Pertandingan Sihir
Surah 20: Taha (60 – 76)
Ayat 60
فَتَوَلَّىٰ فِرْعَوْنُ فَجَمَعَ كَيْدَهُۥ ثُمَّ أَتَىٰ
Maka Firaun meninggalkan (tempat itu), lalu mengatur tipu dayanya, kemudian dia datang.
Setelah Firaun dan Nabi Musa as bersetuju untuk berkumpul seperti yang dinyatakan dalam ayat yang lalu, Firaun bersegera untuk mengumpulkan ahli-ahli sihir dari pelbagai kawasan dalam kerajaannya seperti dalam firman Allah Swt:
“Dan Firaun berkata (kepada pembesar kaumnya), ‘Datangkanlah kepadaku semua ahli sihir yang ulung!’”
Yunus 10:79
Apabila tiba hari yang ditetapkan, semua orang berkumpul di hadapan Firaun. Firaun duduk di atas takhtanya manakala para pembesar kerajaan serta rakyatnya berdiri berbaris di sebelah kiri dan kanannya. Nabi Musa as dan Nabi Harun as pula berdiri berhadapan dengan mereka semua.
Para ahli sihir telah bersedia untuk menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Firaun. Ini kerana mereka mengharapkan imbuhan daripadanya seperti yang dinyatakan dalam firman Allah Swt:
“…………Mereka berkata, ‘Apakah kami benar-benar akan mendapat imbalan yang besar jika kami yang menang?’ Dia (Firaun) menjawab, ‘Ya, dan bahkan kamu pasti akan mendapat kedudukan yang dekat (kepadaku).’”
Asy-Syu’ara’ 26:41-42
Ayat 61
قَالَ لَهُم مُّوسَىٰ وَيْلَكُمْ لَا تَفْتَرُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا فَيُسْحِتَكُم بِعَذَابٍ ۖ وَقَدْ خَابَ مَنِ ٱفْتَرَىٰ
Berkata (Musa) kepada mereka, “Celakalah kamu, janganlah kamu mengada-adakan pendustaan terhadap Allah, maka Dia membinasakan kamu dengan seksaan.” Dan sesungguhnya telah rugi orang yang mengada-adakan pendustaan.
Ayat 62
فَتَنَـٰزَعُوٓا۟ أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّجْوَىٰ
Maka mereka berbantah-bantahan tentang urusan di antara mereka, dan mereka merahsiakan percakapan (mereka).
Ayat 63
قَالُوٓا۟ إِنْ هَـٰذَٰنِ لَسَـٰحِرَٰنِ يُرِيدَانِ أَن يُخْرِجَاكُم مِّنْ أَرْضِكُم بِسِحْرِهِمَا وَيَذْهَبَا بِطَرِيقَتِكُمُ ٱلْمُثْلَىٰ
Mereka berkata, “Sesungguhnya dua orang ini adalah benar-benar ahli sihir yang hendak mengusir kamu dari negeri kamu dengan sihirnya dan hendak melenyapkan kedudukan kamu yang utama.
Kemudian Nabi Musa as mengumumkan kerasulannya dan mengingatkan para ahli sihir supaya tidak membuat tipu daya dengan menghasilkan ilusi kepada orang ramai. Ini kerana perbuatan sihir mereka nampak seakan-akan benar-benar berlaku padahal tidak demikian. Ini adalah suatu pendustaan terhadap Allah Swt. Dia akan menghukum dan membinasakan mereka semua sehingga tidak ada yang tertinggal.
Mendengar ucapan Nabi Musa as itu, maka berlakulah pertelingkahan di antara para ahli sihir. Ada yang mengatakan bahawa perkataan Nabi Musa as itu bukanlah daripada seorang ahli sihir tetapi perkataan seorang Nabi. Manakala sebahagian lain mengatakan baginda adalah ahli sihir.
Ada sebahagian daripada mereka berbisik kepada sebahagian yang lain, dengan mengatakan bahawa Nabi Musa as dan Nabi Harun as adalah penyihir yang ulung dan memiliki pengetahuan mendalam tentang ilmu sihir. Pada hari ini kedua-dua mereka hendak mengalahkan para ahli sihir dan juga akan menguasai umat manusia. Kalangan awam akan mengikuti mereka berdua. Mereka akan memerangi Firaun dan tentera-tenteranya lalu mereka akan menang dan akan mengeluarkan Firaun dan pengikut-pengikutnya dari negeri Mesir dan mereka akan mengambil alih pemerintahan.
Ayat 64
فَأَجْمِعُوا۟ كَيْدَكُمْ ثُمَّ ٱئْتُوا۟ صَفًّا ۚ وَقَدْ أَفْلَحَ ٱلْيَوْمَ مَنِ ٱسْتَعْلَىٰ
Maka kumpulkanlah segala tipu daya (sihir) kamu, kemudian datanglah dengan berbaris, dan sungguh beruntung orang yang menang pada hari ini.”
‘Abdurrahman bin Zaid mengatakan ahli-ahli sihir berkumpul dalam satu barisan dan melemparkan apa yang ada dalam tangan mereka secara serentak agar pandangan menjadi terpesona dan dapat mengalahkan Nabi Musa as dan Nabi Harun as.
Maksud ayat, “Sungguh beruntung orang yang menang pada hari ini,” ialah jika ahli sihir menang, mereka akan memperoleh pemberian yang melimpah daripada Firaun dan jika Nabi Musa as dan Nabi Harun as menang, mereka berdua akan memperoleh tampuk kepimpinan.
Ayat 65
قَالُوا۟ يَـٰمُوسَىٰٓ إِمَّآ أَن تُلْقِىَ وَإِمَّآ أَن نَّكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَىٰ
Mereka berkata, “Wahai Musa (pilihlah), apakah kamu yang melemparkan (dahulu) atau kamikah orang yang mula-mula melemparkan?”
Ayat 66
قَالَ بَلْ أَلْقُوا۟ ۖ فَإِذَا حِبَالُهُمْ وَعِصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِن سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَىٰ
Dia (Musa) berkata, “Silakan kamu sekalian melemparkan!” Maka tiba-tiba tali-tali dan tongkat-tongkat mereka, terbayang olehnya (Musa) seakan-akan benda-benda merayap dengan cepat, disebabkan sihir mereka.
Ketika pertandingan akan dimulakan, kumpulan ahli-ahli sihir dan kumpulan Nabi Musa as pun bertemu. Para penyihir memberi pilihan kepada Nabi Musa as dengan bertanya tentang siapa yang akan memulakan pertandingan itu. Mendengarkan pertanyaan itu baginda berpendapat biarlah para penyihir itu yang memulakannya dengan melemparkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka. Ini supaya orang ramai dapat melihat dengan jelas keadaan mereka dan juga sihir yang mereka lakukan.
Lalu para ahli sihir Firaun melemparkan tali-tali dan tongkat-tongkat masing-masing sambil mengatakan sebagaimana firman Allah Swt:
“Lalu mereka melemparkan tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata, ‘Demi kekuasaan Firaun, pasti kamilah yang akan menang.’”
Asy-Syu’ara’ 26:44
Apabila para penyihir telah memulakan permainan sihir mereka maka kelihatan oleh Nabi Musa as tali-tali dan tongkat-tongkat yang dilemparkan itu seolah-olah bergerak dengan cepat disebabkan oleh sihir mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah Swt:
“……………….Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang ramai itu berasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar.”
Al-A’raf 7:116
Jumlah para penyihir tersangat ramai. Masing-masing melemparkan tali-tali dan tongkat-tongkat yang berubah menjadi ular yang banyak. Ini menyebabkan tanah lapang itu penuh dengan ular-ular yang saling bertindih.
Ayat 67
فَأَوْجَسَ فِى نَفْسِهِۦ خِيفَةً مُّوسَىٰ
Maka Musa berasa takut dalam hatinya.
Ayat 68
قُلْنَا لَا تَخَفْ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْأَعْلَىٰ
Kami berfirman, “Janganlah kamu takut, sesungguhnya kamulah yang unggul (menang).
Ayat 69
وَأَلْقِ مَا فِى يَمِينِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُوٓا۟ ۖ إِنَّمَا صَنَعُوا۟ كَيْدُ سَـٰحِرٍ ۖ وَلَا يُفْلِحُ ٱلسَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ
Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja dia berada.
Nabi Musa as khuatir orang ramai akan terpengaruh dan tertipu oleh sihir mereka. Lalu pada saat itu, Allah Ta’ala mewahyukan kepada baginda agar melemparkan tongkat yang ada di tangan kanannya.
Tongkat baginda bertukar menjadi ular yang sangat besar dan mempunyai kaki, leher, kepala dan taring. Lalu ular itu mengejar ular-ular para ahli sihir dan menelan kesemua ular para ahli sihir daripada tali-tali dan tongkat-tongkat mereka yang mereka gunakan untuk menyihir mata orang ramai.
Orang ramai termasuk para ahli sihir melihat kejadian tersebut dengan jelas. Apa yang berlaku pada waktu dhuha itu merupakan mukjizat yang luar biasa, membuktikan dengan jelas kebenaran dan memperlihatkan kebatilan sihir para penyihir. Oleh itu, jelaslah bukti kekuasaan Allah Swt. Kebenaran telah menang dan kebatilan telah sia-sia.
Ayat 70
فَأُلْقِىَ ٱلسَّحَرَةُ سُجَّدًا قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِرَبِّ هَـٰرُونَ وَمُوسَىٰ
Lalu para penyihir itu tersungkur sujud, seraya berkata, “Kami telah percaya kepada Rabb Harun dan Musa.”
Ketika para penyihir menyaksikan hal tersebut dengan mata kepala mereka sendiri, sedangkan mereka mempunyai ilmu sihir yang tinggi, maka mereka mengetahui dengan yakin bahawa apa yang dilakukan oleh Nabi Musa as itu bukanlah termasuk dalam kategori sihir dan tipu muslihat pandangan mata. Ini adalah di luar kemampuan manusia dan hal tersebut adalah kebenaran yang tidak dapat diragukan lagi.
Para ahli sihir yakin bahawa tiada seorang pun yang mampu melakukan demikian kecuali mendapat izin daripada Rabb yang bila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya mengatakan, “Jadilah!” lalu terjadilah sesuatu itu.
Maka pada saat itu juga para ahli sihir tersungkur sujud kepada Allah Ta’ala dan menyatakan bahawa mereka beriman kepada Rabb semesta alam, Rabb Nabi Musa as dan Rabb Nabi Harun as.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan bahawa para ahli sihir berjumlah tujuh puluh orang. Pada pagi hari, mereka adalah ahli sihir dan pada waktu petang mereka adalah para syuhada. Ibnu Abi Hatim juga meriwayatkan daripada Al-Auza’i, dia mengatakan bahawa ketika para ahli sihir tersungkur sujud, diangkatlah bagi mereka syurga hingga mereka dapat melihatnya.
Ayat 71
قَالَ ءَامَنتُمْ لَهُۥ قَبْلَ أَنْ ءَاذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّهُۥ لَكَبِيرُكُمُ ٱلَّذِى عَلَّمَكُمُ ٱلسِّحْرَ ۖ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَـٰفٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِى جُذُوعِ ٱلنَّخْلِ وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَآ أَشَدُّ عَذَابًا وَأَبْقَىٰ
Dia (Firaun) berkata, “Apakah kamu telah beriman kepadanya (Musa) sebelum aku memberi izin kepadamu. Sesungguhnya dia itu pemimpin kamu yang mengajarkan sihir kepada kamu. Maka sungguh akan aku potong tangan dan kaki kamu secara bersilang, dan sungguh akan aku salib kamu pada pangkal pohon kurma dan sungguh kamu pasti akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal seksaannya.”
Allah Swt menyatakan walaupun Firaun melihat mukjizat yang menakjubkan dan menyaksikan sendiri besarnya kekuasaan-Nya, manakala orang-orang yang diharapkan dapat menolongnya juga telah beriman di hadapan orang ramai, Firaun masih tetap dengan kesombongan dan pendustaannya. Firaun berdusta dengan mengatakan bahawa para penyihir bersepakat dengan Nabi Musa as untuk menjatuhkannya.
Firaun menakut-nakutkan para penyihir dengan ancaman bahawa tangan dan kaki mereka akan dipotong secara bersilang, kemudian disalib pada pangkal pohon kurma sebagai balasan terhadap keimanan mereka kepada agama yang dibawa oleh Nabi Musa as.
Ayat 72
قَالُوا۟ لَن نُّؤْثِرَكَ عَلَىٰ مَا جَآءَنَا مِنَ ٱلْبَيِّنَـٰتِ وَٱلَّذِى فَطَرَنَا ۖ فَٱقْضِ مَآ أَنتَ قَاضٍ ۖ إِنَّمَا تَقْضِى هَـٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَآ
Mereka (para penyihir) berkata, “Kami sekali-kali tidak mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami dan daripada Rabb yang menciptakan kami, maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini sahaja.
Para penyihir tidak menghiraukan ancaman Firaun dan membiarkannya melakukan sesuka hatinya kerana mereka akan tetap berpegang teguh dengan petunjuk dan keyakinan yang telah mereka peroleh iaitu Allah-lah yang mengadakan dan menciptakan mereka. Dia-lah yang memberi bentuk kejadian manusia daripada tanah dan Dia-lah yang berhak untuk disembah dan ditaati, bukannya Firaun.
Ayat 73
إِنَّآ ءَامَنَّا بِرَبِّنَا لِيَغْفِرَ لَنَا خَطَـٰيَـٰنَا وَمَآ أَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ ٱلسِّحْرِ ۗ وَٱللَّهُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰٓ
Sesungguhnya kami telah beriman kepada Rabb kami, agar Dia mengampuni kesalahan-kesalahan kami dan sihir yang telah kamu paksakan kepada kami melakukannya. Dan Allah lebih baik (pahala-Nya) dan lebih kekal (azab-Nya).”
Seterusnya para penyihir itu membuat pengakuan di hadapan Firaun bahawa mereka telah beriman kepada Allah Swt dan mereka mengharapkan keampunan daripada-Nya terhadap perbuatan sihir yang mereka lakukan atas paksaan Firaun.
Para penyihir itu juga mengaku bahawa mereka hanya mengharapkan pahala daripada Allah Swt yang lebih baik dan lebih kekal dibandingkan dengan apa yang dijanjikan oleh Firaun.
Ayat 74
إِنَّهُۥ مَن يَأْتِ رَبَّهُۥ مُجْرِمًا فَإِنَّ لَهُۥ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَىٰ
Sesungguhnya barangsiapa datang kepada Rabbnya dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya baginya neraka Jahannam. Dia tidak mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup.
Para penyihir juga mengingatkan Firaun terhadap kemurkaan dan seksaan Allah Swt yang kekal abadi pada Hari Kiamat sekiranya dia masih dalam keadaan berdosa. Allah Swt juga berfirman dalam ayat yang lain:
“Dan orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya (peringatan), (iaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (neraka), kemudian di sana dia tidak mati dan tidak (pula) hidup.”
Al-A’la 87:11-13
Ayat 75
وَمَن يَأْتِهِۦ مُؤْمِنًا قَدْ عَمِلَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلدَّرَجَـٰتُ ٱلْعُلَىٰ
Tetapi sesiapa datang kepada-Nya dalam keadaan beriman, dan telah mengerjakan kebajikan, maka mereka itulah orang-orang yang memperoleh darjat yang tinggi (mulia).
Ayat ini pula merupakan dorongan oleh para penyihir kepada Firaun agar dia beriman sepenuhnya kepada Allah Swt dan mengharapkan pahala pada hari pembalasan serta memperoleh darjat yang tinggi dan berkekalan di sisi-Nya. Ini kerana sesiapa yang bertemu dengan Rabbnya dalam keadaan beriman dan beramal soleh akan ditempatkan dalam syurga yang tinggi tingkatannya.
Daripada ‘Ubadah bin As-Samit, Rasulullah saw bersabda:
“Syurga itu seratus tingkat. Antara setiap tingkat jaraknya seperti antara langit dan bumi. Sedangkan Firdaus adalah yang paling tinggi tingkatannya. Darinyalah empat sungai yang mengalir, dan ‘Arasy (singgahsana Allah) berada di atasnya. Oleh itu, jika kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah syurga Firdaus kepada-Nya.”
(HR. Ahmad dan At-Tirmidzi)
Dalam kitab As-Sahihain disebutkan Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya penghuni syurga yang berada di ‘Illiyyin benar-benar dapat melihat orang-orang yang berada di atasnya, sebagaimana kamu melihat bintang-bintang melintas di ufuk langit kerana adanya perbezaan keutamaan di antara mereka.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu tempat para Nabi?” Baginda menjawab, “Bukan, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, mereka adalah orang-orang yang beriman dan yang membenarkan para Rasul.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 76
جَنَّـٰتُ عَدْنٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَآءُ مَن تَزَكَّىٰ
(Iaitu) Syurga-syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah balasan bagi orang yang menyucikan diri.
Balasan kepada orang-orang yang beribadah hanya kepada Allah Swt tanpa menyekutukan-Nya dan mengikuti risalah yang dibawa oleh para Rasul ialah syurga. Mereka kekal di dalamnya.