Surah 20: Taha (80 – 82)

Nikmat yang Dikurniakan kepada Bani Israil

Surah 20: Taha (80 – 82)


Ayat 80

يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ قَدْ أَنجَيْنَـٰكُم مِّنْ عَدُوِّكُمْ وَوَٰعَدْنَـٰكُمْ جَانِبَ ٱلطُّورِ ٱلْأَيْمَنَ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكُمُ ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ

Wahai Bani Israil! Sungguh, Kami telah menyelamatkan kamu daripada musuhmu, dan Kami telah mengadakan perjanjian dengan kamu (untuk bermunajat) di sebelah kanan gunung itu (gunung Sinai) dan Kami telah menurunkan kepada kamu manna dan salwa.

Allah Swt menyebutkan tiga nikmat-Nya yang besar yang dikurniakan kepada Bani Israil:

⑴  Nikmat keselamatan. Dia menyelamatkan mereka daripada Firaun dan menenangkan hati mereka kerana telah bebas daripada Firaun serta dapat menyaksikan tenggelamnya Firaun dan tentera-tenteranya seperti firman-Nya:

“Dan (ingatlah) ketika Kami membelah laut untukmu, sehingga kamu dapat Kami selamatkan dan Kami tenggelamkan (Firaun) dan pengikut-pengikut Firaun sedang kamu menyaksikan.”

Al-Baqarah 2:50

Daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, “Ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, baginda mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Setelah baginda bertanya kepada kaum Yahudi, mereka menjawab, “Ini adalah hari ketika Allah memenangkan Musa terhadap Firaun.” Baginda kemudian bersabda:

“Kita lebih utama terhadap Musa, maka berpuasalah pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram).”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

⑵  Nikmat keagamaan berpandukan kitab Taurat. Setelah kebinasaan Firaun, Allah Ta’ala mengadakan perjanjian dengan Nabi Musa as untuk bermunajat di sebelah kanan gunung. Ketika itulah Dia berbicara secara terus dengannya. Nabi Musa as memohon agar dapat melihat-Nya dan di situlah Dia mengurniakannya Taurat.

⑶  Nikmat diberikan rezeki berupa makanan. Dia menurunkan makanan iaitu manna dan salwa. Kisah Manna dan salwa telah pun diceritakan dahulu dalam huraian Surah Al-Baqarah. Manna adalah sejenis manisan yang diturunkan dari langit dan salwa adalah sejenis burung yang jatuh kepada mereka sebagai tanda kasih sayang dan rahmat serta kebaikan daripada Allah Ta’ala kepada mereka. Mereka perlu mengambil manna dan salwa ini sekadar cukup untuk keperluan sehingga keesokan hari. Oleh sebab itu, Dia berfirman sebagaimana dalam ayat seterusnya.

Ayat 81

كُلُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقْنَـٰكُمْ وَلَا تَطْغَوْا۟ فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِى ۖ وَمَن يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِى فَقَدْ هَوَىٰ

Makanlah daripada rezeki yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu, dan janganlah melampaui batas, yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Sesiapa ditimpa kemurkaan-Ku maka sungguh, binasalah dia.

Allah Ta’ala memerintahkan mereka makan daripada rezeki yang Dia berikan dan tidak mengambilnya secara berlebihan daripada yang diperlukan serta tidak menentang-Nya sehingga menyebabkan kemurkaan-Nya.

Ayat 82

وَإِنِّى لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا ثُمَّ ٱهْتَدَىٰ

Dan sungguh, Aku Maha Pengampun bagi yang bertaubat, beriman dan berbuat kebajikan, kemudian tetap (di jalan yang benar) dalam petunjuk.

Allah Ta’ala akan mengampuni semua dosa. Ini termasuk dosa daripada kalangan Bani Israil yang menyembah patung anak lembu sekiranya mereka bertaubat.

‘Ali bin Abi Talhah menyatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra maksud, “Kemudian tetap (di jalan yang benar) dalam petunjuk,” ialah kemudian dia tidak ragu-ragu manakala Qatadah pula menyatakan maksudnya ialah sentiasa dalam Islam sehingga mati.