Penyembahan Patung Anak Lembu
Surah 20: Taha (83 – 98)
Ayat 83
وَمَآ أَعْجَلَكَ عَن قَوْمِكَ يَـٰمُوسَىٰ
“Dan mengapa engkau datang lebih cepat daripada kaummu, wahai Musa?”
Ayat 84
قَالَ هُمْ أُو۟لَآءِ عَلَىٰٓ أَثَرِى وَعَجِلْتُ إِلَيْكَ رَبِّ لِتَرْضَىٰ
Dia (Musa) berkata, “Itulah mereka telah menyusuliku dan aku bersegera kepada-Mu, wahai Rabbku, agar Engkau redha (kepadaku).”
Nabi Musa as berjalan bersama-sama Bani Israil setelah Firaun dibinasakan. Rabbnya menjanjikannya supaya bermunajat kepada-Nya selama tiga puluh malam kemudian ditambah lagi sepuluh malam sehingga menjadi empat puluh malam kesemuanya. Selama tempoh tersebut baginda diperintahkan agar berpuasa siang dan malam.
Kemudian Nabi Musa as pun bergegas menuju ke gunung untuk melaksanakan tugas yang diperintahkan kepadanya. Sebelum itu, baginda telah mengangkat saudaranya Nabi Harun as menggantikannya sebagai pemimpin bagi Bani Israil.
Oleh itu, Allah Ta’ala menegur baginda atas perbuatannya yang datang lebih cepat daripada kaumnya. Lalu dijawab oleh Nabi Musa as bahawa mereka telah menyusulinya iaitu mereka sedang datang dan telah sampai ke tempat yang dekat dengan gunung itu. Baginda melanjutkan lagi dengan mengatakan bahawa baginda bersegera kepada Rabbnya supaya Rabbnya bertambah redha kepadanya.
Ayat 85
قَالَ فَإِنَّا قَدْ فَتَنَّا قَوْمَكَ مِنۢ بَعْدِكَ وَأَضَلَّهُمُ ٱلسَّامِرِىُّ
Dia (Allah) berfirman, “Sungguh, Kami telah menguji kaummu setelah engkau tinggalkan, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri.”
Kemudian Allah Ta’ala memberitahu Nabi Musa as bahawa sepanjang ketiadaan baginda, kaumnya telah menyembah patung anak lembu yang dibuat oleh Samiri untuk mereka.
Ayat 86
فَرَجَعَ مُوسَىٰٓ إِلَىٰ قَوْمِهِۦ غَضْبَـٰنَ أَسِفًا ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ أَلَمْ يَعِدْكُمْ رَبُّكُمْ وَعْدًا حَسَنًا ۚ أَفَطَالَ عَلَيْكُمُ ٱلْعَهْدُ أَمْ أَرَدتُّمْ أَن يَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبٌ مِّن رَّبِّكُمْ فَأَخْلَفْتُم مَّوْعِدِى
Kemudian Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan bersedih hati. Dia (Musa) berkata, “Wahai kaumku! Bukankah Rabbmu telah menjanjikan kepadamu suatu janji yang baik? Apakah terlalu lama masa perjanjian itu bagimu atau kamu menghendaki agar kemurkaan Rabb menimpamu, mengapa kamu melanggar perjanjianmu dengan aku?”
Setelah Nabi Musa as mengetahui tentang kejadian itu, baginda sangat marah dan sedih terhadap tindakan kaumnya. Ini kerana baginda telah memberi perhatian penuh terhadap isu tauhid. Baginda telah menerima kitab Taurat yang mengandungi syariat dan penghormatan kepada mereka tetapi kaumnya telah tersesat apabila mereka masih mahu menyembah patung anak lembu. Baginda juga mengecam mereka yang telah melupakan nikmat-nikmat-Nya yang lepas dan janji yang akan datang.
Ayat 87
قَالُوا۟ مَآ أَخْلَفْنَا مَوْعِدَكَ بِمَلْكِنَا وَلَـٰكِنَّا حُمِّلْنَآ أَوْزَارًا مِّن زِينَةِ ٱلْقَوْمِ فَقَذَفْنَـٰهَا فَكَذَٰلِكَ أَلْقَى ٱلسَّامِرِىُّ
Mereka berkata, “Kami tidak melanggar perjanjianmu dengan kemahuan kami sendiri, tetapi kami dibebankan membawa barang-barang yang berat daripada perhiasan kaum (Firaun) itu, kemudian kami melemparkannya (ke dalam api), dan demikian pula Samiri melemparkannya.
Mereka menjawab kecaman Nabi Musa as dengan mengatakan bahawa perkara itu berlaku di luar kehendak dan pilihan mereka. Mereka memberi alasan yang tidak munasabah iaitu terpaksa melakukannya kerana perhiasan yang mereka bawa dari Mesir itu berat.
Oleh itu, mereka melemparkan barang-barang itu di dalam satu lubang yang di dalamnya terdapat api sesuai dengan perintah Samiri. Demikian juga Samiri melemparkan apa sahaja yang dia bawa, iaitu debu bekas pijakan tapak kaki kuda Jibril.
Genggaman tanah itu diambil daripada bekas tapak kaki kuda Jibril as semasa mereka selamat menyeberangi laut. Patung anak lembu yang mengeluarkan suara itu merupakan istidraj dan ujian.
Ayat 88
فَأَخْرَجَ لَهُمْ عِجْلًا جَسَدًا لَّهُۥ خُوَارٌ فَقَالُوا۟ هَـٰذَآ إِلَـٰهُكُمْ وَإِلَـٰهُ مُوسَىٰ فَنَسِىَ
Kemudian (dari lubang api itu) dia (Samiri) mengeluarkan (patung) anak sapi yang bertubuh dan bersuara untuk mereka, maka mereka berkata, “Inilah Ilahmu dan Ilah Musa, tetapi dia (Musa) telah lupa.”
Allah Ta’ala menyambung kisah bagaimana Samiri membuat patung anak lembu yang tidak memiliki roh dan tidak hidup. Patung itu dapat mengeluarkan suara lembu kerana Samiri membuatnya dengan cara-cara tertentu.
Ibnu ‘Abbas ra menyatakan suara itu terjadi disebabkan oleh angin yang masuk melalui bahagian punggungnya dan kemudian keluar melalui mulutnya sehingga mengeluarkan suara seolah-olah patung itu hidup.
Muhammad ibnu Ishak meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa Samiri mengatakan, “Inilah Ilahmu dan Ilahnya Musa, tetapi dia (Musa) telah lupa.” Maka mereka pun menyembahnya dengan kecintaan yang belum pernah sama sekali mereka tujukan kepada apa pun selain patung itu. Perkataan Samiri “Musa telah lupa,” bermaksud Samiri mengatakan bahawa Nabi Musa as lupa bahawa tuhannya ada di sini, lalu dia pergi mencarinya.
Ayat 89
أَفَلَا يَرَوْنَ أَلَّا يَرْجِعُ إِلَيْهِمْ قَوْلًا وَلَا يَمْلِكُ لَهُمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا
Maka tidakkah mereka memperhatikan bahawa (patung anak sapi itu) tidak dapat memberi jawapan kepada mereka, dan tidak berkuasa menolak mudarat mahupun mendatangkan manfaat kepada mereka?”
Kemudian Allah Ta’ala mengecam mereka dengan menjelaskan keburukan dan kelemahan akal mereka. Patung itu tidak dapat menjawab pertanyaan mereka jika mereka bertanya atau berbicara kepadanya. Apa lagi untuk menolak bahaya atau musibah dan juga memberikan sebarang pertolongan yang memberikan manfaat kepada orang yang menyembahnya.
Ayat 90
وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هَـٰرُونُ مِن قَبْلُ يَـٰقَوْمِ إِنَّمَا فُتِنتُم بِهِۦ ۖ وَإِنَّ رَبَّكُمُ ٱلرَّحْمَـٰنُ فَٱتَّبِعُونِى وَأَطِيعُوٓا۟ أَمْرِى
Dan sungguh, sebelumnya Harun telah berkata kepada mereka, “Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diberi ujian dengan anak lembu itu dan sesungguhnya Rabbmu ialah (Rabb) Yang Maha Pemurah, maka ikutilah aku dan taatilah perintahku.”
Nabi Harun as telah melarang Bani Israil menyembah patung anak lembu sebelum kepulangan Nabi Musa as dari Gunung Sinai. Nabi Harun as mengatakan kepada kaumnya bahawa hal itu merupakan ujian kepada mereka dan mengingatkan bahawa Rabb mereka adalah Yang Maha Pengasih. Dia-lah yang menciptakan segala sesuatu, menetapkan kadar masing-masing, memiliki ‘Arasy yang agung dan melaksanakan apa yang dikehendaki-Nya. Baginda menyeru Bani Israil agar mengikuti perintahnya dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarangnya.
Dalam ayat ini terdapat beberapa perkara yang dilakukan oleh Nabi Harun as iaitu:
▪️ Menasihati kaumnya dengan cara terbaik kerana baginda menegur mereka terhadap kebatilan yang mereka lakukan. Baginda mengatakan bahawa mereka hanya diberi ujian dengan anak lembu tersebut.
▪️ Mengajak kaumnya kepada makrifatullah (mengenal Allah Swt) dengan mengatakan bahawa Rabb mereka adalah Rabb Yang Maha Pemurah. Ini juga adalah untuk mengingatkan mereka tentang ketuhanan dan kekuasaan-Nya yang telah menyelamatkan mereka daripada Firaun dan bala tenteranya.
▪️ Mengajak kaumnya memahami kenabiannya dengan mengatakan, “maka ikutlah aku.”
▪️ Mengajak kaumnya untuk menunaikan syariat agama dengan berkata, “dan taatilah perintahku.”
Ayat 91
قَالُوا۟ لَن نَّبْرَحَ عَلَيْهِ عَـٰكِفِينَ حَتَّىٰ يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَىٰ
Mereka menjawab, “Kami tidak akan meninggalkannya (dan) akan tetap menyembah (patung anak lembu ini), hingga Musa kembali kepada kami.”
Namun Bani Israil menentang Nabi Harun as dengan menyatakan bahawa mereka tetap tidak akan meninggalkan penyembahan patung anak lembu itu sehingga mereka mendengar sendiri larangan daripada Nabi Musa as tentang perkara tersebut. Mereka pun mengingkari Nabi Harun as dan memeranginya serta hampir membunuhnya.
Ayat 92
قَالَ يَـٰهَـٰرُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوٓا۟
Dia (Musa) berkata, “Wahai Harun, apa yang menghalangmu daripada melarang mereka ketika kamu melihat mereka telah sesat.
Ayat 93
أَلَّا تَتَّبِعَنِ ۖ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِى
(Sehingga) Kamu tidak mengikuti aku? Adakah kamu telah (sengaja) melanggar perintahku?”
Ketika Nabi Musa as kembali menemui kaumnya dan melihat kesesatan yang telah mereka lakukan, jiwa baginda dipenuhi dengan perasaan marah. Hal ini menyebabkan baginda melemparkan kepingan-kepingan (lauh-lauh) yang tertulis firman-firman Allah Swt yang ada di tangannya. Baginda lalu memegang kepala saudaranya dan menarik ke arahnya. Ini sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan tatkala Musa telah kembali kepada kaumnya dengan marah dan sedih hati, berkatalah dia, ‘Alangkah buruknya perbuatan yang engkau kerjakan sesudah pemergianku! Apakah kamu hendak mendahului janji Rabb-mu?’ Dan Musa melemparkan lauh-lauh (Taurat) itu dan memegang (rambut) kepala saudaranya (Harun) sambil menariknya ke arahnya. Harun berkata, ‘Wahai anak ibuku, sesungguhnya kaum ini telah menganggapku lemah dan hampir-hampir mereka akan membunuhku, sebab itu janganlah kamu menjadikan musuh-musuh gembira melihatku, dan janganlah engkau masukkan aku ke dalam golongan orang-orang yang zalim.’”
Al-A’raf 7:150
Nabi Musa as mencela saudaranya, Nabi Harun as kerana tidak memberitahunya sebaik sahaja berlaku kesesatan oleh kaumnya padahal baginda telah berpesan kepada Nabi Harun as sebelum pemergiannya, seperti firman-Nya dalam ayat yang lain:
““Gantikanlah aku dalam (memimpin) kaumku, dan perbaikilah (dirimu dan kaummu), dan janganlah kamu mengikuti jalan orang-orang yang membuat kerosakan.”
Al-A’raf 7:142
Ayat 94
قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِى وَلَا بِرَأْسِىٓ ۖ إِنِّى خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِى
Dia (Harun) menjawab, “Wahai putera ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku), ‘Kamu telah memecah antara Bani Israil dan kamu tidak memelihara amanatku.’”
Nabi Harun as bersikap lembut sambil menyebut perkataan ibu mereka untuk mendapatkan simpati dan menimbulkan kasih sayang.
Ucapan ini juga merupakan permohonan maaf Nabi Harun as kerana terlambat memberitahu tentang kesesatan kaumnya kepada Nabi Musa as. Hal ini kerana sekiranya baginda menyusul dan memberitahu tentang kesesatan kaumnya kepada Nabi Musa as, akan berlaku perpecahan kaum dan menjadikan dirinya sebagai orang yang tidak memegang amanah.
Ayat 95
قَالَ فَمَا خَطْبُكَ يَـٰسَـٰمِرِىُّ
Dia (Musa) berkata, “Apakah yang mendorongmu (berbuat demikian) wahai Samiri?”
Kemudian Nabi Musa as mengherdik Samiri dengan bertanya mengapa dia melakukan hal yang sedemikian.
Menurut Muhammad Ibnu Ishak, daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan bahawa Samiri adalah seorang penduduk Bajarma, berasal daripada kaum yang menyembah lembu. Dalam dirinya telah tertanam kecintaan terhadap penyembahan lembu. Nama asalnya Musa bin Zhufar dan dia menampakkan keislamannya bersama Bani Israil.
Manakala Qatadah pula mengatakan Samiri adalah seorang tokoh di kalangan Bani Israil daripada kabilah Samirah. Namun musuh Allah Swt ini menjadi munafik setelah dia selamat menyeberang laut bersama dengan Nabi Musa as. Ketika Bani Israil melintasi satu kaum bertubuh besar yang sedang menyembah berhala-berhala, mereka (Bani Israil) meminta agar dibuatkan berhala untuk mereka juga seperti dalam firman-Nya:
“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang laut itu, lalu setelah mereka sampai kepada suatu kaum yang tetap menyembah berhala mereka, Bani lsrail berkata, ‘Wahai Musa, buatlah untuk kami sebuah tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan (berhala).’ Musa menjawab, ‘Sesungguh-nya kamu ini adalah kaum yang jahil (tidak mengetahui sifat-sifat Allah).’”
Al-A’raf 7:138
Samiri memanfaatkan kesempatan tersebut. Dia mengetahui bahawa Bani Israil mempunyai kecenderungan kepada penyembahan patung lembu maka dia pun membuat patung tersebut.
Ayat 96
قَالَ بَصُرْتُ بِمَا لَمْ يَبْصُرُوا۟ بِهِۦ فَقَبَضْتُ قَبْضَةً مِّنْ أَثَرِ ٱلرَّسُولِ فَنَبَذْتُهَا وَكَذَٰلِكَ سَوَّلَتْ لِى نَفْسِى
Dia (Samiri) menjawab, “Aku mengetahui sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya, maka aku ambil segenggam (tanah daripada) jejak Rasul, lalu aku melemparkannya (ke dalam api itu), demikianlah nafsuku memujukku.”
Samiri mengatakan bahawa dia melihat apa yang mereka tidak melihat iaitu dia melihat Jibril as datang dengan menunggang kuda untuk menghancurkan Firaun. Lalu dia mengambil segenggam tanah daripada bekas pijakan kuda tersebut dan bekas pijakan kuda yang ditunggangi Jibril as tersebut apabila mengenai benda mati maka akan menjadi hidup. Lalu dia masukkan tanah tersebut ke dalam lelehan perhiasan yang dibentuk menjadi patung anak lembu.
Mujahid mengatakan segenggam bermaksud sepenuh tapak tangan yang diambil daripada bekas jejak tapak kaki kuda Jibril as. Samiri melemparkan apa yang ada di tangannya kepada perhiasan Bani Israil, lalu terbentuklah patung anak lembu yang bertubuh dan memiliki suara daripada hembusan angin di dalamnya.
Samiri membuat patung tersebut untuk dijadikan sebagai tuhan mereka setelah dia melihat Bani Israil meminta daripada Nabi Musa as untuk membuat patung, seperti tuhan-tuhan orang-orang Mesir, para penyembah berhala. Samiri mengatakan bahawa jiwanya membisikkannya agar melakukan perbuatan tersebut dan nafsunya menghiasi hal tersebut.
Ayat 97
قَالَ فَٱذْهَبْ فَإِنَّ لَكَ فِى ٱلْحَيَوٰةِ أَن تَقُولَ لَا مِسَاسَ ۖ وَإِنَّ لَكَ مَوْعِدًا لَّن تُخْلَفَهُۥ ۖ وَٱنظُرْ إِلَىٰٓ إِلَـٰهِكَ ٱلَّذِى ظَلْتَ عَلَيْهِ عَاكِفًا ۖ لَّنُحَرِّقَنَّهُۥ ثُمَّ لَنَنسِفَنَّهُۥ فِى ٱلْيَمِّ نَسْفًا
Dia (Musa) berkata, “Pergilah kamu! Maka sesungguhnya dalam kehidupan (dunia) kamu (hanya dapat) mengatakan, ‘Janganlah menyentuh (aku).’ Dan kamu pasti mendapat (hukuman) yang telah dijanjikan (di akhirat) yang tidak dapat kamu hindari, dan lihatlah sembahanmu itu yang kamu tetap menyembahnya. Kami pasti akan membakarnya, kemudian sungguh kami akan menghamburkannya (abunya) ke dalam laut (berserakan).
Apabila mendengar jawapan Samiri itu, Nabi Musa as menjadi semakin marah. Baginda menyuruh Samiri pergi jauh memencilkan diri daripada Bani Israil sebagai hukuman di dunia, sehingga tidak ada yang mendekatinya, bahkan jika ada orang yang mendekatinya, dia (Samiri) akan berkata, “Janganlah engkau menyentuhku dan mendekat kepadaku.” Adapun sebagai hukuman di akhirat, dia akan ditempatkan di dalam neraka.
Qatadah mengatakan bahawa Nabi Musa as membakar patung tersebut dan membuang abunya ke laut. Ini merupakan sikap tegas Nabi Musa as kerana tuhan palsu buatan Samiri dan orang-orang yang mengikutinya mesti dibersihkan sehingga tidak ada yang tersisa kesan-kesannya sama sekali demi menjaga tauhid dan penyembahan kepada Allah Ta’ala semata dengan membasmi kemusyrikan.
Ayat 98
إِنَّمَآ إِلَـٰهُكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ وَسِعَ كُلَّ شَىْءٍ عِلْمًا
Sungguh, Ilahmu hanyalah Allah, yang tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) selain Dia. Pengetahuan-Nya meliputi segala sesuatu.”
Kemudian Nabi Musa as melanjutkan perkataannya dengan mengatakan, patung anak lembu itu bukanlah Ilah mereka. Sesungguhnya Ilah mereka adalah Allah Swt dan tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan sebenarnya kecuali Dia sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Ilah (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”
Taha 20:14
Allah Swt Maha Mengetahui segala sesuatu dan semuanya berada dalam ilmu-Nya. Firman-firman-Nya:
“……….dan ilmu Allah benar-benar meliputi segala sesuatu.”
At-Talaq 65:12
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri. Dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).”
Al-An’am 6:59
Oleh itu, sesungguhnya penyembahan hanyalah layak kepada Allah Swt kerana semua makhluk sangat memerlukan-Nya. Ini merupakan risalah semua para nabi.