Nabi Musa as Diselamatkan ketika Bayi dan dilantik sebagai Rasul
Surah 20: Taha (38 – 41)
Ayat 38
إِذْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّكَ مَا يُوحَىٰٓ
(Iaitu) Ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu yang diilhamkan.
Ayat 39
أَنِ ٱقْذِفِيهِ فِى ٱلتَّابُوتِ فَٱقْذِفِيهِ فِى ٱلْيَمِّ فَلْيُلْقِهِ ٱلْيَمُّ بِٱلسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِّى وَعَدُوٌّ لَّهُۥ ۚ وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِّنِّى وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِىٓ
(Iaitu), “Letakkanlah dia (Musa) di dalam peti, kemudian hanyutkanlah dia ke sungai (Nil), maka biarlah (arus) sungai itu membawanya ke tepi, supaya dia akan diambil oleh (Firaun) musuh-Ku dan musuhnya. Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripada-Ku dan agar engkau diasuh di bawah pengawasan-Ku.
Setelah Allah Ta’ala mengabulkan doa Nabi Musa as dalam ayat yang terdahulu, seterusnya Dia mengingatkan kembali nikmat-nikmat yang telah diberikan-Nya kepada baginda sebelum itu.
Ayat 38-39 ini menceritakan kisah Nabi Musa as ketika masih bayi dan bagaimana ibunya cuba menyelamatkannya daripada pembunuhan yang hendak dilakukan oleh Firaun dan angkatan tenteranya. Ketika itu Firaun memerintahkan semua bayi lelaki daripada keturunan Bani Israil dibunuh.
Ibu Nabi Musa as telah diilhamkan oleh Allah Swt supaya meletakkan baginda dalam peti dan menghanyutkannya ke Sungai Nil. Saat itu hatinya menjadi gelisah dan sedih, sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya:
“Dan hati ibu Musa menjadi kosong. Sungguh hampir sahaja dia menyatakannya (rahsia tentang Musa), seandainya tidak Kami teguhkan imannya.”
Al-Qasas 28:10
Peti tersebut dihanyutkan oleh arus sungai sehingga melintasi istana Firaun dan diambil oleh keluarganya, sebagaimana firman-Nya:
“Maka dia dipungut oleh keluarga Firaun yang akibatnya dia (kelak) menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka…………..”
Al-Qasas 28:8
Hal ini telah ditakdirkan oleh Allah Swt. Dia Maha Berkuasa menjadikan Nabi Musa as tidak diasuh oleh sesiapa kecuali Firaun. Baginda dipelihara, diasuh dan mendapat kasih sayang daripada Firaun dan isterinya tetapi di bawah pengawasan-Nya.
Ayat ini juga menunjukkan antara perbuatan, rencana dan kehendak Allah Ta’ala yang luar biasa adalah Dia menyelamatkan Nabi Musa as yang masih bayi daripada kekejaman Firaun. Ketika masih kecil, baginda diasuh dalam rumah Firaun, namun baginda menjadi penyebab kebinasaan Firaun dan ditenggelamkan ke dalam laut bersama-sama kaumnya dan para tenteranya.
Ayat 40
إِذْ تَمْشِىٓ أُخْتُكَ فَتَقُولُ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ مَن يَكْفُلُهُۥ ۖ فَرَجَعْنَـٰكَ إِلَىٰٓ أُمِّكَ كَىْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ ۚ وَقَتَلْتَ نَفْسًا فَنَجَّيْنَـٰكَ مِنَ ٱلْغَمِّ وَفَتَنَّـٰكَ فُتُونًا ۚ فَلَبِثْتَ سِنِينَ فِىٓ أَهْلِ مَدْيَنَ ثُمَّ جِئْتَ عَلَىٰ قَدَرٍ يَـٰمُوسَىٰ
(Iaitu) Ketika saudaramu yang perempuan berjalan, lalu dia berkata (kepada keluarga Firaun), “Bolehkah saya tunjukkan kepadamu orang yang akan memeliharanya?” Maka Kami mengembalikanmu kepada ibumu, agar senang hatinya dan tidak bersedih hati. Dan engkau pernah membunuh seseorang, lalu Kami selamatkan engkau daripada kesulitan (yang besar) dan Kami telah mencubamu dengan beberapa cubaan (yang berat), lalu engkau tinggal beberapa tahun di antara penduduk Madyan, kemudian engkau datang (tiba atasmu) ketentuan (untuk diangkat menjadi Rasul, wahai Musa).
Ketika Nabi Musa as sudah berada di tengah-tengah keluarga Firaun, mereka memanggil beberapa orang wanita menyusui baginda tetapi baginda enggan menyusu.
Lalu datanglah saudara perempuan Nabi Musa as yang berpura-pura tidak mengenali baginda memberikan cadangan untuk memperkenalkan seseorang yang boleh menyusukan baginda dengan diberi upah kepadanya seperti dalam firman-Nya:
“Mahukah aku tunjukkan kepadamu, keluarga yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?”
Al-Qasas 28:12
Setelah Firaun dan keluarganya bersetuju dengan cadangan saudara perempuan Nabi Musa as, dia pun membawa baginda yang disertai oleh keluarga Firaun untuk menemui ibunya. Apabila berjumpa dengan ibunya, baginda segera menyusu. Hal ini membuatkan keluarga Firaun berasa gembira dan mereka memberi upah atas penyusuan tersebut. Ibu baginda juga berasa gembira dan tenteram setelah mendapatkan anaknya kembali.
Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan Nabi Musa as tentang bagaimana Dia telah menyelamatkan baginda daripada dikejar oleh pasukan tentera Firaun untuk membunuhnya disebabkan baginda telah dengan tidak sengaja membunuh seorang lelaki kafir dan ketika itu baginda belum lagi diangkat sebagai seorang Rasul. Baginda melarikan diri dan selamat sampai ke sebuah sumber air di negeri Madyan. Ketika sampai di sana, Nabi Syuaib as berkata kepada baginda seperti firman-Nya:
“Janganlah engkau takut! Engkau telah selamat daripada orang-orang yang zalim.”
Al-Qasas 28:25
Selepas peristiwa itu, Nabi Musa as bekerja sebagai pengembala kambing untuk mertuanya, Nabi Syuaib as.
Ayat 41
وَٱصْطَنَعْتُكَ لِنَفْسِى
Dan Aku telah memilihmu (menjadi Rasul) untuk diri-Ku.
Setelah selesai tempoh perjanjian yang telah ditetapkan oleh Nabi Syuaib as, maka datanglah ketetapan yang lain daripada Allah Ta’ala iaitu Dia telah memilih dan menjadikan Nabi Musa as sebagai utusan-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki.