Langit Digulung pada Hari Kiamat
Surah 21: Al-Anbiya’ (104)
Ayat 104
يَوْمَ نَطْوِى ٱلسَّمَآءَ كَطَىِّ ٱلسِّجِلِّ لِلْكُتُبِ ۚ كَمَا بَدَأْنَآ أَوَّلَ خَلْقٍۢ نُّعِيدُهُۥ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَآ ۚ إِنَّا كُنَّا فَـٰعِلِينَ
(Iaitu) pada hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah janji yang pasti Kami tepati, sesungguhnya Kami-lah yang akan melaksanakannya.
Allah Ta’ala menggambarkan keadaan yang mencengkam, menakutkan dan menyebabkan kekacauan kerana Dia menggulung langit sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada Hari Kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi Dia daripada apa yang mereka sekutukan.”
Az-Zumar 39:67
‘Ali ibnu Abu Talhah, Al-‘Aufi, Mujahid, Qatadah dan lain-lainnya sependapat dengan Ibnu ‘Abbas ra yang mengatakan bahawa maksud ٱلسِّجِلِّ adalah lembaran kertas. Ibnu Jarir juga memilih pendapat ini dengan alasan bahawa memang makna inilah yang dikenali menurut istilah bahasa. Oleh itu, makna ayat ini ialah pada hari Allah Ta’ala menggulung langit sebagaimana menggulung lembaran-lembaran kertas.
Allah Ta’ala akan mengembalikan semua makhluk dalam kejadiannya yang baru, sebagaimana Dia menciptakan mereka pada kali pertama. Hal ini pasti berlaku kerana ini termasuk salah satu perkara yang telah dijanjikan-Nya. Dia Maha Berkuasa untuk melakukan hal tersebut.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan Rasulullah saw menyampaikan nasihatnya kepada kami, baginda bersabda:
“Sesungguhnya kamu (akan) dihimpun di hadapan Allah dalam keadaan tanpa beralas kaki, bertelanjang dan belum dikhitan (disunat). ‘Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya. Sungguh Kami akan melaksanakannya.’”
(HR. Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim)