Surah 20: Taha (130 – 132)

Perintah Bersabar dan Melaksanakan Solat Lima Waktu serta Peringatan agar Tidak Tertipu dengan Perhiasan Dunia

Surah 20: Taha (130 – 132)


Ayat 130

فَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ ٱلشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا ۖ وَمِنْ ءَانَآئِ ٱلَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ ٱلنَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَىٰ

Maka sabarlah engkau (Muhammad) atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Rabbmu, sebelum matahari terbit dan sebelum terbenam, dan bertasbihlah (pula) pada waktu tengah malam dan di hujung siang hari, supaya engkau berasa senang.

Allah Swt menyatakan kepada Rasulullah saw sambil menghibur baginda agar bersabar atas pendustaan mereka terhadapnya dan hendaklah bertasbih memuji-Nya iaitu pada solat Subuh dan solat Asar. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Sahihain, daripada Jarir ibnu Abdullah Al-Bajali ra, dia mengatakan, “Waktu itu kami sedang duduk di sisi Rasulullah saw, lalu baginda memandang ke bulan pada malam purnama, lalu bersabda:

‘Sesungguhnya kamu akan melihat Rabbmu sebagaimana kamu melihat bulan ini. Kamu tidak akan mengalami kesulitan dalam melihat-Nya. Jika kamu mampu untuk tidak melewatkan solat sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya, maka lakukanlah.’ Kemudian baginda membaca ayat di atas.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada ‘Umarah bin Ruaibah, dia mengatakan dia mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Tidak akan masuk neraka orang yang (sentiasa menjaga) solat sebelum terbit matahari dan sebelum tenggelamnya.”

(HR. Ahmad dan Muslim)

Maksud ayat “Dan bertasbihlah (pula) pada waktu tengah malam,” ialah Rasulullah saw diperintahkan melakukan solat Tahajjud pada waktu malam. Ada juga yang berpendapat maksudnya lakukan solat Maghrib dan Isyak. Maksud ayat, “Dan di hujung siang hari,” ialah solat pada waktu siang. Manakala maksud ayat, “Supaya engkau berasa senang.” ialah agar berpuas hati kerana mendapat pahala dan pertolongan di akhirat kelak. Firman-Nya:

“Dan kelak Rabbmu pasti memberikan kurniaan-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.”

Adh-Dhuha 93:5

Ayat 131

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

Dan janganlah kamu tujukan pandangan matamu kepada kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan daripada mereka, (sebagai) bunga kehidupan dunia, agar Kami uji mereka dengan (kesenangan) itu. Kurniaan Rabbmu lebih baik dan lebih kekal.

Kemudian Allah Swt melarang Rasulullah saw memandang pelbagai kenikmatan yang ada pada orang-orang yang melampaui batas atau orang-orang seumpama mereka. Ini kerana kekayaan yang mereka peroleh itu hanyalah perhiasan dunia yang sementara. Kenikmatan tersebut merupakan ujian daripada Allah Swt untuk mengetahui siapa di antara hamba-hamba-Nya yang bersyukur.

Allah Swt melarang sedemikan kerana Dia telah memberikan yang lebih baik kepada orang-orang beriman daripada apa yang diberikan kepada orang-orang yang melampaui batas. Firman-Nya:

“Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung. Janganlah sekali-kali kamu menunjukkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir itu), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.”

Al-Hijr 15:87-88

Demikian juga apa yang disimpan oleh Allah Swt kepada Rasulullah saw di akhirat adalah perkara yang lebih besar dan kekal. Ini disebutkan dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari:

“Ketika Umar bin Al-Khattab ra masuk menemui Rasulullah saw di dalam bilik (baginda sedang menyendiri) mengasingkan dirinya daripada isteri-isterinya, kerana baginda telah bersumpah untuk tidak menggauli mereka dalam waktu tertentu, Umar bin Al-Khattab ra melihat baginda sedang berbaring tanpa alas di lantai rumahnya. Di dalam rumahnya hanya terdapat beberapa batang ranting pokok dan beberapa kelengkapan yang tergantung. Umar Al-Khattab ra tidak dapat menahan air matanya. Baginda bertanya, ‘Wahai Umar, apakah yang membuatmu menangis?’ Umar ra menjawab, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Rome) berada dalam kemewahan, sedangkan engkau adalah pilihan Allah di antara makhluk-makhluk-Nya.’ Baginda bersabda, ‘Adakah engkau berada dalam keraguan wahai putera Al-Khattab? Mereka adalah kaum yang disegerakan pelbagai kenikmatan dalam kehidupan mereka di dunia.’”

(HR. Al-Bukhari)

Rasulullah saw adalah manusia yang paling zuhud di dunia meskipun baginda mampu mendapatkannya. Apabila baginda memperoleh harta benda, baginda menginfakkannya. Baginda tidak pernah menyimpan sesuatu pun daripadanya untuk keperluan dirinya untuk hari esok.

Dalam ayat ini juga Allah Ta’ala menegaskan lagi bahawa kurniaan-Nya di akhirat adalah lebih besar dan kekal kepada Rasul-Nya.

Ayat 132

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْـَٔلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَٱلْعَـٰقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ

Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kami-lah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) itu adalah bagi orang yang bertakwa.

Seterusnya Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang yang beriman agar menyelamatkan ahli keluarga daripada azab-Nya dengan mengerjakan solat dan bersabar, seperti firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka……..”

At-Tahrim 66:6

Sesungguhnya Allah-lah yang memberikan rezeki kepada semua makhluk-Nya, dengan mengerjakan solat, rezeki akan datang kepada hamba-hamba-Nya dari arah yang tidak diduga. Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“………..Sesiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya……….”

At-Talaq 65:2-3

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki agar mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah, Dia-lah Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.”

Az-Zariyat 51:56-58

Maksud ayat, “Dan akibat (yang baik di akhirat) itu adalah bagi orang yang bertakwa” dalam ayat di atas ialah kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat adalah bagi orang-orang yang bertakwa. Ganjaran bagi mereka di akhirat adalah syurga.