Mukjizat Nabi Musa as
Surah 20: Taha (17 – 23)
Ayat 17
وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَـٰمُوسَىٰ
“Apakah itu yang di tangan kananmu, wahai Musa?”
Ayat 18
قَالَ هِىَ عَصَاىَ أَتَوَكَّؤُا۟ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِى وَلِىَ فِيهَا مَـَٔارِبُ أُخْرَىٰ
Dia (Musa) berkata, “Ini adalah tongkatku, aku bertumpu padanya, dan aku memukul (daun-daun) dengannya untuk (makanan) kambingku, dan bagiku ada lagi manfaat yang lain (padanya).”
Ini merupakan satu bukti kenabian bagi Nabi Musa as daripada Allah Ta’ala dan sebagai mukjizat besar dan luar biasa lagi nyata yang menunjukkan bahawa tidak ada yang mampu melakukan seperti ini kecuali Dia. Hal ini tidak berlaku kecuali kepada seorang Nabi yang diutus-Nya.
Sebahagian ahli tafsir mengatakan bahawa pertanyaan Allah Ta’ala kepada Nabi Musa as itu tidak lain hanyalah sebagai sapaan untuk mendekatkan baginda kepada-Nya. Ada juga yang berpendapat pertanyaan itu bermaksud penetapan bahawa tongkat yang ada di tangan kanan baginda itu tidak seperti tongkat yang biasa diketahui kegunaannya iaitu untuk menggoyangkan pokok agar daun-daunnya jatuh ke tanah sebagai makanan kepada kambing-kambing ternakannya dan pelbagai kegunaan dan manfaat yang lain.
Ayat 19
قَالَ أَلْقِهَا يَـٰمُوسَىٰ
Allah berfirman, “Lemparkanlah ia, wahai Musa!”
Ayat 20
فَأَلْقَىٰهَا فَإِذَا هِىَ حَيَّةٌ تَسْعَىٰ
Lalu dilemparkannyalah tongkat itu, maka tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang merayap dengan cepat.
Ayat 21
قَالَ خُذْهَا وَلَا تَخَفْ ۖ سَنُعِيدُهَا سِيرَتَهَا ٱلْأُولَىٰ
Allah berfirman, “Peganglah ia dan jangan takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula.
Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as melemparkan tongkatnya untuk memperlihatkan mukjizat. Baginda patuh dengan arahan-Nya lalu melempar tongkatnya itu, lalu tongkat terus bertukar menjadi ular besar dan panjang yang bergerak laju.
Selepas itu, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as memegang ular itu dengan tangannya dan tidak perlu berasa takut kerana Dia akan mengembalikannya kepada bentuk asalnya setelah baginda memegangnya.
Ayat 22
وَٱضْمُمْ يَدَكَ إِلَىٰ جَنَاحِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ ءَايَةً أُخْرَىٰ
Dan kepitkanlah tanganmu ke ketiakmu, nescaya ia keluar menjadi putih (bercahaya) tanpa cacat, sebagai mukjizat yang lain (pula).
Ayat 23
لِنُرِيَكَ مِنْ ءَايَـٰتِنَا ٱلْكُبْرَى
Untuk Kami perlihatkan kepadamu (sebahagian) daripada tanda-tanda kebesaran Kami yang sangat besar.
Ini merupakan bukti kedua bagi kenabian Nabi Musa as iaitu Allah Ta’ala memerintahkan baginda memasukkan tangannya ke dalam sakunya. Hal ini seperti dalam firman-Nya yang lain:
“Masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, dia akan keluar putih (bercahaya) tanpa cacat, dan dekapkanlah kedua-dua tanganmu ke dadamu apabila ketakutan. Maka yang demikian itu adalah dua mukjizat daripada Rabbmu (yang akan engkau tunjukkan) kepada Firaun dan para pembesarnya.”
Al-Qasas 28:32
Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, ‘Ikrimah dan lain-lain mengatakan maksud ayat, “Nescaya ia keluar menjadi putih (bercahaya) tanpa cacat,” ialah tidak berbelang dan bukan suatu penyakit atau sesuatu yang buruk.