Tidaklah Allah Swt Mencipta Segala Sesuatu dengan Sia-sia
Surah 21: Al-Anbiya’ (16 – 18)
Ayat 16
وَمَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَآءَ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَـٰعِبِينَ
Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara kedua-duanya dengan main-main.
Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak, iaitu adil dan seimbang, agar orang-orang yang berbuat jahat akan dibalas sesuai dengan apa yang mereka amalkan serta membalas orang-orang yang baik dengan kebaikan seperti firman-Nya:
“Dan hanya kepunyaan Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).”
An-Najm 53:31
Allah Ta’ala juga tidak menciptakan semua itu dengan sia-sia dan tidak pula sebagai permainan sebagaimana firman-Nya:
“Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara kedua-duanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka.”
Sad 38:27
Ayat 17
لَوْ أَرَدْنَآ أَن نَّتَّخِذَ لَهْوًا لَّٱتَّخَذْنَـٰهُ مِن لَّدُنَّآ إِن كُنَّا فَـٰعِلِينَ
Sekiranya Kami hendak membuat sesuatu permainan (isteri dan anak), tentulah Kami membuatnya dari sisi Kami. Jika Kami menghendaki berbuat demikian, (tentulah Kami telah melakukannya).
Allah Ta’ala menyatakan sekiranya Dia berkehendak mengambil sesuatu untuk bermain-main sebagaimana yang dilakukan para hamba-Nya berupa isteri atau anak pastilah Dia mengambil malaikat dan bidadari sebagai hiburan. Namun Dia tidak bersifat dengan sifat yang tidak layak bagi-Nya yang Maha Tinggi dan terkeluar daripada sifat kebijaksanaan-Nya. Dia tidak memerlukan hiburan dengan sesuatu apa pun.
Ayat ini juga merupakan sanggahan terhadap pihak yang menjadikan Al-Masih ‘Isa putera Maryam, ‘Uzair atau malaikat sebagai putera Allah Ta’ala.
Ayat 18
بَلْ نَقْذِفُ بِٱلْحَقِّ عَلَى ٱلْبَـٰطِلِ فَيَدْمَغُهُۥ فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ ۚ وَلَكُمُ ٱلْوَيْلُ مِمَّا تَصِفُونَ
Sebenarnya Kami melemparkan yang hak (kebenaran) kepada yang batil (tidak benar) lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta (yang batil itu) lenyap. Dan kecelakaanlah bagi kamu kerana kamu menyifati (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya).
Allah Ta’ala menjelaskan kebenaran lalu menyanggah kebatilan. Allah mengeji mereka disebabkan oleh perkataan yang direka-reka seperti mereka mengatakan Dia memiliki anak. Maka Allah Ta’ala menerangkan yang hak, lalu yang hak itu melemahkan yang batil. Ketika itu yang batil pun lenyap.
Oleh itu, bagi kaum musyrikin, mereka mendapat seksaan di akhirat kerana mereka menyebut sifat-sifat yang tidak layak bagi Rabb sekalian alam.