Rasulullah saw Diutus untuk Menjadi Rahmat kepada Seluruh Alam dan Mengajak Manusia kepada Tauhid
Surah 21: Al-Anbiya’ (106 – 109)
Ayat 106
إِنَّ فِى هَـٰذَا لَبَلَـٰغًا لِّقَوْمٍ عَـٰبِدِينَ
Sesungguhnya (apa yang disebutkan) dalam (surah) ini, benar-benar menjadi peringatan bagi kaum yang menyembah Allah.
Allah Ta’ala menyatakan, sesungguhnya Al-Quran yang Dia turunkan kepada hamba-Nya iaitu Nabi Muhammad saw benar-benar mengandungi manfaat kepada kaum yang menyembah-Nya, menyukainya, taat dan redha dengan syariat-Nya, serta lebih mengutamakan ketaatan kepada-Nya daripada ketaatan kepada syaitan dan hawa nafsu.
Ayat 107
وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَـٰلَمِينَ
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia mengutus Rasulullah saw dengan membawa syariat, Al-Quran, petunjuk, dan hukum-hukumnya dengan tujuan agar menjadi rahmat bagi seluruh alam baik daripada kalangan manusia mahupun jin.
Sesiapa yang menerima rahmat ini dan mensyukurinya, mereka akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menolak dan mengingkarinya, mereka akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat, seperti yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-firman-Nya:
“Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan, iaitu Neraka Jahannam, mereka masuk ke dalamnya, dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.”
Ibrahim 14:28-29
“………Katakanlah, ‘Al-Quran adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedangkan Al-Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh.’”
Fussilat 41:44
Ayat 108
قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ
Katakanlah, “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku adalah bahawasanya ilahmu adalah Ilah Yang Esa, maka hendaklah kamu berserah diri (kepada-Nya).”
Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw mengatakan kepada orang-orang musyrik bahawa ilah mereka adalah Ilah Yang Esa. Itulah yang diwahyukan kepada baginda. Oleh itu, mereka hendaklah mengikuti ketetapan wahyu itu dan berserah diri serta taat kepada-Nya.
Ayat 109
فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقُلْ ءَاذَنتُكُمْ عَلَىٰ سَوَآءٍ ۖ وَإِنْ أَدْرِىٓ أَقَرِيبٌ أَم بَعِيدٌ مَّا تُوعَدُونَ
Jika mereka berpaling, maka katakanlah, “Aku telah menyampaikan kepadamu sekalian (ajaran) yang sama (antara kita) dan aku tidak mengetahui apakah yang diancamkan kepadamu itu sudah dekat atau masih jauh?”
Sekiranya mereka meninggalkan apa yang diseru oleh Nabi Muhammad saw, baginda hendaklah mengatakan bahawa baginda adalah musuh mereka sebagaimana mereka adalah musuhnya, dan baginda berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripadanya. Ayat ini sama maksudnya dengan ayat lain yang disebutkan dalam firman Allah Swt:
“Dan jika mereka mendustakan kamu, maka katakanlah, ‘Bagiku pekerjaanku, dan bagi kalian pekerjaan kalian. Kalian berlepas diri terhadap apa yang aku kerjakan, dan aku pun berlepas diri terhadap apa yang kalian kerjakan.’”
Yunus 10:41
Rasulullah saw juga diperintahkan supaya memberitahu orang-orang musyrik bahawa baginda tidak mengetahui bila akan berlaku apa yang diancamkan oleh Allah Ta’ala kepada mereka. Walau bagaimanapun balasan seksaan tersebut pasti akan terjadi.