Nabi Musa as Bertemu dengan Firaun
Surah 20: Taha (42 – 59)
Ayat 42
ٱذْهَبْ أَنتَ وَأَخُوكَ بِـَٔايَـٰتِى وَلَا تَنِيَا فِى ذِكْرِى
Pergilah engkau beserta saudaramu dengan membawa tanda-tanda (kekuasaan)-Ku, dan janganlah kamu berdua lalai mengingati-Ku.
Ayat 43
ٱذْهَبَآ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ
Pergilah kamu berdua kepada Firaun, kerana dia benar-benar telah melampaui batas.
Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as dan saudaranya Nabi Harun as menemui Firaun dan kaumnya dengan membawa pelbagai hujah, petunjuk dan mukjizat daripada-Nya.
‘Ali bin Abi Talhah daripada Ibnu ‘Abbas ra, menyatakan bahawa maksud ayat, “Dan janganlah kamu berdua lalai mengingati-Ku,” ialah mereka berdua tidak boleh lambat, manakala Mujahid juga daripada Ibnu ‘Abbas ra, menyatakan maksudnya ialah kedua-dua mereka tidak boleh bosan, lemah atau putus asa dalam mengingati Allah Swt.
Nabi Musa as dan Nabi Harun as diperintahkan untuk sentiasa mengingati Allah Swt pada saat berhadapan dengan Firaun agar dengan mengingati-Nya itu mereka diberikan pertolongan dan kekuatan yang dapat menghancurkan Firaun.
Firaun dikatakan melampaui batas kerana dia bertindak sesuka hati, sombong dan derhaka kepada Allah Ta’ala sehingga sampai tahap mendakwa dirinya sebagai tuhan seperti dalam firman-Nya:
“Maka dia (Firaun) mengumpulkan (pembesar-pembesarnya) lalu berseru memanggil kaumnya, (sambil) berkata, ‘Akulah Rabbmu yang paling tinggi.’”
An-Nazi’at 79:23-24
Ayat 44
فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut.
Pengajaran daripada ayat ini ialah walaupun Firaun berada pada kedudukan yang tinggi dan tahap kesombongan yang sangat melampau, Allah Ta’ala tetap memerintahkan Nabi Musa as dan Nabi Harun as berbicara kepadanya dengan santun dan lemah lembut agar lebih meresap ke dalam jiwa sebagaimana firman-Nya:
“Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik………”
An-Nahl 16:125
Ini bertujuan supaya Firaun akan insaf terhadap dosa-dosa yang dilakukan dan menjadi taat.
Ayat 45
قَالَا رَبَّنَآ إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفْرُطَ عَلَيْنَآ أَوْ أَن يَطْغَىٰ
Kedua-duanya berkata, “Wahai Rabb kami, sungguh, kami khuatir dia akan segera menyeksa kami atau akan bertambah melampaui batas.”
Ayat 46
قَالَ لَا تَخَافَآ ۖ إِنَّنِى مَعَكُمَآ أَسْمَعُ وَأَرَىٰ
Dia (Allah) berfirman, “Janganlah kamu berdua khuatir, sesungguhnya Aku bersama kamu berdua, Aku mendengar dan melihat.
Nabi Musa as dan Nabi Harun as khuatir Firaun akan segera menghukum mereka dengan sewenang-wenangnya. Oleh itu, mereka mengadu sambil memohon kepada Allah Ta’ala agar mereka berada dalam keselamatan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka berdua tidak perlu khuatir terhadap Firaun kerana Dia ada bersama-sama mereka. Dia mendengar pembicaraan antara mereka dengan Firaun, melihat mereka dan tidak ada perkara yang tersembunyi sedikit pun daripada-Nya.
Allah Ta’ala juga menegaskan bahawa nasib Firaun berada di tangan-Nya. Firaun tidak akan berbicara, bernafas dan tidak pula dapat berbuat apa-apa kecuali dengan izin dan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Ta’ala bersama-sama mereka berdua dalam penjagaan, pertolongan dan sokongan-Nya.
Ayat 47
فَأْتِيَاهُ فَقُولَآ إِنَّا رَسُولَا رَبِّكَ فَأَرْسِلْ مَعَنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَلَا تُعَذِّبْهُمْ ۖ قَدْ جِئْنَـٰكَ بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكَ ۖ وَٱلسَّلَـٰمُ عَلَىٰ مَنِ ٱتَّبَعَ ٱلْهُدَىٰٓ
Maka pergilah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah, “Sungguh, kami berdua adalah utusan Rabbmu, maka lepaskanlah Bani Israil bersama-sama kami dan janganlah engkau menyeksa mereka. Sungguh, kami datang kepadamu membawa bukti (atas kerasulan kami) daripada Rabbmu. Dan keselamatan itu dilimpahkan kepada orang yang mengikuti petunjuk.
Kemudian Nabi Musa as dan Nabi Harun as pergi menemui Firaun dengan membawa mukjizat, bukti dan tanda daripada Allah Ta’ala bahawa mereka diutuskan kepadanya. Mereka berdua diperintahkan agar menyatakan bahawa Firaun akan mendapat keselamatan daripada kemurkaan dan seksaan-Nya sekiranya dia mengikut petunjuk-Nya.
Ini juga berlaku ketika Rasulullah saw menulis surat kepada Heraclius pembesar Rom, baginda menyatakan keselamatan bagi orang yang mengikuti petunjuk. Pada permulaan surat tersebut, baginda bersabda:
“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Daripada Muhammad utusan Allah kepada Heraclius pembesar Rom. Keselamatan bagi orang yang mengikuti petunjuk. Ammaa ba’d. Sesungguhnya aku menyerumu kepada seruan Islam (syahadatain). Maka masuklah ke dalam Islam, nescaya kamu selamat, Allah pun akan memberikan balasan kepadamu dua kali.”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 48
إِنَّا قَدْ أُوحِىَ إِلَيْنَآ أَنَّ ٱلْعَذَابَ عَلَىٰ مَن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ
Sungguh, telah diwahyukan kepada kami bahawa seksaan itu (ditimpakan) pada siapa pun yang mendustakan (ajaran agama yang kami bawa) dan berpaling (tidak mempedulikannya).”
Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as dan Nabi Harun as menyatakan kepada Firaun bahawa azab hanya akan ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya dan tidak mahu mengesakan-Nya serta tidak mahu taat kepada-Nya. Firman-Nya:
“Maka adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sungguh, nerakalah tempat tinggalnya.”
An-Nazi’at 79:37-39
Ayat 49
قَالَ فَمَن رَّبُّكُمَا يَـٰمُوسَىٰ
Dia (Firaun) berkata, “Siapakah Rabbmu berdua, wahai Musa?”
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Firaun mengucapkan perkataan di atas kepada Nabi Musa as yang menunjukkan pengingkarannya terhadap-Nya sebagai Rabb yang mengurus dan memiliki segala-galanya.
Ayat 50
قَالَ رَبُّنَا ٱلَّذِىٓ أَعْطَىٰ كُلَّ شَىْءٍ خَلْقَهُۥ ثُمَّ هَدَىٰ
Dia (Musa) menjawab, “Rabb kami ialah (Rabb) yang telah memberikan bentuk kejadian kepada segala sesuatu, kemudian memberinya petunjuk.”
Sebahagian ulama tafsir mengatakan ayat di atas bermaksud Allah-lah yang menentukan kadar ketetapan bagi setiap makhluk dan memberi mereka petunjuk. Dia menetapkan amal, ajal dan rezeki. Semua makhluk berjalan atas ketetapan-Nya mengikut kebijaksanaan, ilmu dan keinginan-Nya serta tidak ada sesiapa pun yang mampu keluar daripada ketentuan-Nya. Ayat ini sama seperti firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Yang menentukan kadar masing-masing dan memberi petunjuk.”
Al-A’la 87:3
Ayat 51
قَالَ فَمَا بَالُ ٱلْقُرُونِ ٱلْأُولَىٰ
Dia (Firaun) berkata, “Jadi bagaimana keadaan umat-umat yang dahulu?”
Pendapat yang paling tepat tentang makna ayat di atas ialah setelah Nabi Musa as memberitahu bahawa Rabb yang mengutusnya ialah Allah Swt yang menetapkan segala sesuatu sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat sebelum ini, Firaun segera mengajukan pertanyaan sebagai bantahan tentang umat-umat terdahulu yang tidak menyembah Allah Swt, sedangkan telah diberikan petunjuk oleh-Nya.
Ayat 52
قَالَ عِلْمُهَا عِندَ رَبِّى فِى كِتَـٰبٍ ۖ لَّا يَضِلُّ رَبِّى وَلَا يَنسَى
Dia (Musa) menjawab, “Pengetahuan tentang itu ada pada Rabbku, di dalam sebuah kitab (Lauh Mahfuzh), Rabbku tidak akan salah ataupun lupa.”
Nabi Musa as menjawab pertanyaan Firaun dengan menyatakan meskipun mereka tidak menyembah Allah Ta’ala, namun pengetahuan tentang mereka itu ada pada sisi-Nya. Sesungguhnya hanya Dia Yang Maha Mengetahui dan segala perkara yang berkaitan dengan makhluk tercatat di dalam sebuah kitab iaitu Lauh Mahfuz. Allah Ta’ala tidak akan pernah salah ataupun lupa terhadap sesuatu apa pun yang terjadi di alam semesta ini. Oleh itu, baginda menyerahkan urusan masa lalu kepada Zat Yang Maha Mengetahui segala perkara ghaib.
Ayat 53
ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ مَهْدًا وَسَلَكَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّن نَّبَاتٍ شَتَّىٰ
Rabb yang telah menjadikan bumi sebagai hamparan dan menjadikan jalan-jalan di atasnya bagimu, dan yang menurunkan air (hujan) dari langit. Kemudian Kami tumbuhkan dengan (air hujan itu) beraneka jenis tumbuh-tumbuhan.
Ayat 54
كُلُوا۟ وَٱرْعَوْا۟ أَنْعَـٰمَكُمْ ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلنُّهَىٰ
Makanlah dan gembalakanlah binatang-binatang kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal.
Ayat 55
مِنْهَا خَلَقْنَـٰكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ
Daripadanya (tanah) itulah Kami menciptakan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada waktu yang lain.
Kemudian dalam ayat 53-55 ini Nabi Musa as menyebutkan tiga perkara yang merupakan dalil-dalil khusus bahawa tiada Tuhan selain Allah Ta’ala:
▪️ Allah-lah yang menjadikan bagi manusia bumi yang mudah untuk dimanfaatkan.
▪️ Dia juga mengadakan jalan-jalan yang banyak di atasnya bagi memudahkan manusia berjalan melaluinya dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
▪️ Dia menurunkan air hujan dari langit untuk kepentingan manusia dan juga binatang-binatang. Kemudian dengan air hujan itu Dia mengeluarkan pelbagai jenis tumbuhan yang berbeza-beza.
Oleh itu, Allah Ta’ala menyatakan segala tumbuh-tumbuhan itu bolehlah dimanfaatkan oleh manusia dan juga binatang-binatang gembalaan mereka.
Sesungguhnya pada hal-hal yang disebutkan itu benar-benar terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah Ta’ala dan tidak ada Ilah yang berhak diibadahi selain-Nya serta tidak ada Rabb yang mengatur alam ini selain-Nya.
Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia-lah yang menciptakan manusia daripada bumi atau tanah. Mereka akan dikembalikan ke dalam tanah setelah kematian dan akan dikeluarkan daripadanya untuk menghadapi proses perhitungan amal perbuatan dan pembalasan.
Ayat-ayat di atas merupakan lanjutan penerangan yang lengkap daripada Nabi Musa as tentang Allah Ta’ala kepada Firaun.
Ayat 56
وَلَقَدْ أَرَيْنَـٰهُ ءَايَـٰتِنَا كُلَّهَا فَكَذَّبَ وَأَبَىٰ
Dan sungguh, Kami telah perlihatkan kepadanya (Firaun) tanda-tanda (kebesaran) Kami semuanya, ternyata dia mendustakan dan enggan (menerima kebenaran).
Allah Ta’ala menyatakan, walaupun pelbagai hujjah, tanda dan petunjuk telah dihadapkan dan diperlihatkan kepada Firaun, namun Firaun tetap mendustakan dan enggan menerimanya kerana kekafiran dan pengingkarannya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongannya, padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Oleh itu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.”
An-Naml 27:14
Ayat 57
قَالَ أَجِئْتَنَا لِتُخْرِجَنَا مِنْ أَرْضِنَا بِسِحْرِكَ يَـٰمُوسَىٰ
Dia (Firaun) berkata, “Adakah kamu datang kepada kami untuk mengusir kami dari negeri kami dengan sihirmu, wahai Musa?
Allah Ta’ala menyebutkan tuduhan Firaun dan pendustaannya terhadap kerasulan Nabi Musa as. Firaun mengatakan selama ini Nabi Musa as meninggalkan Mesir kemudian datang semula untuk menghalau rakyatnya dari negeri mereka.
Firaun berkata demikian setelah diperlihatkan kepadanya tanda kerasulan Nabi Musa as yang terbesar iaitu tongkat baginda bertukar menjadi ular apabila dilemparkan. Begitu juga apabila baginda mengeluarkan tangannya daripada leher bajunya, tangannya memancarkan cahaya putih tanpa sebarang kecacatan.
Ayat 58
فَلَنَأْتِيَنَّكَ بِسِحْرٍ مِّثْلِهِۦ فَٱجْعَلْ بَيْنَنَا وَبَيْنَكَ مَوْعِدًا لَّا نُخْلِفُهُۥ نَحْنُ وَلَآ أَنتَ مَكَانًا سُوًى
Maka kami pun pasti akan mendatangkan sihir seperti itu kepadamu, maka buatlah suatu perjanjian untuk pertemuan antara kami dan kamu, yang kami tidak akan menyalahinya dan tidak (juga) kamu, di suatu tempat yang terbuka.”
Firaun menyatakan bahawa sihir Nabi Musa as itu pasti akan dibalas dengan sihir seperti itu juga. Oleh itu, Firaun mencadangkan agar diadakan pertemuan di suatu tempat tertentu dan pada waktu tertentu untuk mengadu kekuatan antara sihir Nabi Musa as dengan sihir pengikut-pengikutnya.
Ayat 59
قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ ٱلزِّينَةِ وَأَن يُحْشَرَ ٱلنَّاسُ ضُحًى
Dia (Musa) berkata, “(Perjanjian) waktu (untuk pertemuan kami dengan kamu itu) ialah pada hari raya dan hendaklah dikumpulkan manusia pada pagi hari (waktu dhuha).”
Nabi Musa as menetapkan agar pertemuan tersebut dilakukan pada Hari Raya dan pada waktu dhuha. Ini kerana pada hari perayaan, mereka semua dapat berkumpul. Waktu dhuha pula merupakan permulaan waktu siang yang terang agar mereka dapat menyaksikan dengan jelas kekuasaan Allah Ta’ala terhadap apa sahaja yang dikehendaki-Nya.