Surah 21: Al-Anbiya’ (21 – 24)

Sanggahan terhadap Ilah-ilah Palsu

Surah 21: Al-Anbiya’ (21 – 24)


Ayat 21

أَمِ ٱتَّخَذُوٓا۟ ءَالِهَةً مِّنَ ٱلْأَرْضِ هُمْ يُنشِرُونَ

Apakah mereka mengambil ilah-ilah dari bumi, yang dapat menghidupkan (orang-orang mati)?

Allah Ta’ala menafikan perbuatan orang-orang yang menjadikan selain-Nya sebagai Ilah. Dia menyatakan bahawa ilah-ilah itu tidak berupaya sedikit pun menghidupkan orang-orang yang telah mati dan membangkitkan mereka dari bumi.

Ayat 22

لَوْ كَانَ فِيهِمَآ ءَالِهَةٌ إِلَّا ٱللَّهُ لَفَسَدَتَا ۚ فَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Sekiranya ada di langit dan di bumi ilah-ilah selain Allah, tentulah kedua-duanya itu sudah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai ‘Arasy daripada apa yang mereka sifatkan.

Seandainya ada Ilah lain selain Allah Swt nescaya langit dan bumi akan binasa. Ini kerana sekiranya ada lebih dari satu Ilah selain Allah Swt yang memerintah di langit dan di bumi pasti akan berlaku perselisihan pendapat antara ilah-ilah tersebut. Apabila berlaku perselisihan sudah pasti akan ada pergaduhan yang merosakkan perjalanan sistem alam ini.

Maha Suci dan Maha Tinggi Allah Ta’ala daripada kebohongan yang mereka ada-adakan dan katakan bahawa Dia memiliki anak atau sekutu kerana Dia-lah Penguasa dan Pemilik sekalian alam. Firman-Nya:

“Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada Ilah (yang lain) berserta-Nya, masing-masing ilah itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian daripada ilah-ilah itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu.”

Al-Mukminun 23:91

Ayat 23

لَا يُسْـَٔلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْـَٔلُونَ

Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya, dan merekalah yang akan ditanya.

Ayat ini menjelaskan bahawa segala ketetapan yang berlaku adalah ditentukan oleh Allah Ta’ala dan tiada sesiapa pun yang dapat menolak ketetapan-Nya. Dia-lah Hakim yang tiada siapa pun boleh mempersoalkan ketetapan-Nya, sebaliknya Dia-lah yang akan menanyakan makhluk-Nya tentang apa yang mereka lakukan seperti firman-Nya:

“Maka demi Rabbmu, Kami pasti akan menanyakan mereka semua, tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu.”

Al-Hijr 22:92-93

Ayat 24

أَمِ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً ۖ قُلْ هَاتُوا۟ بُرْهَـٰنَكُمْ ۖ هَـٰذَا ذِكْرُ مَن مَّعِىَ وَذِكْرُ مَن قَبْلِى ۗ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ ٱلْحَقَّ ۖ فَهُم مُّعْرِضُونَ

Apakah mereka mengambil ilah-ilah selain-Nya? Katakanlah, “Tunjukkanlah hujjahmu! (Al-Quran) ini adalah peringatan bagi orang-orang yang bersama-samaku, dan peringatan bagi orang-orang sebelumku.” Sebenarnya kebanyakan mereka tidak mengetahui yang hak, oleh itu mereka berpaling.

Kemudian Allah Ta’ala mengulang kembali menyebut tentang pengingkaran orang-orang musyrik yang beribadah kepada selain-Nya. Ini merupakan penegasan untuk menunjukkan betapa buruknya perbuatan mereka dan betapa seriusnya kedegilan mereka dengan kekufuran. Maka Dia memerintahkan Rasulullah saw meminta orang-orang musyrik mengemukakan alasan mengapa mereka mengambil ilah selain-Nya.

Allah Ta’ala juga memerintahkan Baginda saw menerangkan bahawa Al-Quran yang dibawanya adalah sebagai peringatan, sama seperti kitab-kitab terdahulu. Ini kerana setiap kitab yang diturunkan kepada setiap Nabi yang diutus menyatakan bahawa tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar selain Allah Swt.