Kebinasaan Firaun
Surah 20: Taha (77 – 79)
Ayat 77
وَلَقَدْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِى فَٱضْرِبْ لَهُمْ طَرِيقًا فِى ٱلْبَحْرِ يَبَسًا لَّا تَخَـٰفُ دَرَكًا وَلَا تَخْشَىٰ
Dan sungguh telah Kami wahyukan kepada Musa, “Pergilah kamu dengan hamba-hamba-Ku (Bani Israil) pada malam hari, maka pukullah (buatlah) untuk mereka jalan yang kering di laut itu, (kamu) tidak perlu takut akan dikejar dan tidak perlu khuatir (akan tenggelam).”
Ayat 78
فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ بِجُنُودِهِۦ فَغَشِيَهُم مِّنَ ٱلْيَمِّ مَا غَشِيَهُمْ
Kemudian Firaun dengan bala tenteranya mengejar mereka, tetapi mereka digulung ombak laut yang menenggelamkan mereka.
Allah Swt menyatakan Firaun enggan melepaskan Bani Israil. Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as membawa pengikut-pengikutnya pergi meninggalkan Mesir pada waktu malam agar tidak ditangkap oleh Firaun.
Kemudian apabila Firaun menyedari tidak ada seorang pun daripada kalangan Bani Israil berada di Mesir, Firaun pun mengumpulkan bala tenteranya dan mengejar Bani Israil sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Maka Firaun dan bala tenteranya dapat menyusuli mereka pada waktu matahari terbit.”
Asy-Syu’ara’ 26:60
Nabi Musa as berserta Bani Israil melarikan diri hingga bertemu laut manakala Firaun dan bala tenteranya sudah berada di belakang mengejar mereka. Ini sebagaimana firman Allah Swt:
“Maka ketika kedua-dua kumpulan itu saling melihat, berkatalah pengikut Musa, ‘Kita benar-benar akan dikejar.’ Dia (Musa) menjawab, ‘Sekali-kali tidak akan (dikejar), sesungguhnya Rabbku bersamaku. Dia akan memberi petunjuk kepadaku.’”
Asy-Syu’ara’ 26:61-62
Pada saat itulah, Allah Swt mewahyukan kepada Nabi Musa as supaya memukul laut dengan tongkatnya. Dia juga menyatakan baginda dan pengikutnya tidak perlu khuatir akan tenggelam dalam laut. Lalu baginda pun melakukannya dan laut terbelah menjadi jalan buat mereka melarikan diri.
Manakala Firaun memerintahkan dan bala tenteranya masuk ke jalan yang ada di dalam laut tersebut. Ketika kesemua tentera itu termasuk Firaun berada di jalan dalam laut itu, lalu Allah Ta’ala menenggelam mereka semua ke dalam laut tersebut.
Ayat 79
وَأَضَلَّ فِرْعَوْنُ قَوْمَهُۥ وَمَا هَدَىٰ
Dan Firaun telah menyesatkan kaumnya dan tidak memberi petunjuk.
Firaun telah menyesatkan kaumnya semasa berada di dunia. Kelak di akhirat dia akan mengetuai mereka ke neraka sebagaimana firman Allah Swt:
“Dia (Firaun) berjalan di hadapan kaumnya pada Hari Kiamat, lalu membawa mereka masuk ke dalam neraka. Neraka itu seburuk-buruk tempat yang dimasuki.”
Hud 11:98