkan mereka untuk mengenal-Nya dan mengetahui hal-hal yang menyebabkan mereka mengesakan dan beribadah hanya kepada-Nya.