Kehancuran Umat Terdahulu Mengandungi Pengajaran
Surah 20: Taha (128 – 129)
Ayat 128
أَفَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّنَ ٱلْقُرُونِ يَمْشُونَ فِى مَسَـٰكِنِهِمْ ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلنُّهَىٰ
Maka tidakkah menjadi petunjuk bagi mereka (kaum musyrikin) berapa banyak (generasi) sebelum mereka yang telah Kami binasakan, padahal mereka berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal mereka (umat-umat itu)? Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.
Allah Swt memberi peringatan kepada orang-orang yang mendustakan apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw iaitu berapa ramai umat-umat sebelum mereka yang telah dibinasakan akibat daripada mendustakan para Rasul.
Umat-umat ini dibinasakan sehingga musnah semuanya dan tidak meninggalkan sisa. Orang-orang yang kemudian hanya dapat menyaksikan rumah-rumah kosong dan serpihan bangunan-bangunan yang ditinggalkan semasa mereka berjalan melalui tempat-tempat peninggalan tersebut, namun mereka tidak dapat mengambil pelajaran. Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.”
Al-Hajj 22:46
“Dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, berapa banyak umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat (bekas) kediaman mereka itu……..”
As-Sajdah 32:26
Ayat 129
وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَكَانَ لِزَامًا وَأَجَلٌ مُّسَمًّى
Dan sekiranya tidak ada suatu ketetapan terdahulu daripada Rabbmu, serta tidak ada batas yang telah ditentukan (ajal), pasti (seksaan itu) telah menimpa mereka.
Seandainya tidak ada ketetapan Allah Swt yang terdahulu, iaitu bahawa Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan setelah adanya hujjah yang diberikan serta waktu yang ditentukan-Nya kepada para pendusta tersebut, nescaya akan datang azab Allah Swt kepada mereka secara tiba-tiba.